Ahad, 25 Oktober 2009

SUATU CATATAN RINGKAS: RIBUT PETIR KE ATAS HIZBUT-TAHRIR

Selain kesesatan al-Wahhabiyyah al-Mujassimah yang sedang berleluasa di tanah air kita Malaysia dan seluruh dunia, ada satu lagi pertubuhan sesat yang amat perlu diperhatikan juga iaitu Hizbut Tahrir. Hizbut Tahrir adalah satu pertubuhan yang diasaskan oleh Taqiyyuddin al-Nabhani al-Falistini (meninggal pada tahun 1400 H) di Lubnan. Penyelewengan dan kesesatan pertubuhan ini ditentang oleh para ulama Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah sedunia. Antara penyelewengan dan kesesatan Hizbut Tahrir ialah:
1. Menghukum Orang Yang Meninggal Dunia Tanpa Bay^ah Seorang Khalifah Sebagai Mati Jahiliyyah
Antara kesesatan Hizbut Tahrir dan bukti terkeluarnya kelompok ini dari majoriti umat Islam ialah pernyataan mereka bahawa orang yang meninggal dunia tanpa membay^ah seorang khalifah, maka matinya adalah mati jahiliyyah[1]. Ini bermakna - menurut mereka - kematian orang tersebut seperti matinya orang-orang yang menyembah berhala. Bahkan, ini bermakna - menurut mereka - bahawa seluruh orang Islam dalam tempoh seratus tahun terakhir ini mati dalam keadaan mati jahiliyyah. Ini berlaku sejak saat dunia Islam kehilangan khalifah. Apatah lagi, khilafah Islamiyyah tertinggi yang mengurus keperluan seluruh umat Islam telah terputus sejak sekian lama. Umat Islam yang pada masa sekarang tidak mengangkat khalifah, sesungguhnya mereka mempunyai uzur (alasan yang diterima). Yang dimaksud dengan umat Islam di sini adalah rakyat, kerana terbukti rakyat tidak memiliki kemampuan untuk mendirikan khilafah dan mengangkat seorang khalifah. Lantas berdosakah mereka jika memang tidak mampu!?. Bukankah Allah taala berfirman:

لاَيُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا
Maknanya: “Allah ta’ala tidak membebankan terhadap satu jiwa, kecuali apa yang ia sanggup melakukannya”. (Surah al Baqarah: 286)

2. Berakidah Dengan Aqidah Muktazilah Atau Qadariyyah
Lebih sesat lagi, Hizbut Tahrir menyatakan bahawa seorang hamba adalah pencipta perlakuan ikhtiyari (perbuatan yang dilakukan atas dasar kemahuannya). Menurut mereka bahawa perkara yang diciptakan oleh Allah hanya perlakuan manusia yang bersifat idtirari (perbuatan yang di luar inisiatifnya seperti degupan jantung, takut, menggigil kerana kedinginan dan lain-lain)[2]. Dengan pernyataannya ini, Hizbut Tahrir telah menyalahi firman Allah taala:

اللهُ خَالِقُ كُلِّ شَىْءٍ
Maknanya: “Allah adalah Pencipta segala sesuatu”. (Surah al-Zumar: 62)

Segala sesuatu (shay') dalam ayat ini mencakupi diri makhluk dan segala perbuatannya. Selain itu, mereka juga menyalahi firman Allah:

هَلْ مِنْ خَالِقٍ غَيْرُ اللهِ
Maknanya: “Adakah pencipta selain Allah?” (Surah Fatir: 3)

Ertinya tidak ada Pencipta atau yang mengadakan sesuatu dari tidak ada menjadi ada kecuali Allah. Seterusnya, mereka juga menyalahi firman Allah:

قُلْ إِنَّ صَلاَتِى وَنُسُكِى وَمحْيَاىَ وَمَمَاتِى للهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ
Maknanya: “Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya solatku dan nusukku (sembelihan yang dilakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti al-Hady dan korban 'Id al-Adha), hidupku dan matiku adalah milik Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya” (Surah Al-An^am: 162-163)

Ayat di atas jelas menyatakan bahawa solat dan amalan ibadat korban yang merupakan perbuatan ikhtiyari, serta kehidupan dan kematian yang bukan perbuatan ikhtiyari kesemuanya adalah ciptaan Allah, tidak ada yang menyekutui-Nya dalam hal ini. Sesungguhnya hanyalah Allah yang menciptakan kesemuanya itu; yang mengadakannya daripada tidak ada kepada ada.

Ayat-ayat tersebut semuanya menunjukkan bahwa segala apa yang ada di dunia ini adalah ciptaan Allah. Segala benda (zat-zat) dan sifat-sifatnya seperti bergerak, diam, warna, fikiran, rasa sakit, rasa nikmat, mengerti, lemah dan lain-lain, semuanya tidak lain adalah ciptaan Allah. Manusia hanyalah berbuat (yaf^al –Kasb-), tidak menciptakan (la yakhluq) perbuatannya sendiri. Ini adalah akidah yang telah menjadi ijmak (kesepakatan) para sahabat dan majoriti umat Islam hingga kini.

Al-Imam Abu Hanifah radiyaLlahu ^anhu berkata dalam kitabnya al-Wasiyyah:

وَالْعَبْدُ مَعَ أَعْمَالِهِ وَإِقْرَارِهِ وَمَعْرِفَتِهِ مَخْلُوقٌ, فَإِذَا الْفَاعِلُ مَخْلُوقٌ فَأَفْعَالُهُ أَوْلَى أَنْ تَكُونَ مَخْلُوقَةً
Maknanya: “Dan si hamba itu bersama-sama segala perbuatannya, pengakuannya dan pengetahuannya adalah makhluk ciptaan Allah. Oleh itu, apabila si pelaku itu suatu makhluk maka perlakuannya lebih utama sebagai makhluk ciptaan Allah”.

Inilah yang diyakini oleh majoriti umat Islam, baik mereka para ulamak Salaf (mereka yang hidup pada 300 tahun pertama hijriyyah; iaitu zaman sahabat Nabi, tabi’in dan tabi’it tabi’in) mahupun ulama Khalaf (pasca zaman salaf hingga kini). Pendapat yang menyalahi akidah ini bererti telah menyalahi al-Quran dan hadis Nabi. Dalam sebuah hadis riwayat Ibn Hibban diriwayatkan bahawa Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam bersabda:

إِنَّ اللهَ صَانِعُ كُلِّ صَانِعٍ وَصُنْعَتِهِ
Maknanya: “Sesungguhnya Allah pencipta setiap pembuat dan perbuatannya”.

Hadis di atas jelas menyatakan bahawa manusia sama sekali tidak menciptakan perbuatannya.
3. Beberapa Pegangan Sesat Yang Lain
Selain itu, ada lagi beberapa pegangan mereka yang menyeleweng dari pegangan Ahlis Sunnah wal Jama^ah. Antaranya:
1) Mereka mengatakan bahawa sifat ^ismah atau maksum para nabi dan rasul itu hanya berlaku selepas mereka menjadi nabi atau rasul, manakala sebelum kenabian atau kerasulan maka sesuatu dosa yang boleh terjadi ke atas manusia biasa lain boleh berlaku ke atas mereka kerana sifat maksum itu adalah kerana kenabian dan kerasulan[3].
2) Mereka juga mengatakan bahawa perjalanan dengan tujuan zina tidak haram kerana yang haram hanya perbuatan zina[4].
3) Mereka juga membolehkan cumbuan lelaki dengan perempuan ajnabiyyah[5].
4) Mereka juga membolehkan seseorang lelaki berjabat tangan dengan perempuan ajnabiyyah[6].
5) Mereka juga mendakwa bahawa semua manusia boleh berijtihad terutamanya selepas mereka dapat membaca kitab-kitab yang berbahasa Arab dan yang berkaitan syariat Islam[7].

Oleh itu, jauhilah Hizbut Tahrir kerana mereka mengancam akidah umat Islam! Sebarkan maklumat ini kepada orang lain! AWAS! Mereka sedang mencari pengaruh di kalangan masyarakat Islam di Malaysia terutama golongan siswazah dan profesional yang tidak kuat asas akidah Islam dan ilmu fardu ain bagi memudahkan lagi pergerakan mereka.
[Risalah ini telah siap disusun oleh Abu Nur al-Dununiyy al-Ash^ariyy pada 28 Jumadal-Awwal 1427 H dan diedarkan di sebahagian negeri Johor bersama dengan doa: "Ya Allah! Jadikanlah risalah kecil ini sebagai RIBUT PETIR yang melanda HIZBUT TAHRIR!".]
________________________________

[1] Sila rujuk penulisan-penulisan mereka seperti berikut: (1) Al-Shakhsiyyah al-Islamiyyah, juzuk 2, bahagian 3, hlm. 13, 15 dan 29. (2) Al-Khilafah, hlm. 3, 4 dan 9. (3) Al-Dawlah al-Islamiyyah, hlm. 179. (4) Mudhakkirah Hizb al-Tahrir ila al-Muslimin fi Lubnan, hlm. 4.
[2] Sila rujuk penulisan-penulisan mereka seperti berikut: (1) Al-Shakhsiyyah al-Islamiyyah, juzuk 1, bahagian 1, hlm. 71, 72 dan 74. (2) Nizam al-Hukm fi al-Islam, hlm. 22.
[3] Sila rujuk penulisan pengasas dan ketua Hizbut Tahrir iaitu Taqiyyuddin al-Nabhani al-Shakhsiyyah al-Islamiyyah, juzuk 1, bahagian 1, hlm. 120.
[4] Perkara ini telah ditulis dan disebarkan dalam kertas edaran mereka di Tripoli, Syam pada tahun 1969 dan masih disebut sehingga sekarang oleh penduduk Tripoli dan mendapat tentangan daripada kebanyakan penduduk.
[5] Sila rujuk edaran soal jawab terbitan Hizbut Tahrir pada 24 Rabi^ul-Awwal 1390, dan edaran soal jawab terbitan Hizbut Tahrir pada 21 Jamadil-Awwal 1400/ 7 April 1980.
[6] Sila rujuk edaran soal jawab terbitan Hizbut Tahrir pada 8 Muharram 1390, dan buku mereka al-Khilafah, hlm. 22 – 23, serta buku ketua mereka al-Shakhsiyyah al-Islamiyyah, juzuk 2, bahagian 3, hlm. 22 – 23, dan juzuk 3, hlm. 107 – 108.
[7] Sila rujuk kitab mereka al-Tafkir, hlm. 149.

Ahad, 13 September 2009

SANGGAHAN PENGIKUT AL-IMAM AL-ASH^ARI KE ATAS DAKWAAN DR. MOHD ASRI


(1) Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin dalam tulisannya Mengapa Insan Mencari Agama di ruangan Pelita Ilmu, Risalah Tauhid, Majalah i, April 2003 berkata:
“Ada pula yang apabila menemui seseorang yang baru menganut Islam atau ingin memahami Islam maka dia mengatakan: “Engkau wajib menghafal sifat dua puluh dengan perbahasan falsafahnya jika tidak iman engkau tidak dikira sah dan solat kau juga tidak bermakna…

Ini semua adalah contoh golongan yang menyusahkan manusia mendekati dan memahami Islam dengan cara yang jelas dan diterima.”
Intaha.

Sanggahan:
1. Dakwaan Dr. Mohd Asri di atas tanpa sebarang bukti yang menunjukkan kejadian yang didakwa itu benar-benar berlaku seperti dengan data-data orang yang berkata sebegitu, masa dan tarikh kejadian dan tempat kejadian. Di sini, Dr. Asri cuba secara halus dan seni untuk menjauhkan umat Islam dari pengajian tauhid Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah al-Maturidiyyah.
2. Jikalah kejadian itu benar-benar berlaku, maka kata-kata itu tidak diungkapkan oleh orang alim dalam pengajian sifat dua puluh tetapi diungkapkan oleh peribadi yang jahil. Ini kerana jelas dalam kitab pengajian sifat dua puluh tidak mewajibkan ke atas setiap mukallaf untuk menghafal sifat dua puluh tersebut, bahkan mereka diwajibkan (fard ^ayn) agar mempelajari dan mengetahui sifat-sifat tersebut beserta dalil aqli. Adapun untuk mendalami dan mahir ilmu tauhid Ahlis-Sunnah al-Asha^irah al-Maturidiyyah ini dengan menguasai segala dalil naqli dan dalil aqli, maka itu hukumnya fard kifayah. Menghafal merupakan salah satu cara untuk menjadikan seseorang itu pakar dalam sesuatu bidang, termasuk bidang ilmu tauhid ini. Oleh itu, menghafal segala dalil itu bukanlah satu perkara fardu ke atas setiap mukallaf, bahkan diwajibkan ke atas sesebuah masyarakat Islam di suatu kampung atau mukim atau daerah atau negeri atau negara agar segolongan yang menghafal segala dalil dan hujah iaitu yang pakar dalam ilmu ini secara mendalam. Jelaslah di sini pengajian ilmu tauhid pada tahap fard ^ayn tidak menyusahkan dan tidak rumit. Malah, apa jua ilmu yang dituntut secara mendalam memanglah suatu yang rumit dan susah terutama kepada orang awam.


(2) Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin dalam tulisannya Apabila Golongan Agama Melemahkan Agama dalam ruangan Fikrah, Majalah i, November 2005, hlm. 36 berkata:
“Jika pun dibincangkan persoalan akidah, mereka dipengaruhi falsafah Greek lama yang kadangkala perbincangannya tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan membawa kepada kepenatan akal dan kecelaruan. Ini seperti sifat Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafahnya yang memeningkan. Sehingga guru yang mengajar pun tidak faham.

Untuk mengelak guru dipersoalkan pelajar, guru itu akan berkata: “Siapa banyak bertanya maka lemah imannya...”. Maka akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah warisan Greek dan Yunan.”
Intaha.

(3) Dr. Mohd Asri berkata dalam temubual wartawan Berita Harian Tuan Nazuri Tuan Ismail yang bertajuk Akidah luntur punca masyarakat Islam mundur. Ilmu tauhid cetek, pemikiran ulama dipengaruhi falsafah Greek sebabkan iman muslim celaru, dalam ruangan Soal Jawab, Berita Minggu, Ahad 14 Januari 2007 hlm. 12:
“Umat Islam juga mudah dipengaruhi falsafah Greek lama yang kadangkala perbincangannya tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan membawa kepada kepenatan akal dan kecelaruan. Ia seperti sifat Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafahnya yang memeningkan. Sehingga guru yang mengajar pun tidak faham.

Untuk mengelak guru dipersoalkan pelajar, guru itu akan berkata: “Siapa banyak bertanya maka lemah imannya”. Maka, akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah warisan Greek dan Yunan.”
Intaha.

Sanggahan:
1. Dengan kesarjanaannya sepatutnya Dr. Mohd Asri mengemukakan analisa perbandingan falsafah Greek lama dengan pengajian tauhid al-Asha^irah al-Maturidiyyah. Kemudian barulah buat kesimpulan bahawa pengajian tauhid mereka dipengaruhi falsafah Greek lama jika benarlah begitu. Oleh itu, selayaknya dakwaan Dr. Mohd Asri itu dianggap suatu fitnah ke atas al-Asha^irah al-Maturidiyyah!!
2. Dr. Mohd Asri menyatakan di atas: “…yang kadangkala perbincangannya tidak membawa tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah…”. Oleh kerana masalah yang cuba diutarakan oleh Dr. Mohd Asri adalah masalah “kadangkala”, maka ini bukanlah suatu isu besar untuk dibahaskan sehingga seolah-olah beliau cuba secara halus dan seni untuk mengajak umat Islam meminggirkan atau membuang pengajian tauhid al-Asha^irah al-Maturidiyyah.
3. Adakah dengan dinyatakan bahawa Allah ada lawannya tiada dan selanjutnya, lalu dikatakan bahawa ini kecelaruan dan memenatkan akal? Sedangkan ini suatu yang jelas bahawa kata antonim (kata yang berlawanan makna) bagi kalimah ada ialah tiada dan selanjutnya… Jadi, siapakah yang membawa kecelaruan dalam isu ini? Sebenarnya, dalam pengajian tauhid al-Asha^irah al-Maturidiyyah tidak ada kata-kata Allah ada lawannya tiada dan selanjutnya, bahkan yang ada ialah Allah wajib ada dan Allah mustahil tiada dan selanjutnya kecuali dalam beberapa kitab kecil atau risalah ringkas.
4. Sewajarnya orang yang tidak faham tidak layak menjadi guru dalam apa jua ilmu pun, apatah lagi dalam ilmu tauhid! Dakwaan Dr. Mohd Asri di atas sepatutnya beserta dengan bukti yang menunjukkan guru tersebut benar-benar wujud seperti nama guru tersebut, tempat kejadian dan tarikh dan masa kejadian supaya dia dapat dihalang dari mengajar orang lain tentang perkara yang dia sendiri tidak faham. Jika tidak, maka itu sekadar cerita rekaan Dr. Mohd Asri sebagai pendekatan halus untuk mencampakkan pengajian tauhid Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah dari umat Islam. Jikalah guru yang tidak faham itu benar-benar wujud, maka kemungkinan dia bukan dari kalangan ulama al-Asha^irah al-Maturidiyyah dan mereka menyamar sebagai guru yang mengajar ilmu tauhid sebagai cara halus untuk menimbulkan kekeliruan dan keraguan terhadap ilmu tauhid tersebut.
5. Adakah Dr. Mohd Asri mahu mengatakan bahawa ulama muktabar yang berpegang dengan pendekatan ilmu kalam tidak mengajar aqidah tauhid yang sebenar atau beliau mahu mengkafirkan mereka? Adakah Dr. Mohd Asri menganggap selama ratusan tahun aqidah tauhid yang telah pun disampaikan oleh para ulama ke seluruh kepulauan Melayu bahkan seluruh dunia bukan aqidah sebenar? Adakah Dr. Mohd. Asri menganggap bahawa umat Islam di seluruh dunia ini tidak berpegang dengan akidah sebenar kecuali mereka yang mengikut ajaran Wahhabiyyah yang diasaskan oleh Muhammad ibn ^Abdul-Wahhab?

(4) Dalam ruangan Pena Mufti dalam Utusan Malaysia yang bertajuk Mudahkan pendekatan Islam, jangan ekslusifkannya, Ahad 5 Ogos 2007 Dr. Mohd Asri menyatakan:
Pendekatan yang menyukarkan ini berlarutan sehingga dalam pengajian aqidah. Sesetengah perbincangan dipengaruhi falsafah lama yang kadang-kala tidak membawa kekuatan kepada akidah, bahkan kepada kepenatan akal dan kecelaruan.
Ini seperti Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafahnya yang memeningkan. Sehingga guru yang mengajar pun tidak faham. Untuk mengelak guru dipersoalkan pelajar, guru itu akan berkata: “Siapa banyak bertanya maka lemah imannya…”.
Maka tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada? Akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah.
Akidah Islam adalah bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran dan al-sunah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu, sangat jelas dan tidak berbelit. Dalam hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlahkan konsep akidahnya, tidak perlu menyukarkan.”
Intaha.

Sanggahan:
1. Sekali lagi Dr. Mohd Asri nengemukakan dakwaan tanpa sebarang bukti. Dr. Mohd Asri hanya sekadar berprasangka buruk dengan berkata: “Maka tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada?. Ini sekadar “jika” bukannya benar-benar berlaku. Kemudian, kata-kata ini: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada?.." Ini mungkin suatu rekaan Dr. Mohd Asri yang mungkin juga menjadi unsur kecindan atau jenaka yang cuba diselitkan dalam tulisannya dan adalah satu pendekatan halus dan seni untuk mencemuh pengajian tauhid Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah al-Maturidiyyah. Dakwaan Dr. Mohd Asri ini dapat disangkal dengan bukti yang telah dilaporkan di ruangan Nur Ilahi, berjudul Bekas Pembantu Paderi Katolik Kagum Dengan Sifat 20 dalam majalah al-Islam Julai 2009, halaman 39:
“…Di ulang tahun kelahirannya, Alif menerima hadiah berupa sebuah buku yang bertajuk Sifat 20. “Saya berasa terlalu gembira menerima hadiah itu. Bagaikan orang dahaga diberikan air sememangnya saya benar-benar ingin mengetahui dan mengenali sifat-sifat Allah. Sebaik sahaja saya membaca buku tersebut, hati saya berasa begitu kagum sekali dengan Allah. Rupanya baru saya tahu Allah itu esa dan tunggal tidak seperti Kristian yang berpegang kepada konsep triniti. Saya hayati sifat-Nya dan saya bandingkan dengan Jesus dan ternyata Allah itu Maha Suci dan Maha Agung”, katanya.” Intaha.




Sebenarnya sifat-sifat wajib bagi Allah, sifat-sifat mustahil bagi-Nya dan sifat harus bagi-Nya yang dibicarakan dalam pengajian tauhid Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah adalah ringkasan bagi keseluruhan isi ayat-ayat al-Quran yang membicarakan sifat Allah taala. Ulama Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah seperti al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari dan para pengikutnya al-Asha^irah serta al-Imam Abu Mansur al-Maturidi dan para pengikutnya al-Maturidiyyah telah membuat ringkasan ini sebagai usaha untuk memudahkan umat Islam memahami tauhid yang terkandung dalam al-Quran. Hanya segelintir manusia yang mampu membaca dan lebih-lebih lagi memahami keseluruhan ayat al-Quran. Pengajian aqidah secara kalam di sisi Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah al-Maturidiyyah tidak mengubah kandungan ajaran aqidah Islam, tidak menyukarkan atau mengaburkan pengajian aqidah tauhid, bahkan tidak meminggirkan al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan, pengajian tauhid Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah itu mengambil intipati atau isi al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri. Oleh sebab bukan semua mampu menghafaz dan menguasai semua ilmu yang terkandung dalam al-Quran dan al-Hadis, maka sebahagian ulama Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah menyusun ilmu aqidah yang ada dalam kedua-dua sumber tersebut dalam bentuk sistematik bagi memudahkan orang awam memahami aqidah dengan lebih cepat dan tepat. Sebagaimana ilmu hukum hakam yang telah disusun oleh ulama mujtahidin dalam bentuk sistematik berbentuk kitab bagi memudahkan orang awam memahami cara ibadah dan mualamah dengan betul seperti yang dianjurkan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Hal yang sama juga berlaku kepada ilmu-ilmu Islam yang lain seperti ilmu usul fiqh contohnya adanya penyusunan perbahasan tentang ijmak dan qiyas, ilmu al-Quran contohnya adanya penyusunan ilmu tajwid dan qiraat dan ilmu al-Sunnah contohnya dengan penyusunan ilmu mustalah hadis dan al-jarh wal-ta^dil. Adakah semua ilmu yang disusun oleh para ulama muktabar ini boleh dianggap membelakangkan al-Quran dan al-Sunnah? Tentu sekali tidak! Bahkan usaha penyusunan ilmu-ilmu Islam itu seperti ilmu tauhid adalah suatu usaha untuk memudahkan umat Islam memahami al-Quran dan al-Sunnah dan juga menjaga ketulenan ajaran yang terkandung dalam kedua-dua sumber utama tersebut…


Lihatlah meskipun ilmu-ilmu yang berkaitan al-Quran misalnya seperti ilmu tajwid, ilmu qira’at, ilmu tafsir dan seumpamanya itu bukanlah ilmu fard ^ayn yang biasanya mampu dipelajari oleh segolongan manusia yang mempunyai daya akal yang kuat, ia tetap disusun oleh ulama muktabar bagi memudahkan para penuntut memahami al-Quran dan al-Sunnah. Maka apatah lagi ilmu aqidah tauhid yang bertahap fard ^ayn, sewajarnya disusun agar dapat mudah dan cepat difahami oleh semua orang yang semestinya tahap akal mereka berbeza-beza?..


(5) Terkini, Dr. Mohd Asri mengulangi lagi fitnahnya yang sama dalam Mingguan Malaysia, Ahad 6 Jun 2009:
“Akidah adalah teras Islam. Akidah Islam itu mudah dan jelas. Semudah dan sejelas akidah dalam Surah al-Ikhlas. Sesiapa yang membaca al-Quran seperti Surah al-An'am akan mendapati kejelasan akidah Islam. Ia tidak berbelit-belit seperti sukatan yang mengajar sifat Allah dengan menghafal; Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta. Ramai yang muallaf dan bukan muallaf tidak jelas mengenai akidah dan mudah 'menukar agama' walaupun menghafal sukatan ini. Ini kerana sukatan tersebut adalah ajaran falsafah yang tidak sekukuh akidah yang mudah dan jelas yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah. Kita perlukan tajdid dalam hal ini.”. Intaha.

Sanggahan:
1. Apakah yang berbelit-belit dalam pengajian aqidah secara ilmu kalam? Kalaulah ungkapan Allah ada lawannya tiada dan seterusnya itu berbelit-belit adalah suatu pembohongan dan fitnah semata-mata! Ungkapan “Allah ada lawannya tiada” dan seterusnya itu adalah dalam bentuk bahasa yang mudah, amat jelas dan tak berbelit-belit pun. Namun, perlu diingatkan bahawa semua ilmu hendaklah diambil secara talaqqi termasuk ilmu tauhid bagi mengelak salah faham dan kekeliruan.
2. Sepatutnya Dr. Mohd Asri membuat kajian tentang faktor muallaf dan bukan muallaf ramai yang tidak jelas mengenai aqidah dan mudah tukar agama walaupun menghafal sukatan pengajian aqidah secara ilmu kalam Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah dan kemukakan kes dan statistiknya jika benarlah mereka menghafal sifat-sifat tersebut!

WaLlahu a^lam…

Ahad, 6 September 2009

AL-SALAFUS-SALIH DAN ILMU KALAM

Golongan yang menolak ilmu kalam Ahlus-Sunnah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah turut menyangka bahawa para ulama al-Salafus-Salih mencela ilmu kalam dengan merujuk kepada ilmu kalam Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah. Sebenarnya ilmu kalam yang terpuji telah didalami oleh sebahagian ulama al-Salafus-Salih sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Ustadh al-Imam Abu Mansur ^Abdul-Qahir ibn Tahir al-Tamimi al-Baghdadi dalam kitabnya al-Farq baynal-Firaq[1]: “Mutakallim (ahli kalam) Ahlis-Sunnah yang pertama daripada kalangan sahabat ialah ^Ali ibn Abi Talib radiyaLlahu ^anhu wa-karramaLlahu wajhah yang pernah berdebat dengan golongan Khawarij dalam masalah al-wa^d (balasan baik) dan al-wa^id (balasan buruk). Beliau juga pernah berdebat dengan golongan al-Qadariyyah dalam masalah al-mashi’ah (kehendak Allah), al-istata^ah dan al-qadar. Kemudian selepas beliau Abdullah ibn ^Umar radiyaLlahu ^anhuma yang pernah berlepas diri daripada Ma^bad al-Juhni yang menafikan al-qadar”. Intaha.

Usaha para sahabat ini diteruskan oleh para tabi^in yang sebahagian mereka telah mengarang risalah dan kitab-kitab dalam ilmu kalam bagi membidas dan menyanggah golongan Ahlul-Ahwa’. Al-Imam ^Abdul-Qahir al-Baghdadi berkata dalam kitabnya al-Farq baynal-Firaq[2]: “Dan ahli kalam Ahlis-Sunnah yang pertama daripada kalangan tabi^in ialah ^Umar ibn ^Abdil-^Aziz dan beliau menulis satu risalah yang hebat bagi menyanggah golongan al-Qadariyyah. Kemudian, diikuti oleh Zayd ibn ^Ali Zaynul-^Abidin dan beliau ada mengarang sebuah kitab bagi menyanggah golongan al-Qadariyyah. Seterusnya, al-Hasan al-Basri dengan risalah beliau kepada ^Umar ibn ^Abdil-^Aziz bagi mencela golongan al-Qadariyyah adalah suatu yang diketahui. Seterusnya, diikuti oleh al-Sha^bi dan beliau merupakan orang yang paling keras terhadap golongan al-Qadariyyah. Kemudian, diikuti oleh al-Zuhri dan beliau telah mengeluarkan fatwa kepada ^Abdul-Malik ibn Marwan bahawa (halal) darah golongan al-Qadariyyah”. Intaha.

Selanjutnya, al-Imam ^Abdul-Qahir al-Baghdadi berkata lagi[3]: “Ahli kalam yang pertama daripada kalangan para fuqaha’ dan para imam mazhab (fiqh) ialah Abu Hanifah dan al-Shafi^i. Dan Abu Hanifah mempunyai sebuah kitab yang menyanggah golongan al-Qadariyyah yang beliau menjudulkannya sebagai al-Fiqhul-Akbar…”. Intaha.

Al-Imam al-Shafi^i turut menulis kitab dalam ilmu kalam sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam ^Abdul-Qahir al-Baghdadi: “…dan al-Shafi^i mempunyai dua kitab dalam perbahasan kalam. Salah satunya untuk mengabsahkan kenabian dan menyanggah golongan al-Barahimah, dan yang keduanya bagi menyanggah Ahlul-Ahwa’. Intaha.

Jika masih ada orang berkata kepada anda: “Kenapa anda membicarakan tauhid dengan ilmu kalam sedangkan para sahabat nabi tidak membicarakannya?”, maka jawablah: “Para sahabat diumpamakan seperti orang yang tidak berhadapan dengan musuh yang mahu memerangi mereka maka mereka tidak perlu mengeluar dan menghunuskan senjata, manakala kami yang membicarakan tauhid dengan ilmu kalam pula diumpamakan seperti orang yang berhadapan dengan musuh yang mahu memerangi kami maka kami perlu mengeluar dan menghunuskan senjata tersebut”.

Perbahasan di atas membuktikan kepada kita bahawa para ulama al-Salafus-Salih turut memberi sumbangan yang besar dalam ilmu kalam, bahkan pelopor dalam ilmu ini. Jikalah ilmu kalam ini suatu bidaah yang keji, nescaya merekalah orang yang pertama menjauhinya. Apatah lagi tokoh-tokoh yang dinyatakan di atas tadi adalah peribadi-peribadi yang dikenali dengan ketinggian ilmu dan kemuliaan sahsiah.

Hukum Mempelajari Ilmu Kalam

Ilmu kalam dipuji dan dipandang mulia dan tinggi oleh para ulama terutama setelah aqidah-aqidah ahli bidaah mula tersebar dan menyusup masuk dalam masyarakat Islam. Al-Imam al-Hafiz al-Nawawi yang merupakan salah seorang ulama besar dalam mazhab al-Shafi^i telah menghukumkan ilmu kalam sebagai perkara bidaah hasanah yang wajib sebagaimana pernyataan beliau dalam kitabnya Sharh Sahih Muslim[4]: “Para ulama telah berkata: “Bidaah itu lima bahagian iaitu wajib, mandud (sunat), haram, makruh dan mubah (harus). Antara (bidaah) yang wajib ialah perbuatan menyusun dalil-dalil oleh ahli kalam bagi menyanggah golongan mulhid, golongan bidaah dan seumpamanya”. Intaha.

Al-Shaykh Shamsud-Din al-Ramli al-Shafi^i berkata dalam kitabnya Ghayatul-Bayan[5]: “Menceburi ilmu kalam iaitu sehingga mampu menegakkan dalil-dalil dan menghilangkan kekeliruan-kekeliruan adalah suatu fardu kifayah ke atas setiap mukallaf yang mampu melakukannya…”. Intaha.

Al-Shaykh Ibn Hajar al-Haytami berkata dalam kitabnya al-Fatawa al-Hadithiyyah [Dar al-Ma^rifah, Beirut, hlm. 27]: “Yang dijelaskan oleh para imam kita bahawa ia (ilmu kalam) wajib ke atas mukallaf sebagai wujub ayni (fardu ain) untuk mengetahui iktikad yang sahih (yang berlainan) dengan iktikad yang salah. Tidak disyaratkan mengetahuinya (ilmu kalam) dengan formula-formula ilmu kalam kerana perkara yang biasanya berlegar ialah berada di atas iktikad yang putus meskipun dengan taklid menurut pendapat yang lebih sahih. Adapun perbuatan mengajar hujah-hujah ilmu kalam dan menegakkan hujah-hujah tersebut bagi menyanggah golongan yang menyeleweng maka ia suatu fardu kifayah…”. Intaha.


Tatimmah

Kepada sesiapa (seperti puak al-Wahhabiyyah) yang menuduh bahawa mempelajari ilmu kalam sebagai suatu perkara bidaah, maka anda sewajarnya mengkaji terlebih dahulu ilmu kalam Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah sebelum menyalah, mempertikai dan menolaknya tanpa dalil dan bukti yang kukuh. Seandainya mereka “pening kepala”, “bingung”[6] atau gagal untuk memahami masalah-masalah yang dibicarakan dalam ilmu kalam, maka sewajarnya mereka bertanya kepada ulama yang ada keahlian dalam ilmu ini. Sekiranya mereka tidak dapat memahaminya, maka sepatutnya mereka tidak perlu mendalaminya kerana mereka tidak termasuk di kalangan orang yang mampu mempelajari ilmu kalam secara mendalam. Tidak sewajarnya mereka menjadikan ilmu kalam ini sebagai “mangsa” untuk dihentam dan dipersalahkan. Bahkan, lebih baik mereka mengakui dan menginsafi kelemahan diri mereka untuk memahami dan menyelami perbahasan ilmu kalam. Kebebalan dan kebingungan benak mereka (seperti puak al-Wahhabiyyah) untuk memahami ilmu kalam bukannya suatu dalil dan alasan untuk mempertikai ilmu kalam, malah kebebalan mereka itulah sepatutnya menjadi alasan bagi menolak dan menyanggah tuduhan mereka ke atas ilmu kalam.

Ingatlah! Serangan mereka ke atas ilmu kalam Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah akan membuka pintu kepada musuh-musuh Islam untuk melancarkan serangan terhadap para ulama silam yang telah memberi sumbangan yang sangat besar dalam menyebar dan mempertahankan kesucian agama Islam ini. Paling dibimbangi ialah serangan al-Wahhabiyyah ke atas ilmu kalam dikhuatiri sebagai sebahagian konspirasi Yahudi dan Kristian atas label Islam. WaLlahu a^lam.

__________________________________

[1] ^Abdul-Qahir al-Baghdadi, al-Farq baynal-Firaq, Dar al-Kutubil-^Ilmiyyah, Beirut, hlm. 286.
[2] Ibid, hlm. 283.
[3] Ibid, hlm. 284.
[4] Al-Nawawi, Sharh Sahih Muslim, Dar al-Fikr, Beirut, juz. 6, hlm. 154 – 155.
[5] Al-Ramli, Ghayatul-Bayan Sharh Zubad Ibn Ruslan, Dar al-Ma^rifah, Beirut, hlm. 20.
[6] Inilah pengakuan sebahagian penganut ajaran al-Wahhabiyyah ketika mereka menolak perbahasan tauhid dengan ilmu kalam.

Isnin, 31 Ogos 2009

ILMU KALAM DI SISI AL-IMAM AL-SHAFI^I

Sesetengah pihak seperti golongan al-Wahhabiyyah (yang menggelarkan diri mereka sebagai al-Salafiyyah - sedangkan al-Salafus-Salih berlepas daripada mereka - ) ada mendakwa bahawa al-Imam al-Shafi^i menolak dan mencela ilmu kalam secara mutlak. Mereka mendatangkan beberapa perkataan al-Imam al-Shafi^i – pada sangkaan mereka – yang menunjukkan penentangan dan penolakan beliau terhadap ilmu kalam tersebut. Antara kata-kata yang dianggap sebagai pendapat al-Imam al-Shafi^i ialah:

لأن يلقى الله العبدُ بكل ذنب ما عدا الشرك خير له من أن يلقاه بعلم الكلام
Maknanya: “Bahawa pertemuan seorang hamba dengan Allah dengan setiap dosa yang selain dosa syirik itu lebih baik baginya daripada dia bertemu Allah dengan ilmu kalam”.

Sebenarnya lafaz di atas tidak thabit daripada al-Imam al-Shafi^i. Lafaz yang thabit daripada beliau ialah sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibn ^Asakir di dalam kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari[1]:

لأن يلقى الله عزّ وجلّ العبدُ بكل ذنب ما خلا الشرك خير له من أن يلقاه بشىء من هذه الأهواء
Maknanya: “Bahawa pertemuan seorang hamba dengan Allah azza wa-jall dengan setiap dosa yang selain dosa syirik itu lebih baik baginya daripada dia bertemu Allah dengan sesuatu yang berpunca daripada hawa nafsu (al-ahwa’)”.
Kata-kata al-Imam al-Shafi^i yang diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibn ^Asakir di atas menjelaskan pendirian sebenar al-Imam al-Shafi^i terhadap ilmu kalam. Sebenarnya perkara yang ditentang dan ditolak al-Imam al-Shafi^i ialah ilmu kalam golongan al-Ahwa’ iaitu ilmu kalam golongan yang menyeleweng daripada ajaran Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah seperti golongan al-Mujassimah, al-Mu^tazilah, Jabbariyyah dan yang sebagainya. Adapun ilmu kalam golongan Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah maka itu tidak ditentang dan tidak ditolak al-Imam al-Shafi^i.

Al-Imam al-Hafiz Ibn ^Asakir ada menyatakan dalam kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari[2]:

والكلامُ المذموم كلام أصحاب الأهوية وما يزخرفه أرباب البدع الـمُرْدية فأما الكلام الموافق للكتاب والسنة الموضح لحقائق الأصول عند ظهور الفتنة فهو محمود عند العلماء ومن يعلمه وقد كان الشافعي يحسنه ويفهمه وقد تكلم مع غير واحد ممن ابتدع وأقام الجحة عليه حتى انقطع

Maknanya: “Dan perbahasan kalam yang dicela ialah perbahasan kalam golongan Ahwiyyah (pengikut hawa nafsu yang juga digelar sebagai Ahlul-Ahwa’) dan sesuatu yang dianggap elok oleh ahli bidaah yang menyeleweng. Adapun perbahasan kalam yang bertepatan dengan al-Kitab (al-Quran) dan al-Sunnah yang menjelaskan hakikat-hakikat usul (tauhid) ketika munculnya fitnah (ketika berleluasanya golongan sesat) maka ini suatu yang terpuji di sisi para ulama dan sesiapa yang mengetahuinya. Sesungguhnya al-Imam al-Shafi^i menguasai dengan baik dan memahami perbahasan kalam ini, dan beliau juga berbahas atau berbicara dengan ilmu kalam dengan bukan seorang daripada golongan yang telah melakukan bidaah dan beliau telah berjaya menegakkan hujah ke atas ahli bidaah tersebut sehingga putus”.
Al-Imam al-Hafiz al-Bayhaqi telah meriwayatkan dalam kitabnya al-Asma’ was-Sifat[3] satu perdebatan panjang yang berlaku di antara al-Imam al-Shafi^i dengan seorang yang berfahaman Mu^tazilah yang bernama Hafs al-Fard sehingga al-Imam al-Shafi^i dapat mematah hujah-hujah lawannya. Perdebatan ini jelas membuktikan bahawa al-Imam al-Shafi^i seorang yang mahir dan pakar dalam ilmu kalam.
Selain itu, al-Imam al-Hafiz al-Bayhaqi berkata dalam kitabnya Manaqib al-Shafi^i[4]bahawa beliau membaca suatu hikayat yang ada dalam kitab Abu Nu^aym al-Asbahani daripada al-Sahib ibn ^Abbad bahawa dia menyebut dalam kitabnya dengan isnad beliau daripada Ishaq bahawa dia (Ishaq) berkata: “Ayahku berkata kepadaku: “Pada suatu hari al-Shafi^i berbicara dalam ilmu kalam dengan sebahagian fuqaha’ lalu beliau memperhalusinya dan menelitinya, bersungguh dan bersusah-susah dengannya. Lalu aku berkata kepada beliau: “Wahai Abu ^Abdullah! Ini milik ahli kalam (mutakallimun) bukannnya milik ahli halal dan haram (fuqaha’). Lalu dia berkata:

أحكمنا ذاك قبل هذا
Maknanya: “Kami telah menyempurnakan perkara itu (ilmu kalam) sebelum perkara ini (ilmu fiqh; hukum halal dan haram)”.
Ilmu kalam di sisi Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah adalah salah satu nama di antara nama-nama yang merujuk kepada ilmu tauhid. Namun, sesetengah pihak seperti golongan al-Wahhabiyyah cuba membezakan ilmu kalam dengan ilmu tauhid tanpa sebab yang kukuh. Mereka menuduh bahawa ilmu kalam Ahlus-Sunnah al-Ashairah dan al-Maturidiyyah ini mengajar falsafah yang berbelit-belit dan bukannya mengajar ilmu tauhid. Tuduhan seperti ini acap kali dikeluarkan oleh Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin dalam banyak tulisan dan ucapannya dengan bertaqlid kepada pendapat beberapa orang tokoh kegemarannya tanpa hujah dan bukti yang kukuh.

Siapalah Dr. Mohd Asri bin Zainul Abdin yang mencela ilmu kalam al-Asha^irah jika dibandingkan dengan ketokohan dan kesarjanaan al-Imam al-Hafiz Ibn ^Asakir dan al-Imam al-Hafiz al-Bayhaqi yang membela ilmu kalam Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah! In sha' Allah blog ini akan membongkar kerapuhan dakwaan Dr. Mohd Asri ke atas ilmu kalam. WaLlahu a^lam.

________________________________________

[1] Ibn ^Asakir, Tabyin Kadhibil-Muftari, Dar al-Kitab al-^Arabi, Beirut, hlm. 337.
[2] Ibid, hlm. 339.
[3] Al-Bayhaqi, al-Asma’ was-Sifat, Dar Ihya’ al-Turath al-^Arabi, Beirut, hlm. 252.
[4] Al-Bayhaqi, Manaqib al-Shafi^i, Dar al-Nasr lit-Tiba^ah, Kaherah, juz. 1, hlm. 457.

Ahad, 2 Ogos 2009

PENGAJIAN SIFAT DUA PULUH TIDAK MENGGERUNKAN MUSUH ISLAM??

Pada tahun 2006 saya pernah menerima laporan melalui sms daripada salah seorang murid saya bahawa dia sedang menghadiri satu tazkirah Maghrib di sebuah surau kampungnya iaitu Kampung Jerangau Sungai, Dungun. Tazkirah itu disampaikan oleh seorang ustaz muda lepasan Universiti al-Azhar. Menurut laporan murid saya itu, ustaz itu mengatakan bahawa pengajian sifat dua puluh tidak menggerunkan musuh Islam, bahkan untuk menggerunkan musuh Islam ialah dengan hukum hudud. Setelah saya selidik dan bertanya sendiri si ustaz tu maka munasabahlah dia berkata begitu kerana dia mengaku sendiri bahawa dia secara praktikalnya berpegang dengan pegangan Wahhabiyyah. Pernyataan si ustaz ini berkenaan sifat dua puluh sangat tidak tepat dan menunjukkan dia cuba memesongkan tanggapan masyarakat Kg Jerangau Sungai terhadap pengajian tauhid. Seolah-olah dia cuba menafikan sumbangan pengajian ilmu kalam Ahlis-Sunnah ini kepada kekuatan aqidah dan keberanian jiwa orang Islam selama ini.

Mungkin dia lupa atau jahil sejarah Islam yang telahpun membuktikan keberanian, kekuatan dan kepahlawanan tokoh al-Asha^irah al-Maturidiyyah digeruni oleh musuh Islam. Antara tokoh tersebut ialah al-Sultan Salahud-Din al-Ayyubi dan al-Sultan Muhammad al-Fatih.

Al-Sultan Salahud-Din al-Ayyubi

Al-Sultan al-^Alim al-Wara^ al-Faris al-Nasir al-Mujahid Salahud-Din al-Ayyubi atau nama sebenarnya Salahud-Din Yusuf ibn Ayyub ibn Shadi (w. 589 H) amat berjasa kepada Islam dan umat Islam. Antara jasa beliau ialah memerdekakan Masjid al-Aqsa dan Baytul-Maqdis dari penjajahan kuffar Eropah Salibiyyah. Dalam lipatan sejarah menunjukkan bahawa beliau seorang tokoh Islam yang digeruni dan disegani oleh musuh Islam.
Beliau terkenal sebagai pemerintah yang bertaqwa dan mencintai ilmu agama. Menurut al-Imam Tajud-Din al-Subki dalam kitabnya Tabaqat al-Shafi^iyyah bahawa al-Sultan Salahud-Din telah mendengar pengajian hadis daripada al-Hafiz Abu Tahir al-Silafi, Abu Tahir ibn ^Awf, al-Shaykh Qutubud-Din al-Naysaburi, ^Abdullah Barri al-Nahwi dan ramai lagi.
Al-Mu’arrikh Taqiyyud-Din al-Maqrizi dalam kitabnya al-Mawa^iz wal-I^tibar bi-Dhikril-Khutat wal-Athar, al-Imam al-Hafiz Jalalud-Din al-Suyuti dalam kitabnya al-Wasa’il ila Ma^rifatil-Awa’il dan al-^Allamah Ibn ^Illan al-Siddiqi dalam kitabnya al-Futuhat al-Rabbaniyyah ^alal-Adhkar al-Nabawiyyah berkata bahawa sebaik sahaja al-Sultan Salahud-Din al-Ayyub dilantik menjadi pemerintah lalu beliau memerintahkan agar muazzin mengumandangkan aqidah al-Asha^irah pada waktu tasbih iaitu sebelum Subuh. Aqidah al-Asha^irah yang dikumandangkan itu dikenali sebagai al-^Aqidatul-Murshidah yang ditulis oleh al-Shaykh Fakhrud-Din Abu Mansur al-Dimashqi yang dikenali sebagai Ibn ^Asakir al-Shafi^i al-Mashhur.
Selain itu, al-Sultan Salahud-Din juga memerintahkan agar sebuah risalah aqidah tauhid yang berjudul Hada’iqul-Fusul wa-Jawahirul-Usul agar diajarkan di tempat-tempat pengajian agama untuk kanak-kanak sehingga risalah ini juga dikenali sebagai al-^Aqidah al-Salahiyyah bersempena nama beliau. Risalah aqidah tauhid yang juga menurut pendekatan al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari ini ditulis oleh al-^Allamah Muhammad ibn HibatiLlah al-Makki dan beliau menghadiahkannya kepada al-Sultan Salahud-Din.

Al-Sultan Muhammad al-Fatih
Nama sebenar beliau ialah al-Sultan Muhammad al-Thani ibn al-Sultan Murad Khan al-Thani (w. 886 H). Selepas bapanya wafat, beliau menduduki takhta pemerintahan seusia 19 tahun 5 bulan pada tahun 855 H. Al-Sultan Muhammad al-Fatih seorang raja yang amat besar sumbangan jihadnya, sangat kuat keberaniannya dan sangat kuat bertawakal kepada Allah taala.
Beliau digelarkan al-Fatih kerana jasanya yang sangat besar kepada penyebaran agama Islam ke lebih dua puluh wilayah kafir serta penguasaan beliau ke atas lebih dua ratus bandar dan paling utama ialah kerana beliaulah yang dipuji oleh Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam dengan sabda baginda:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ وَلَنِعْمَ الأَميرُ أمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذلِكَ الْجَيْشُ
Mafhumnya: “Sesungguhnya Konstantinapol akan dibukakan. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera pemerintah itu” [Diriwayatkan oleh Ahmad dalam kitabnya Musnad Ahmad dan oleh al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak dengan sanad sahih].
Sesungguhnya semua yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam itu benar sama ada berkenaan perkhabaran peristiwa lampau atau peristiwa masa depan di dunia dan di akhirat, sama ada berkenaan hukum halal atau haram sebahagian perbuatan dan perkataan manusia. Antara kebenaran yang telah dikhabarkan oleh baginda ialah pembukaan Konstantinapol dan baginda memuji pemimpin dan tentera yang membuka kota tersebut.
Kota Konstantinapol ini adalah pembukaan Islam yang sangat agung kerana janji Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam tersebut. Ramai khalifah dan sultan yang telah cuba membuka kota tersebut secara bersungguh-sungguh memenuhi janji Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam itu tapi mereka tidak berjaya. Mu^awiyah ibn Abi Sufyan telah mengepungkan kota tersebut pada zaman pemerintahan Khilafah Sayyidina ^Ali radiyaLlahu ^anhu wa-karama wajhah, Sufyan ibn Aws telah mengepungnya pada zaman pemerintahan Mu^awiyah dan Maslamah ibn ^Abdil-Malik telah mengepungnya pada zaman pemerintahan ^Umar ibn ^Abdil-^Aziz. Seterusnya, kota ini pernah dikepung pada zaman pemerintahan Hisham ibn ^Abdil-Malik dan juga pernah dikepung oleh salah seorang panglima tentera al-Khalifah Harun al-Rashid. Sesungguhnya kota Konstantinapol ini akhirnya berjaya dibuka oleh al-Sultan Muhammad al-Thani Fatihul-Qustantiniyyah pada siang Rabu 10 Jamadil-Akhir 857 H.

Pujian Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam dalam hadis di atas adalah suatu khabar gembira yang agung buat al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah lantaran al-Sultan Muhammad al-Fatih adalah sebahagian daripada mereka dan berpegang dengan aqidah mereka. Sesungguhnya mustahil Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam memuji peribadi yang sesat aqidah dan amalnya. Hadis di atas juga membuktikan dakwaan pihak tertentu seperti Wahhabiyyah yang menuduh al-Asha^irah al-Maturidiyyah terkeluar dari Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Firqatun-Najiyah adalah salah. Begitu juga tuduhan mereka bahawa pengajian sifat dua puluh atau pengajian aqidah tauhid secara kalam yang dipelopori oleh al-Asha^irah al-Maturidiyyah tidak menggerunkan musuh atau memundurkan umat adalah salah sama sekali dan suatu momokan terhadap umat Islam semata-mata. Jikalah pengajian aqidah tauhid secara pendekatan kalam tidak membawa faedah kepada kekuatan aqidah dan jiwa umat Islam, mengapa kedua-dua tokoh yang hebat ini menitikberatkan pengajian tersebut? Mengapa majoriti ulama Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah menyebarkan dan mempertahankan pengajian ini sehingga kini?!

Tatimmah

Meskipun secara zahirnya memanglah pengajian sifat dua puluh ini tidak menggerunkan musuh kerana pengajian ini bukannya mengajar cara membuat senjata yang canggih dan berbahaya kepada jasad musuh Islam, namun secara seninya pengajian ini menggerunkan musuh-musuh melalui hujah-hujah al-Asha^irah al-Maturidiyyah yang dilontarkan dan melalui keberanian dan sahsiah unggul tokoh-tokoh mereka. Sebenarnya pengajian sifat dua puluh atau pengajian tauhid menurut pendekatan al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari dan al-Imam Abu Mansur al-Maturidi memang digeruni oleh musuh-musuh Islam seperti kuffar Kristian dan Yahudi, dan juga golongan yang menyandarkan diri mereka kepada Islam seperti puak Mu^tazilah, Jabbariyyah, Mushabbihah, Mujassimah dan lain-lain lagi lantaran hujah-hujah naqli dan aqli yang dikemukakan oleh dua imam besar ini.
Dua imam besar ini pendebat yang digeruni golongan bidaah dan menulis banyak kitab yang mengandungi hujah-hujah yang mantap dan putus bagi menolak dan menyanggah kekeliruan dan kesesatan mereka. Kemudian, para pengikut dua imam besar ini juga turut menulis kitab-kitab ratusan jilid dan berdebat bagi menyanggah golongan bidaah dan sesat tersebut sehingga bendera mazhab al-Ash^ari berkibar di timur dan barat. Tokoh yang paling menonjol menyebarkan mazhab al-Ash^ari ialah al-Ustadh Abu Bakr ibn Furak, al-Imam Abu Ishaq al-Isfirayini (menyebarkan mazhab al-Ash^ari di sebelah timur) dan al-Qadi al-Imam Abu Bakr al-Baqillani (menyebarkan mazhab al-Ash^ari di sebelah timur dan barat). Oleh itu, layak dikatakan bahawa pada kurun kelima hijrah semua umat Islam adalah Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah kecuali ada segelintir yang janggal yang terdiri daripada golongan sesat seperti Mu^tazilah, Mushabbihah (sekarang dikenali sebagai Wahhabiyyah), Khawarij (yang juga kini dikenali sebagai Wahhabiyyah) dan Shi^ah. Bahkan, anda tidak akan menemui seorang alim muhaqqiq atau faqih mudaqqiq melainkan dia adalah seorang Ash^ari atau Maturidi.
Al-Imam al-Faqih al-Usuli al-Zarkashi berkata dalam kitabnya Tashniful-Masami^ bahawa Ibnul-^Arabi berkata:

كانت المعتزلة قد رفعوا رءوسهم حتى أظهر الله الأشعري فحجزهم في أقماع السماسم
Maknanya: “Sesungguhnya Mu^tazilah pernah mengangkat kepala mereka sehinggalah Allah menzahirkan al-Ash^ari. Lalu beliau telah menyekat mereka dalam kerosong biji lenga (iaitu disempitkan ke atas mereka habis-habisan)”. Intaha. WaLlahu a^lam…

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...