Dengan
nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Pendahuluan
Segala pujian bagi Allah tuhan sekelian
alam, yang menciptakan bumi, langit, Arasy,
tempat, masa dan semua makhluk, wujud-Nya sebelum kewujudan makhluk-Nya,
wujud-Nya azali lagi abadi dan wujud-Nya tanpa bertempat. Selawat dan salam ke atas
junjungan besar kita Nabi Muhammad, keluarga, para sahabat dan sekelian umat
Islam yang mengikut mereka dengan ihsan sehingga hari Kiamat.
Allah subhanahu wa ta^ala
telah berfirman:
سبْحَنَ الّذِى أَسرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسجِدِ
الْحَرَامِ إِلى الْمَسجِدِ الأَقْصا الّذِى بَرَكْنَا حَوْلَهُ لِنرِيَهُ مِنْ
ءَايَتِنَا إِنّهُ هُوَ السمِيعُ الْبَصِيرُ
Mafhumnya: “Maha Suci (Allah) yang memperjalankan
hambaNya pada waktu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami
berkati sekelilingnya untuk memperlihatkannya tanda-tanda kekuasaan Kami.
Sesungguhnya Dialah (Tuhan) Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat”.
[Surah al-Isra', ayat 1]
Kalimah سُبْحَانَ berasal dari kalimah السُّبْحُ. Dari segi bahasa, kalimah السُّبْحُ (al-subhu)
membawa makna التَّبَاعُدُ (al-taba^ud) iaitu saling berjauhan. Selanjutnya, kalimah سُبْحَانَ اللهُ (SubhanaLlah)
pula membawa makna Maha Suci Allah; iaitu Allah amat jauh dari persamaan dengan
makhluk dari sebarang aspek dan sebarang bentuk.
Israk dari segi bahasa bermakna perjalanan pada waktu malam.
Jesteru, peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada sebahagian malam sahaja.
Al-Masjid al-Haram dinamakan sebagai al-Haram kerana masjid
tersebut mempunyai kehormatan dan hukum-hukumnya yang tersendiri; antaranya:
i.
Berlipat
kali ganda pahala solat padanya,
ii.
Kewujudannya
di Mekah, yang merupakan semulia-mulia tempat di muka bumi,
iii.
Pengharaman
memburu hidupan darat di tanah haram.
Al-Masjid al-Aqsa pula dinamakan sebagai al-Aqsa kerana masjid
tersebut terletak jauh dari al-Masjid al-Haram. Kedua-dua masjid ini merupakan
binaan yang telah dibina oleh Nabi Adam ^alayhis-salam. Baginda ^alayhis-salam
pada awalnya telah membina Ka^bah di Mekah, selepas empat puluh tahun
barulah baginda ^alayhis-salam membina pula al-Masjid al-Aqsa di
Palestin.
Meskipun bukan dibina sebelum zaman Nabi Muhammad sallaLlahu
^alayhi wa sallam, al-Masjid al-Aqsa telah pun dinamakan oleh Allah ta^ala sebagai
masjid. Hal ini menunjukkan bahawa masjid adalah tempat untuk kaum Muslimin
beribadat kepada Allah Yang Esa dengan bersolat di dalamnya. Kaum Muslimin atau
umat Islam adalah suatu gelaran bagi pengikut setiap para nabi dan bukannya terhad
kepada umat Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam sahaja. Oleh
sebab itu, masjid telah pun wujud sebelum kebangkitan Nabi Muhammad sallaLlahu
^alayhi wa sallam.
Firman Allah ta^ala:
الْمَسجِدِ الأَقْصا الّذِى بَرَكْنَا حَوْلَهُ
Mafhumnya: "…al-Masjid al-Aqsa
yang telah Kami memberkati sekelilingnya…"
Oleh kerana al-Masjid al-Aqsa berada di daratan Syam, maka kawasan yang
diberkati di sekeliling al-Masjid al-Aqsa itu dalam ayat di atas ialah daratan Syam.
Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Rasulullah sallaLlahu
^alayhi wa sallam telah bersabda:
اللهمّ بارك لنا فى
شامنا ويمننا
Maksudnya: “Ya Allah! Berkatilah kami
di bumi Syam kami dan Yaman kami”
Mereka bertanya:
وفى نجدنا يا رسول الله؟
Maksudnya: “Mereka berkata: Pada Najd
kami wahai Rasulullah?”
Baginda bersabda:
هناك الزلازل والفتن هناك يطلع قرن الشيطان
Maksudnya: “Di sana ada gempa bumi dan fitnah (kerosakan),
di sana akan
muncul tanduk syaitan”.
Hadis di atas menunjukkan bahawa bumi Syam penuh keberkatan dan
Palestin yang terdapat di dalamnya Masjid al-Aqsa terletak di bumi Syam.
Allah ta^ala telah mengutuskan para nabi ^alayhimus-solatu
was-salam sebagai pembawa rahmat bagi manusia kerana akal manusia tidak
mampu secara bersendirian mengetahui sesuatu yang akan menyelamatkannya di
akhirat kelak. Justeru inilah yang dikatakan kurniaan Allah kepada manusia.
Sesungguhnya Allah telah membekalkan kepada para nabi-Nya ^alayhimus-salatu
was-salam dengan mukjizat yang nyata sebagai dalil bahawa mereka
benar-benar utusan Allah.
Mukjizat merupakan sesuatu yang luar biasa yang muncul di tangan orang
yang mendakwa sebagai nabi, yang bertepatan dengan seruan mereka, dan yang selamat
dari persaingan seumpamanya.
Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam merupakan seorang nabi
yang diberikan mukjizat yang paling agung. Ibnu Abi Hatim telah menukilkan dalam
kitab beliau Manaqib al-Shafi^i daripada
bapanya daripada ^Umar ibn Sawad daripada al-Imam al-Shafi^i radiyaLlahu
^anhu; beliau telah berkata:
“Allah tidak memberikan
sesuatu (mukjizat kepada para nabi-Nya) yang tidak diberikan kepada Muhammad. Maka aku berkata (iaitu ^Umar): “^Isa telah diberikan
(mukjizat) menghidupkan orang mati”. Beliau berkata: “Muhammad
telah diberikan rintihan tunggul kurma sehingga suaranya didengari. Maka ini
lebih hebat dari yang demikian”.
Al-Imam al-Shafi^i radiyaLlahu ^anhu
berkata demikian kerana perbuatan menghidupkan orang mati yang asalnya hidup bukanlah
suatu yang sangat luar biasa jika dibandingkan sepohon pokok yang memang pada
asalnya tidak hidup seperti manusia, tidak berkata-kata apatah lagi boleh menangis
sehingga orang ramai dapat mendengar rintihannya.
Peristiwa rengekan atau rintihan
tunggul kurma ini berlaku lantaran amat merindui Rasulullah sallaLlahu
^alayhi wa sallam. Ini adalah antara mukjizat baginda yang paling ajaib.
Riwayat peristiwa ini termasuk dalam hadis mutawatir.
Sesungguhnya sebahagian pujangga yang memuji Nabi sallaLlahu
^alayhi wa sallam telah berkata:
إن كان موسى سقى الأسباط من حجر
فإن فى الكفّ معنى ليس فى الحجر
إن كان عيسى برا الأعمى بدعوته
فكم براحته قد ردّ من بصر
Maksudnya: “Sekiranya Musa telah
memberi minum al-Asbat (Bani Isra`il) dari batu, maka sesungguhnya di telapak
tangan (Nabi Muhammad) ada suatu pengertian yang tiada di batu itu, Sekiranya ^Isa
menyembuhkan si buta dengan doanya, maka betapa pula (mukjizat) dengan telapak
tangannya sahaja baginda benar-benar telah mengembalikan penglihatan?”.
Pujian yang disampaikan di atas adalah mengenai mukjizat Nabi
Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam lebih hebat berbanding dengan
mukjizat Nabi Musa ^alayhis-salam yang juga hebat kerana mengeluarkan dua
belas air mata air dari batu untuk minuman Bani Isra`il yang terdiri dari dua
belas kaum kerana air keluar dari celahan jari Nabi Muhammad sallaLlahu
^alayhi wa sallam sahaja. Akal akan mengatakan mustahil air keluar dari
daging dan tulang berbanding keluar dari batu. Demikian juga mencelikkan orang
buta dengan izin (kuasa dan kehendak) Allah iaitu mukjizat Nabi Isa ^alayhis-salam
bukanlah terlalu luar biasa jika dibandingkan dengan mukjizat Nabi Muhammad sallaLlahu
^alayhi wa sallam yang mengembalikan mata seorang sahabat iaitu Qatadah ibn
al-Nu^man, yang terkeluar hampir tercabut ketika peperangan Badar. Baginda sallaLlahu
^alayhi wa sallam hanya meletakkan kembali mata tersebut ke tempat asalnya
dengan tangannya yang mulia sehinggakan selepas kejadian itu sahabat tersebut
tidak pasti mata yang mana satukah ditimpa musibah tersebut. Antara mukjizat
yang diberikan oleh Allah kepada Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam
ialah Israk dn Mikraj.
Israk (Isra')
Mukjizat Israk
benar-benar berlaku dan jelas berdasarkan nas al-Quran dan hadis sahih. Oleh
itu kita wajib beriman bahawa Allah telah memperjalankan Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa sallam
(Israk) pada sebahagian malam dari al-Masjid al-Haram di Mekah al-Mukarramah ke
al-Masjid al-Aqsa di Palestin.
Sebenarnya Ahlul-Haqq (golongan benar) dari kalangan salaf
dan khalaf yang terdiri di kalangan ahli hadis, ahli kalam (ulama tauhid),
ahli tafsir dan ahli fekah telah bersepakat bahawa peristiwa Israk berlaku ke
atas Nabi Muhammad dengan jasad beserta ruh dan dalam keadaan sedar. Inilah
pandangan yang benar. Pendapat ini merupakan pendapat Ibnu Abbas, Jabir, Anas, ^Umar,
Huzayfah dan selain mereka dari kalangan para sahabat. Inilah juga merupakan
pendapat al-Imam Ahmad, al-Tabari dan selainnya. Oleh itu, maka tidak ada sebarang
perselisihan berkenaan peristiwa Israk kerana ada nas al-Quran mengenainya.
Oleh kerana itulah ulama mengatakan: “Barang
sesiapa mengingkari peristiwa Israk, sesungguhnya dia telah membohongi al-Quran
dan sesiapa yang membohongi al-Quran hukumnya kafir”.
Al-Imam al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Shaddad Bin Aus,
beliau telah berkata: Kami telah berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah engkau
di-israk-kan? Baginda sallaLlahu ^alayhi wa sallam bersabda; mafhumnya:
“Aku telah tunaikan solat
al-^Atamah (solat pada waktu malam) bersama sahabat-sahabatku di Mekah, lalu
Jibril ^alayhis-salam memberiku satu
binatang (namanya al-Buraq) yang putih, lebih besar dari keldai dan lebih kecil
dari baghal, lalu dia (Jibril) berkata: "Tungganglah!". Maka aku
merasa sukar. Kemudian (Jibril) memusingkan bintang tunggangan itu dengan
memegang telinganya kemudian mengangkatku ke atasnya. Lalu binatang itu pun bertolak di mana
langkahnya sejauh mata memandang sehingga kami sampai suatu tempat yang
terdapat pohon kurma, maka diturunkan aku. Lalu Jibril berkata: "Solatlah!".
Maka aku pun tunaikan solat. Kemudian kami tunggangi semula, lalu Jibril
menyoalku: "Adakah engkau tahu di manakah engkau solat tadi?". Aku
berkata: "Allah yang lebih mengetahui". Jibril berkata: "Kamu
solat di Yathrib, kamu solat di Tayyibah". Selepas itu binatang tadi
bertolak membawa kami langkahnya sejauh mata memandang, sampailah di satu
tempat lalu Jibril berkata: "Turun!". Maka aku pun turun. Kemudian
dia berkata: "Solatlah!" Maka
aku pun tunaikan solat Kemudian kami tunggangi semula lalu Jibril menyoalku: "Adakah
kamu tahu di manakah kamu solat tadi? Kamu solat di Tur Sayna' yang Allah
berkata-kata dengan Nabi Musa ^alayhis-salam di situ". Kemudian binatang tadi bertolak semula membawa kami,
langkahnya sejauh mata memandang. Kami sampai suatu tempat, nampak di sana istana-istana. Maka
Jibril berkata: "Turun!" Maka aku pun turun. Kemudian dia berkata: "Solatlah!"
Maka aku pun tunaikan solat. Kemudian kami tunggangi semula. Jibril berkata: "Adakah
engkau tahu di mana engkau solat tadi?".
Aku berkata: "Allah yang lebih mengetahui". Jibril berkata:
"Engkau sembahyang di Bayt Laham di tempat keputeraan Isa ^alayhis-salam al-Masih ibn Maryam". Kemudian kami
bertolak sehingga kami memasuki kota
melalui pintunya dari arah Yaman. Lalu Jibril
mendatangi kiblat masjid kemudian mengikat binatang tunggangan itu di situ dan
kami memasuki masjid melalui pintu yang matahari dan bulan condong kepadanya.
Kemudian aku sembahyang di bahagian masjid sebagaimana yang dikehendaki oleh
Allah”.
Antara perkara ajaib yang diperlihatkan kepada Rasulullah sallaLlahu
^alayhi wa sallam dalam peristiwa Israk ialah:
1. Dunia.
Rasulullah sallaLlahu
^alayhi wa sallam melihat dalam perjalanan baginda ke Baitul Maqdis dunia
dalam bentuk seorang perempuan tua.
2. Iblis.
Baginda melihat
sesuatu menyerunya iaitu Iblis la^natuLlahi ^alayh. Iblis la^natuLlahi ^alayh dari golongan jin
yang beriman pada awalnya, kemudian kafir kepada Allah kerana penentangannya
terhadap Allah. Allah ta^ala telah berfirman dalam al-Quran, surah
al-Kahf ayat 50:
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ
Maksudnya: “Dan ketika kami
memerintahkan kepada para malaikat agar sujud kepada Adam maka merekapun sujud
kecuali Iblis. Dia adalah di kalangan jin lalu dia menderhakai perintah Tuhannya”.
Kita dilarang untuk mengatakan bahawa
Iblis adalah ketua para malaikat kerana dia bukanlah dari kalangan malaikat.
Dalil yang jelas berkenaan perkara ini ialah Allah ta^ala berfirman
dalam surah al-Kahf, ayat 50:
إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ
Maksudnya: “Kecuali Iblis ,
adalah dia dari golongan jin”.
Menurut satu riwayat hadis daripada
Sayyidatina ^A'ishah radiyaLlahu ^anha bahawa Rasulullah sallaLlahu
^alayhi wa sallam telah bersabda:
خلقت الملائكة من نور
وخلق الجانّ من مارج من نار
Maksudnya: “Malaikat diciptakan dari
cahaya dan jin diciptakan dari api yang membara”.
Melalui dua dalil di atas nyatalah
bahawa iblis sebenarnya dari golongan jin bukannya malaikat.
3. Mashitah (wanita tukang sikat) anak
perempuan Firaun.
Kemudian Nabi sallaLlahu
^alayhi wa sallam terhidu bauan yang amat wangi dari kubur wanita tukang
sikat anak perempuan Firaun. Beliau merupakan seorang wanita yang beriman lagi
solehah.
Diceritakan bahawa ketika beliau
menyisir rambut anak perempuan Firaun sikat terjatuh dari tangannya lalu beliau
menyebut “Bismillah”. Lantas anak
perempuan Firaun bertanya: “Adakah bagimu
ada tuhan selain bapaku?”. Wanita itu pun menjawab:“Ya! Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah”. Tanpa berlengah lagi,
anak perempuan Firaun itu pun mengadu kepada bapanya. Lalu Firaun menyuruh wanita
tukang sikat itu meninggalkan agama Islam dan masuk kembali ke agama asal, namun
wanita itu enggan.
Selepas itu, Firaun menyediakan air yang amat panas untuk memasukkan
wanita itu beserta anaknya yang masih menyusu ke dalam air tersebut. Sebelum
anaknya dilempar, anak tersebut dapat berkata-kata dengan izin (dengan
kehenadak dan kuasa) Allah kepada ibunya itu: “Wahai ibuku! Bersabarlah. Sesungguhnya azab Allah di akhirat amat pedih
berbanding dengan azab di dunia. Maka janganlah engkau berdukacita kerana
engkau berada di jalan yang benar”. Wsanita itu pun berkata kepada Firaun:
“Aku ada suatu permintaan daripadamu
iaitu engkau hendaklah himpunkan dan kebumikan tulang-tulangku”. Firaun
menjawab: “Baiklah”. Kemudian wanita
tukang sikat itu pun dilontarkan ke dalam air tersebut. Matilah wanita itu
sebagai syahid bersama anak-anaknya.
4. Pejuang di jalan Allah.
Nabi sallaLlahu
^alayhi wa sallam melihat satu kaum bercucuk tanam dan menuai hasilnya
dalam masa dua hari sahaja, lalu baginda bertanya kepada Jibril lalu dijawab: “
Mereka ialah pejuang yang berjuang pada
jalan Allah”.
Berjihad di jalan Allah ada dua bahagian iaitu:
(i)
berjihad
dengan pedang iaitu berperang ( al-jihad
bis-sinan), dan
(ii) berjihad
dengan keterangan (al-jihad bil-bayan).
Jihad ini pahalanya seperti orang yang berjuang dengan pedang.
Pada hari ini, barang sesiapa
yang menyuruh kepada yang makruf dan melarang dari yang mungkar dengan
bersungguh-sungguh maka dia merupakan pejuang (mujahid) pada jalan Allah. Mujahid
pada jalan Allah akan mendapat darjat yang agung di sisi Allah di akhirat
nanti. Al-Imam al-Bayhaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah sallaLlahu ^alayhi
wa sallam telah bersabda:
المتمسك بسنتي عند فساد أمتي له أجر
شهيد
Maksudnya: “Orang
yang berpegang teguh dengan sunnahku ketika rosaknya umatku mendapat pahala orang mati syahid”.
Yang dimaksudkan dengan sunnah dalam
hadis ini ialah syariat iaitu perkara merangkumi akidah dan hukum-hukum yang
dibawa oleh Nabi Muhammad dan bukannya sesuatu amalan yang bukan fardu seperti
solat sunat dan sebagainya yang ditakrifkan di sisi ahli fekah dengan pengertian
sunat sebagai suatu yang jika sesiapa melakukannya beroleh pahala dan jika meninggalkannya
tidak berdosa.
5. Pemidato-pemidato yang membawa fitnah.
Rasulullah sallaLlahu
^alayhi wa sallam telah melihat segolongan manusia yang memotong
lidah-lidah mereka serta bibir-bibir mereka dengan gunting-gunting dari api
neraka. Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam bertanya Jibril perihal
golongan tersebut lalu dijawab: “Merekalah
pemidato-pemidato yang membawa fitnah”, iaitu mereka berpidato pada perkara
kejahatan dan fitnah dengan menyeru manusia kepada kesesatan, kemusnahan,
penipuan dan khianat.
6. Golongan yang bercakap perkataan batil.
Rasul sallaLlahu
^alayhi wa sallam melihat seekor lembu jantan keluar dari lubang yang
sempit kemudian hendak kembali memasukinya, tetapi tidak boleh. Lalu Jibril berkata
kepada Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam sallaLlahu ^alayhi wa sallam:
“Inilah golongan yang bercakap dengan
perkataan batil yang m,engandungi kemudaratan kepada manusia serta kerosakan,
kemudian hendak merujuk kembali maka tidak boleh”.
7. Golongan yang tidak menunaikan zakat.
Rasul sallaLlahu
^alayhi wa sallam telah melihat segolongan manusia seperti binatang, Jibril
memberitahu Nabi sallaLlahu ^alayhi wa sallam: “Mereka itulah orang-orang yang tidak menunaikan zakat”.
8. Orang yang meninggalkan solat.
Rasul sallaLlahu
^alayhi wa sallam telah melihat suatu kaum memecahkan kepala mereka sendiri
kemudian kepalanya kembali menjadi seperti sebelum dipecahkan. Jibril berkata:
“Merekalah yang memberat-beratkan kepala
mereka dari menunaikan solat”.
9. Penzina.
Rasul sallaLlahu
^alayhi wa sallam telah melihat suatu kaum berlumba-lumba mendekati daging
yang busuk lagi kotor dan meninggalkan daging yang baik lagi elok. Lalu Jibril
pun berkata: “Merekalah golongan dari
kalangan umatmu yang meninggalkan yang halal dan tidak merasainya, tetapi
mendekati yang haram lagi kotor lalu memakannya. Merekalah penzina”.
10. Peminum arak.
Rasul sallaLlahu
^alayhi wa sallam telah melihat segolongan manusia minum air nanah yang
kotor yang keluar dari penzina. Maka Jibril pun berkata: “Mereka itulah peminum-peminum arak yang diharamkan di dunia”.
11. Golongan pengumpat.
Rasul sallaLlahu
^alayhi wa sallam melihat suatu kaum mencakar wajah-wajah mereka serta dada
mereka dengan kuku-kuku dari tembaga. Jibril berkata: “Merekalah golongan yang sering mengumpat sesama manusia”.
Ketahuilah bahawa dosa mengumpat
merupakan salah satu sebab utama seseorang itu diseksa di dalam alam kubur. Begitu juga dosa
kerana mengadu domba (batu api) dan mengabaikan kebersihan dari najis air
kencing. Mengumpat golongan yang bertakwa kepada Allah merupakan dosa besar.
Bagi orang yang berpuasa, mengumpat tidak membatalkan puasa seseorang. Al-Imam
Ahmad radiyaLlahu ^anhu pernah berkata: “Sekiranya mengumpat membatalkan puasa sudah pasti puasa kita tidak sah”.
Kata-kata bermaksud bahawa kebanyakan manusia tidak terlepas dari perbuatan mengumpat.
Mikraj (Mi^raj)
Peristiwa Mikraj
memang betul berlaku berdasarkan hadis-hadis yang sahih, adapun di dalam
al-Quran maka tidak tercatat atau dinaskan secara jelas tetapi disebut
mengenainya oleh beberapa ayat yang hampir menjadi nas yang jelas.
Allah berfirman dalam al-Quran,
surah al-Najm, ayat 13 hingga 15:
وَلَقَدْ رَآهُ
نَزْلَةً أُخْرَى. عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى. عِنْدَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَى
Maksudnya: “Demi sesungguhnya
(Muhammad) telah melihatnya (Jibril) buat kali yang kedua di Sidratul-Muntaha. Di
sanalah terletaknya Jannatul-Ma'wa”.
Sekiranya ada orang yang beranggapan
bahawa makna melihat dalam ayat 13, surah al-Najm di atas berkemungkinan
Nabi sallaLlahu ^alayhi wa sallam berkeadaan mimpi bukannya jaga, maka
kita jawab bahawa ini adalah suatu takwil. Sebarang pentakwilan nas iaitu
mengeluarkannya dari makna yang tersurat kepada yang tersirat tidak boleh
dilakukan tanpa sandaran dalil akal yang putus atau dalil sam^i yang thabit
atau sahih seperti yang dinyatakan oleh seorang ulama usul al-Imam al-Razi
dalam al-Mahsul. Di sini tidak ada sebarang
dalil yang menunjukkan kebenaran takwil di atas.
Oleh yang demikian, pandangan atau
penglihatan Nabi sallaLlahu ^alayhi wa sallam dalam peristiwa Mikraj adalah
secara sedar atau jaga iaitu secara jaga baginda melihat Jibril dalam rupa
bentuk yang asal di Sidratul Muntaha yang terletak di langit yang keenam.
Justeru peristiwa Mikraj ini secara tidak langsung sabit atau dinaskan di dalam
al-Quran dengan nas yang hampir jelas.
Al-Imam Muslim meriwayatkan daripada
Anas ibn Malik bahawa Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam telah
menceritakan mengenai peristiwa Mikraj yang berlaku kepada diri baginda dalam
hadisnya; mafhumnya:
“Kemudian kami dibawa naik ke
langit, lalu Jibril memohon pintu langit dibuka. Lalu Jibril ditanya: "Siapakah
engkau?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril ditanya lagi: "Siapakah
bersamamu?". Jibril berkata: "Muhammad". Jibril ditanya lagi:
"Adakah telah diutuskan kepadanya?"[1].
Jibril berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan kepadanya". Lalu
dibukakanlah bagi kami. Di situlah aku menemui Adam, lalu dia mengucapkan
selamat datang kepadaku dan mendoakan kebaikan untukku. Kemudian kami dibawa naik
lagi ke langit kedua, lalu Jibril memohon pintu langit dibuka. Lalu ditanya:
"Siapakah engkau?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril
ditanya lagi: "Siapakah bersamamu?". Jibril berkata:
"Muhammad". Jibril ditanya lagi: "Adakah telah diutuskan
kepadanya?". Jibril berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan
kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi kami. Di situlah aku menemui dua orang sepupuku
iaitu ^Isa ibn Maryam dan Yahya ibn Zakaria salawatuLlahi ^alayhis-salam.
Lalu mereka berdua mengucapkan selamat datang dan mendoakan kebaikan untukku. Kemudian
aku dibawa naik ke langit ketiga, lalu
Jibril memohon pintu dibuka. Lalu Jibril ditanya: "Siapakah engkau?".
Jibril menjawab: "Jibril". Jibril ditanya lagi: "Siapakah
bersamamu?". Jibril berkata: "Muhammad". Jibril ditanya lagi:
"Adakah telah diutuskan kepadanya?". Jibril berkata:
"Sesungguhnya telah diutuskan kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi
kami. Di situlah aku menemui Yusuf sallaLlahu
^alayhi wa sallam. Ingatlah
sesungguhnya dia diberikan setengah ketampanan. Lalu dia mengucapkan selamat datang
kepadaku dan mendoakan kebaikan untukku. Kemudian kami dinaikkan ke langit
keempat, lalu Jibril memohon pintu dibuka Lalu Jibril ditanya: "Siapakah
ini?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril ditanya lagi:
"Siapakah bersamamu?". Jibril berkata: "Muhammad". Jibril
ditanya lagi: "Adakah telah diutuskan kepadanya?". Jibril berkata:
"Sesungguhnya telah diutuskan kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi
kami. Di situlah aku menemui Idris. Lalu dia mengucapkan selamat datang
kepadaku dan mendoakan kebaikan untukku. Firman Allah ta^ala (dalam surah Maryam, ayat 57;
mafhumnya): "Dan kami mengangkatnya
ke suatu tempat yang tinggi". Kemudian kami dibawa naik ke langit kelima lalu Jibril memohon
pintu dibuka Lalu Jibril ditanya: "Siapakah ini?". Jibril menjawab:
"Jibril". Jibril ditanya lagi: "Siapakah bersamamu?".
Jibril berkata: "Muhammad". Jibril ditanya lagi: "Adakah telah
diutuskan kepadanya?". Jibril berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan
kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi kami. Di situlah aku menemui Harun. Lalu
dia mengucapkan selamat datang kepadaku dan mendoakan kebaikan untukku. Kemudian
kami dibawa naik ke langit keenam lalu Jibril memohon pintu dibuka Lalu Jibril
ditanya: "Siapakah ini?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril
ditanya lagi: "Siapakah bersamamu?". Jibril berkata:
"Muhammad". Jibril ditanya lagi: "Adakah telah diutuskan
kepadanya?". Jibril berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan
kepadanya". Lalu dibukakanlah bagi kami. Di situlah di hadapanku aku
menemui Musa sallaLlahu ^alayhi wa
sallam. Lalu dia mengucapkan
selamat datang kepadaku dan mendoakan kebaikan bagiku. Kemudian kami dibawa naik
ke langit ketujuh lalu Jibril memohon pintu dibuka Lalu Jibril ditanya:
"Siapakah ini?". Jibril menjawab: "Jibril". Jibril ditanya
lagi: "Siapakah bersamamu?". Jibril berkata: "Muhammad".
Jibril ditanya lagi: "Adakah telah diutuskan kepadanya?". Jibril
berkata: "Sesungguhnya telah diutuskan kepadanya". Lalu dibukakanlah
bagi kami. Di situlah aku menemui Ibrahim sallaLlahu ^alayhi wa sallam
dalam keadaan menyandarkan belakangnya ke Baytul-Ma^mur yang dimasuki setiap
hari oleh tujuh puluh ribu malaikat yang tidak lagi kembali kepadanya
(Baytul-Ma^mur). Kemudian Jibril pergi bersamaku ke Sidratul-Muntaha yang
dedaunnya seumpama telinga-telinga gajah dan buahnya seperti tempayan-tempayan”. Jibril berkata: "Apabila
Sidratul-Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya dengan perintah
(ketetapan) Allah maka tiada satu pun daripada makhluk Allah yang mampu untuk
mensifatkan keelokannya". Kemudian Allah mewahyukanku suatu yang telah
diwahyukan iaitu aku difardukan lima
puluh solat sehari semalam. Setelah itu aku pun sehingga berjumpa dengan Musa sallaLlahu ^alayhi wa sallam, lalu dia berkata: "Apakah yang telah
difardukan oleh Tuhanmu ke atas
umatmu?". Aku menjawab: "Lima
puluh solat". Musa berkata: "Kembalilah kepada Tuhanmu[2],
kemudian engkau mintalah kepada-Nya keringanan kerana sesungguhnya umatmu tidak
berdaya melaksanakannya sebagaimana aku telah pun menguji Bani Isra'il dan
golongan yang terpilih daripada kalangan mereka". Baginda bersabda: "Aku
kembali kepada Tuhanku dengan kataku:
"Wahai Tuhanku, berilah keringanan buat umatku". Lalu Dia
mengurangkan ke atasku lima
waktu (iaitu menjadi empat puluh lima
waktu), lalu aku pun kembali kepada Musa dan aku berkata: "Dia mengurangkan
ke atasku lima
waktu". Musa berkata: "Sesungguhnya umatmu tidak berdaya
melaksanakannya kemudian engkau mintalah
kepada-Nya keringanan". Baginda bersabda: "Aku pun berulang alik
berkali-kali di antara Tuhankudan Musa ^alayhis-salam sehingga
Allah berfirman: "Wahai Muhammad, sesungguhnya solat yang difardukan itu lima solat sehari
semalam. Bagi setiap solat (dari lima
solat itu) diganjarkan sepuluh solat. Jadi, demikian itu lima puluh solat. Barangsiapa yang yang ingin
melakukan suatu kebaikan dan dia tidak melaksanakannya maka dituliskan untuknya
satu kebaikan. Sekiranya dia telah melaksanakannya maka dituliskan untuknya
sepuluh kebaikan. Barangsiapa yang ingin melakukan suatu kejahatan dan dia tidak melakukannya maka sesuatu (kejahatan/
dosa) pun tidak dituliskan untuknya. Sekiranya dia telah melakukannya maka
dituliskan untuknya satu kejahatan". Baginda bersabda: "Kemudian aku
pun turun sehingga sampai kepada Musa sallallahu ^alayhi wa sallam
dan aku memberitahunya, lalu dia berkata: "Kembalilah kepada Tuhanmu dan
mintalah keringanan". Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa sallam
bersabda: "Lalu aku menjawab: "Sesungguhnya aku telah kembali kepada
Tuhanku sehingga aku berasa malu kepada-Nya".
Suatu
Nasihat
Sebahagian manusia
percaya bahawa Mikraj merupakan satu peristiwa yang menunjukkan bahawa
Rasulullah sampai ke suatu tempat di atas langit yang ketujuh yang pada
anggapannya bahawa di situlah Allah berada.
Kepercayaan atau iktikad yang
mengatakan Allah berada di atas langit samada yang dimaksudkan itu langit
secara umum atau dikhususkan kepada Kursi atau Arasy sebenarnya adalah sesat
lagi kufur di sisi Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah. Ini kerana kepercayaan sedemikian
menisbahkan atau menyifatkan Allah berada pada arah, sudut, ruang atau tempat.
Sedangkan akidah dan kepercayaan umat islam yang sebenarnya ialah Allah jualah
yang menciptakan segala-galanya yang ada, antaranya tempat dan arah atau sudut.
Allah telah pun ada atau wujud sebelum wujudnya ruang, arah, sudut dan tempat
lagi tanpa memerlukan arah, sudut mahupun tempat bagi kewujudan-Nya. Inilah
yang dikatakan bahawa wujud Allah sebagai
wujud yang azali iaitu wujudnya
Allah itu tidak didahului oleh ketiadaan, tidak didahului sesiapapun selain-Nya
dan tidak dijadikan oleh sesiapapun kerana Dia adalah Tuhan. Tempat, arah dan
lain-lain merupakan ciptaan Allah yang dinamakan sebagai makhluk dan kewujudan makhluk tidak
azali. Tidak azali bermaksud kewujudan yang didahului dengan ketiadaan. Hanya
Allah yang menciptakan makhluk dari tiada menjadi ada. Oleh itu, mustahillah
kewujudan Allah itu perlu atau berhajat kepada selain-Nya sedangkan Allah
wujud azali tanpa ada sesuatu selain-Nya; iaitu tanpa tempat, ruang, arah,
masa, Arasy, Kursi, langit, dan lain-lain.
Al-Imam al-Shafi^i rahimahuLlah
berkata seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Qushayri: “Ketahuilah oleh kamu semua bahawa Allah ^azza wa jalla
tidak ada tempat bagi-Nya (iaitu
tidak bertempat)”. Imam Ahlis-Sunnah iaitu al-Imam Abu al-Hasan al-Ash^ari
juga berkata sedemikian seperti yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bayhaqi: “Sesungguhnya Allah ta^ala tidak ada tempat bagi-Nya”. Al-Imam Abu Mansur al-Baghdadi pula
menyebutkan dalam kitab beliau al-Farqu baynal-Firaq: “Dan mereka (iaitu Ahlis-Sunnah) telah berijmak bahawa Dia (iaitu Allah)
tidak diliputi oleh tempat dan dilalui ke atas-Nya oleh masa”.
Inilah ijmak Ahlis-Sunnah yang
menunjukkan bahawa Allah wujud tidak
bertempat, sama ada di atas atau di bawah, kiri atau kanan, depan atau
belakang kerana kesemua arah tersebut ciptaan Allah yang asalnya tidak ada
langsung kemudian dijadikan oleh Allah. Begitu jugalah masa, tidak kira sebelum
atau selepas, semalam, hari ini atau esok, pagi atau petang, siang atau malam.
Barang sesiapa beriktikad berlainan dari apa yang disebutkan, maka mereka itulah
yang digelar sebagai golongan al-Mushabbihah,
iaitu golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk ciptaan-Nya sendiri.
Golongan al-Mushabbihah tersebut
dihukumkan sebagai kafir oleh ulama Islam. Al-Imam Abu Ja^far
al-Tahawi berkata dalam kitab beliau al-^Aqidah
al-Tahawiyyah: “Barang sesiapa mensifatkan bagi Allah dengan
suatu makna sifat daripada makna-makna sifat makhluk, sesungguhnya telah kafir”.
Jelas bagi kita bahawa antara sifat makhluk ialah wujud yang memerlukan tempat.
Walaupun demikian, amatlah
mendukacitakan kita kerana ada golongan yang menyandarkan diri mereka sebagai tuan
guru atau ulama mengelirukan umat Islam berkenaan peristiwa Mikraj ini dengan
menyatakan bahawa Rasul telah sampai ke tempat yang merupakan markaz atau
tempat Allah berada! Wal-^iyadhubiLlah. Pandangan atau ucapan sebegini
jelas hukumnya kufur kerana menyifatkan Allah dengan sifat yang sama dengan
makhluk. Hal ini berpunca dari pembacaan yang disandarkan kepada sebahagian
kitab murahan yang mudah didapati yang tidak terkandung ^aqidah al-tanzih, iaitu akidah Ahlis-Sunnah yang menquduskan dan mensucikan
Allah dari sebarang persamaan dengan makhluk. Antara kitab tersebut ialah Kitab
al-Mi^raj yang disandarkan secara dusta kepada Ibn ^Abbas. Perkara sebegini
dan seumpamanya wajib diberi peringatan kepada umat Islam.
Penjelasan sebenar berkenaan perkara
ini ialah Rasulullah telah sampai ke tempat yang dikehendaki oleh Allah selepas
sampai di Sidratul-Muntaha. Di
situlah baginda mendapat perintah Allah mengenai kefarduan solat. Begitu
jugalah berkenaan Rasulullah berulang alik memohon dikurangkan waktu solat
tersebut dari tempat Nabi Musa ke tempat baginda menerima kefarduan solat. Keadaan
ini tidak bererti Nabi Muhammad berulang alik dari tempat Nabi Musa ke tempat
Allah berada kerana Allah wujud tanpa bertempat. Bahkan baginda berulang
alik ke tempat asal yang baginda mendengar Kalamullah yang azali tanpa suara, huruf dan bahasa. Allah
menciptakan kekuatan pada hati Rasulullah sehingga baginda faham bahawa suatu
yang didengari itu adalah wahyu Allah mengenai kefarduan solat sehinggalah
solat lima
puluh waktu sehari semalam dikurangkan kepada lima waktu sehari semalam.
Kita hendaklah bersyukur kepada
Allah kerana dengan limpah rahmat-Nya kita menjadi umat yang terbaik berbanding
umat-umat yang lain. Hal ini tidaklah wujud begitu sahaja kerana semata-mata kita
berada atau tergolong dalam umat Nabi Muhammad, kerana umat yang disandarkan
kepada Nabi Muhammad ada dua bahagian; iaitu pertama ummah al-da^kwah
(umat yang disampaikan dakwah Islam kepada mereka) kedua ummah al-ijabah (umat yang
menerima dakwah Islam seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad). Oleh itu,
marilah kita golongkan diri kita ke dalam ummah al-ijabah yang beriman
dengan Allah dengan kepercayaan yang sahih, seterusnya melakukan serta menyuruh
kepada kebaikan dan menghindari serta mencegah dari perkara yang keji lagi
tercela di dalam agama berdasar ilmu yang sahih
Mudah-mudahan kita dapat
menghapuskan perkara palsu yang berlaku atau digembar-gemburkan berkaitan
peristiwa bersejarah ini dengan rasa tanggungjawab sebagai peribadi muslim yang
mencintai agamanya.
وصلى
الله على سيدنا محمد وعلى ءاله وصحبه أجمعين والحمد لله ربّ العالمين
[Risalah ini
telah disediakan oleh Hj. Ahmad Hafiz bin Hj. Mohd Alwi al-Bakaniyy dan disunting oleh Abu Nur al-Dununiyy]
[1] Soalan ini tidak bermakna malaikat bertanya adakah diturunkan wahyu
kepada baginda atau tidak kerana para malaikat telah mengetahui bahawa Muhammad
nabi yang terakhir dan mereka telah mengetahui baginda telah diturunkan wahyu
kepadanya. Makna soalan tersebut ialah: "Adakah baginda diperintahkan
naik ke langit". Makna bagi hadis yang bermaksud: “Aku adalah seorang nabi dalam keadaan Adam
masih di antara ruh dan jasad” ialah telah masyhur sifat kenabian dan
risalah bagi baginda sebelum dicantumkan ruh Adam dalam jasadnya. Bukanlah
hadis itu bermakna Muhammad diciptakan sebelum Adam. Nabi pernah bersabda yang
bermaksud: “Kamilah yang terakhir yang
terawal”. Maknanya kamilah yang terakhir wujud, yang terawal memasuki
Syurga.
[2] Di sini bukanlah bermakna Nabi diminta kembali ke tempat tinggal
yang didiami oleh Allah ta^ala, dan juga bukanlah bermakna kewujudan
Allah berhajat kepada suatu ruang, tempat dan arah. Bahkan Allah Maha Suci dari
sifat sedemikian kerana itu adalah sebahagian sifat makhluk. Maksud yang benar
dari kata-kata di atas ialah: "Kembalilah ke tempat penerimaan wahyu
daripada Tuhanmu".