Ahad, 6 September 2009

AL-SALAFUS-SALIH DAN ILMU KALAM

Golongan yang menolak ilmu kalam Ahlus-Sunnah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah turut menyangka bahawa para ulama al-Salafus-Salih mencela ilmu kalam dengan merujuk kepada ilmu kalam Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah. Sebenarnya ilmu kalam yang terpuji telah didalami oleh sebahagian ulama al-Salafus-Salih sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Ustadh al-Imam Abu Mansur ^Abdul-Qahir ibn Tahir al-Tamimi al-Baghdadi dalam kitabnya al-Farq baynal-Firaq[1]: “Mutakallim (ahli kalam) Ahlis-Sunnah yang pertama daripada kalangan sahabat ialah ^Ali ibn Abi Talib radiyaLlahu ^anhu wa-karramaLlahu wajhah yang pernah berdebat dengan golongan Khawarij dalam masalah al-wa^d (balasan baik) dan al-wa^id (balasan buruk). Beliau juga pernah berdebat dengan golongan al-Qadariyyah dalam masalah al-mashi’ah (kehendak Allah), al-istata^ah dan al-qadar. Kemudian selepas beliau Abdullah ibn ^Umar radiyaLlahu ^anhuma yang pernah berlepas diri daripada Ma^bad al-Juhni yang menafikan al-qadar”. Intaha.

Usaha para sahabat ini diteruskan oleh para tabi^in yang sebahagian mereka telah mengarang risalah dan kitab-kitab dalam ilmu kalam bagi membidas dan menyanggah golongan Ahlul-Ahwa’. Al-Imam ^Abdul-Qahir al-Baghdadi berkata dalam kitabnya al-Farq baynal-Firaq[2]: “Dan ahli kalam Ahlis-Sunnah yang pertama daripada kalangan tabi^in ialah ^Umar ibn ^Abdil-^Aziz dan beliau menulis satu risalah yang hebat bagi menyanggah golongan al-Qadariyyah. Kemudian, diikuti oleh Zayd ibn ^Ali Zaynul-^Abidin dan beliau ada mengarang sebuah kitab bagi menyanggah golongan al-Qadariyyah. Seterusnya, al-Hasan al-Basri dengan risalah beliau kepada ^Umar ibn ^Abdil-^Aziz bagi mencela golongan al-Qadariyyah adalah suatu yang diketahui. Seterusnya, diikuti oleh al-Sha^bi dan beliau merupakan orang yang paling keras terhadap golongan al-Qadariyyah. Kemudian, diikuti oleh al-Zuhri dan beliau telah mengeluarkan fatwa kepada ^Abdul-Malik ibn Marwan bahawa (halal) darah golongan al-Qadariyyah”. Intaha.

Selanjutnya, al-Imam ^Abdul-Qahir al-Baghdadi berkata lagi[3]: “Ahli kalam yang pertama daripada kalangan para fuqaha’ dan para imam mazhab (fiqh) ialah Abu Hanifah dan al-Shafi^i. Dan Abu Hanifah mempunyai sebuah kitab yang menyanggah golongan al-Qadariyyah yang beliau menjudulkannya sebagai al-Fiqhul-Akbar…”. Intaha.

Al-Imam al-Shafi^i turut menulis kitab dalam ilmu kalam sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam ^Abdul-Qahir al-Baghdadi: “…dan al-Shafi^i mempunyai dua kitab dalam perbahasan kalam. Salah satunya untuk mengabsahkan kenabian dan menyanggah golongan al-Barahimah, dan yang keduanya bagi menyanggah Ahlul-Ahwa’. Intaha.

Jika masih ada orang berkata kepada anda: “Kenapa anda membicarakan tauhid dengan ilmu kalam sedangkan para sahabat nabi tidak membicarakannya?”, maka jawablah: “Para sahabat diumpamakan seperti orang yang tidak berhadapan dengan musuh yang mahu memerangi mereka maka mereka tidak perlu mengeluar dan menghunuskan senjata, manakala kami yang membicarakan tauhid dengan ilmu kalam pula diumpamakan seperti orang yang berhadapan dengan musuh yang mahu memerangi kami maka kami perlu mengeluar dan menghunuskan senjata tersebut”.

Perbahasan di atas membuktikan kepada kita bahawa para ulama al-Salafus-Salih turut memberi sumbangan yang besar dalam ilmu kalam, bahkan pelopor dalam ilmu ini. Jikalah ilmu kalam ini suatu bidaah yang keji, nescaya merekalah orang yang pertama menjauhinya. Apatah lagi tokoh-tokoh yang dinyatakan di atas tadi adalah peribadi-peribadi yang dikenali dengan ketinggian ilmu dan kemuliaan sahsiah.

Hukum Mempelajari Ilmu Kalam

Ilmu kalam dipuji dan dipandang mulia dan tinggi oleh para ulama terutama setelah aqidah-aqidah ahli bidaah mula tersebar dan menyusup masuk dalam masyarakat Islam. Al-Imam al-Hafiz al-Nawawi yang merupakan salah seorang ulama besar dalam mazhab al-Shafi^i telah menghukumkan ilmu kalam sebagai perkara bidaah hasanah yang wajib sebagaimana pernyataan beliau dalam kitabnya Sharh Sahih Muslim[4]: “Para ulama telah berkata: “Bidaah itu lima bahagian iaitu wajib, mandud (sunat), haram, makruh dan mubah (harus). Antara (bidaah) yang wajib ialah perbuatan menyusun dalil-dalil oleh ahli kalam bagi menyanggah golongan mulhid, golongan bidaah dan seumpamanya”. Intaha.

Al-Shaykh Shamsud-Din al-Ramli al-Shafi^i berkata dalam kitabnya Ghayatul-Bayan[5]: “Menceburi ilmu kalam iaitu sehingga mampu menegakkan dalil-dalil dan menghilangkan kekeliruan-kekeliruan adalah suatu fardu kifayah ke atas setiap mukallaf yang mampu melakukannya…”. Intaha.

Al-Shaykh Ibn Hajar al-Haytami berkata dalam kitabnya al-Fatawa al-Hadithiyyah [Dar al-Ma^rifah, Beirut, hlm. 27]: “Yang dijelaskan oleh para imam kita bahawa ia (ilmu kalam) wajib ke atas mukallaf sebagai wujub ayni (fardu ain) untuk mengetahui iktikad yang sahih (yang berlainan) dengan iktikad yang salah. Tidak disyaratkan mengetahuinya (ilmu kalam) dengan formula-formula ilmu kalam kerana perkara yang biasanya berlegar ialah berada di atas iktikad yang putus meskipun dengan taklid menurut pendapat yang lebih sahih. Adapun perbuatan mengajar hujah-hujah ilmu kalam dan menegakkan hujah-hujah tersebut bagi menyanggah golongan yang menyeleweng maka ia suatu fardu kifayah…”. Intaha.


Tatimmah

Kepada sesiapa (seperti puak al-Wahhabiyyah) yang menuduh bahawa mempelajari ilmu kalam sebagai suatu perkara bidaah, maka anda sewajarnya mengkaji terlebih dahulu ilmu kalam Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah sebelum menyalah, mempertikai dan menolaknya tanpa dalil dan bukti yang kukuh. Seandainya mereka “pening kepala”, “bingung”[6] atau gagal untuk memahami masalah-masalah yang dibicarakan dalam ilmu kalam, maka sewajarnya mereka bertanya kepada ulama yang ada keahlian dalam ilmu ini. Sekiranya mereka tidak dapat memahaminya, maka sepatutnya mereka tidak perlu mendalaminya kerana mereka tidak termasuk di kalangan orang yang mampu mempelajari ilmu kalam secara mendalam. Tidak sewajarnya mereka menjadikan ilmu kalam ini sebagai “mangsa” untuk dihentam dan dipersalahkan. Bahkan, lebih baik mereka mengakui dan menginsafi kelemahan diri mereka untuk memahami dan menyelami perbahasan ilmu kalam. Kebebalan dan kebingungan benak mereka (seperti puak al-Wahhabiyyah) untuk memahami ilmu kalam bukannya suatu dalil dan alasan untuk mempertikai ilmu kalam, malah kebebalan mereka itulah sepatutnya menjadi alasan bagi menolak dan menyanggah tuduhan mereka ke atas ilmu kalam.

Ingatlah! Serangan mereka ke atas ilmu kalam Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah akan membuka pintu kepada musuh-musuh Islam untuk melancarkan serangan terhadap para ulama silam yang telah memberi sumbangan yang sangat besar dalam menyebar dan mempertahankan kesucian agama Islam ini. Paling dibimbangi ialah serangan al-Wahhabiyyah ke atas ilmu kalam dikhuatiri sebagai sebahagian konspirasi Yahudi dan Kristian atas label Islam. WaLlahu a^lam.

__________________________________

[1] ^Abdul-Qahir al-Baghdadi, al-Farq baynal-Firaq, Dar al-Kutubil-^Ilmiyyah, Beirut, hlm. 286.
[2] Ibid, hlm. 283.
[3] Ibid, hlm. 284.
[4] Al-Nawawi, Sharh Sahih Muslim, Dar al-Fikr, Beirut, juz. 6, hlm. 154 – 155.
[5] Al-Ramli, Ghayatul-Bayan Sharh Zubad Ibn Ruslan, Dar al-Ma^rifah, Beirut, hlm. 20.
[6] Inilah pengakuan sebahagian penganut ajaran al-Wahhabiyyah ketika mereka menolak perbahasan tauhid dengan ilmu kalam.

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...