Isnin, 31 Ogos 2009

ILMU KALAM DI SISI AL-IMAM AL-SHAFI^I

Sesetengah pihak seperti golongan al-Wahhabiyyah (yang menggelarkan diri mereka sebagai al-Salafiyyah - sedangkan al-Salafus-Salih berlepas daripada mereka - ) ada mendakwa bahawa al-Imam al-Shafi^i menolak dan mencela ilmu kalam secara mutlak. Mereka mendatangkan beberapa perkataan al-Imam al-Shafi^i – pada sangkaan mereka – yang menunjukkan penentangan dan penolakan beliau terhadap ilmu kalam tersebut. Antara kata-kata yang dianggap sebagai pendapat al-Imam al-Shafi^i ialah:

لأن يلقى الله العبدُ بكل ذنب ما عدا الشرك خير له من أن يلقاه بعلم الكلام
Maknanya: “Bahawa pertemuan seorang hamba dengan Allah dengan setiap dosa yang selain dosa syirik itu lebih baik baginya daripada dia bertemu Allah dengan ilmu kalam”.

Sebenarnya lafaz di atas tidak thabit daripada al-Imam al-Shafi^i. Lafaz yang thabit daripada beliau ialah sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibn ^Asakir di dalam kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari[1]:

لأن يلقى الله عزّ وجلّ العبدُ بكل ذنب ما خلا الشرك خير له من أن يلقاه بشىء من هذه الأهواء
Maknanya: “Bahawa pertemuan seorang hamba dengan Allah azza wa-jall dengan setiap dosa yang selain dosa syirik itu lebih baik baginya daripada dia bertemu Allah dengan sesuatu yang berpunca daripada hawa nafsu (al-ahwa’)”.
Kata-kata al-Imam al-Shafi^i yang diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibn ^Asakir di atas menjelaskan pendirian sebenar al-Imam al-Shafi^i terhadap ilmu kalam. Sebenarnya perkara yang ditentang dan ditolak al-Imam al-Shafi^i ialah ilmu kalam golongan al-Ahwa’ iaitu ilmu kalam golongan yang menyeleweng daripada ajaran Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah seperti golongan al-Mujassimah, al-Mu^tazilah, Jabbariyyah dan yang sebagainya. Adapun ilmu kalam golongan Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah maka itu tidak ditentang dan tidak ditolak al-Imam al-Shafi^i.

Al-Imam al-Hafiz Ibn ^Asakir ada menyatakan dalam kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari[2]:

والكلامُ المذموم كلام أصحاب الأهوية وما يزخرفه أرباب البدع الـمُرْدية فأما الكلام الموافق للكتاب والسنة الموضح لحقائق الأصول عند ظهور الفتنة فهو محمود عند العلماء ومن يعلمه وقد كان الشافعي يحسنه ويفهمه وقد تكلم مع غير واحد ممن ابتدع وأقام الجحة عليه حتى انقطع

Maknanya: “Dan perbahasan kalam yang dicela ialah perbahasan kalam golongan Ahwiyyah (pengikut hawa nafsu yang juga digelar sebagai Ahlul-Ahwa’) dan sesuatu yang dianggap elok oleh ahli bidaah yang menyeleweng. Adapun perbahasan kalam yang bertepatan dengan al-Kitab (al-Quran) dan al-Sunnah yang menjelaskan hakikat-hakikat usul (tauhid) ketika munculnya fitnah (ketika berleluasanya golongan sesat) maka ini suatu yang terpuji di sisi para ulama dan sesiapa yang mengetahuinya. Sesungguhnya al-Imam al-Shafi^i menguasai dengan baik dan memahami perbahasan kalam ini, dan beliau juga berbahas atau berbicara dengan ilmu kalam dengan bukan seorang daripada golongan yang telah melakukan bidaah dan beliau telah berjaya menegakkan hujah ke atas ahli bidaah tersebut sehingga putus”.
Al-Imam al-Hafiz al-Bayhaqi telah meriwayatkan dalam kitabnya al-Asma’ was-Sifat[3] satu perdebatan panjang yang berlaku di antara al-Imam al-Shafi^i dengan seorang yang berfahaman Mu^tazilah yang bernama Hafs al-Fard sehingga al-Imam al-Shafi^i dapat mematah hujah-hujah lawannya. Perdebatan ini jelas membuktikan bahawa al-Imam al-Shafi^i seorang yang mahir dan pakar dalam ilmu kalam.
Selain itu, al-Imam al-Hafiz al-Bayhaqi berkata dalam kitabnya Manaqib al-Shafi^i[4]bahawa beliau membaca suatu hikayat yang ada dalam kitab Abu Nu^aym al-Asbahani daripada al-Sahib ibn ^Abbad bahawa dia menyebut dalam kitabnya dengan isnad beliau daripada Ishaq bahawa dia (Ishaq) berkata: “Ayahku berkata kepadaku: “Pada suatu hari al-Shafi^i berbicara dalam ilmu kalam dengan sebahagian fuqaha’ lalu beliau memperhalusinya dan menelitinya, bersungguh dan bersusah-susah dengannya. Lalu aku berkata kepada beliau: “Wahai Abu ^Abdullah! Ini milik ahli kalam (mutakallimun) bukannnya milik ahli halal dan haram (fuqaha’). Lalu dia berkata:

أحكمنا ذاك قبل هذا
Maknanya: “Kami telah menyempurnakan perkara itu (ilmu kalam) sebelum perkara ini (ilmu fiqh; hukum halal dan haram)”.
Ilmu kalam di sisi Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah adalah salah satu nama di antara nama-nama yang merujuk kepada ilmu tauhid. Namun, sesetengah pihak seperti golongan al-Wahhabiyyah cuba membezakan ilmu kalam dengan ilmu tauhid tanpa sebab yang kukuh. Mereka menuduh bahawa ilmu kalam Ahlus-Sunnah al-Ashairah dan al-Maturidiyyah ini mengajar falsafah yang berbelit-belit dan bukannya mengajar ilmu tauhid. Tuduhan seperti ini acap kali dikeluarkan oleh Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin dalam banyak tulisan dan ucapannya dengan bertaqlid kepada pendapat beberapa orang tokoh kegemarannya tanpa hujah dan bukti yang kukuh.

Siapalah Dr. Mohd Asri bin Zainul Abdin yang mencela ilmu kalam al-Asha^irah jika dibandingkan dengan ketokohan dan kesarjanaan al-Imam al-Hafiz Ibn ^Asakir dan al-Imam al-Hafiz al-Bayhaqi yang membela ilmu kalam Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah! In sha' Allah blog ini akan membongkar kerapuhan dakwaan Dr. Mohd Asri ke atas ilmu kalam. WaLlahu a^lam.

________________________________________

[1] Ibn ^Asakir, Tabyin Kadhibil-Muftari, Dar al-Kitab al-^Arabi, Beirut, hlm. 337.
[2] Ibid, hlm. 339.
[3] Al-Bayhaqi, al-Asma’ was-Sifat, Dar Ihya’ al-Turath al-^Arabi, Beirut, hlm. 252.
[4] Al-Bayhaqi, Manaqib al-Shafi^i, Dar al-Nasr lit-Tiba^ah, Kaherah, juz. 1, hlm. 457.

Ahad, 2 Ogos 2009

PENGAJIAN SIFAT DUA PULUH TIDAK MENGGERUNKAN MUSUH ISLAM??

Pada tahun 2006 saya pernah menerima laporan melalui sms daripada salah seorang murid saya bahawa dia sedang menghadiri satu tazkirah Maghrib di sebuah surau kampungnya iaitu Kampung Jerangau Sungai, Dungun. Tazkirah itu disampaikan oleh seorang ustaz muda lepasan Universiti al-Azhar. Menurut laporan murid saya itu, ustaz itu mengatakan bahawa pengajian sifat dua puluh tidak menggerunkan musuh Islam, bahkan untuk menggerunkan musuh Islam ialah dengan hukum hudud. Setelah saya selidik dan bertanya sendiri si ustaz tu maka munasabahlah dia berkata begitu kerana dia mengaku sendiri bahawa dia secara praktikalnya berpegang dengan pegangan Wahhabiyyah. Pernyataan si ustaz ini berkenaan sifat dua puluh sangat tidak tepat dan menunjukkan dia cuba memesongkan tanggapan masyarakat Kg Jerangau Sungai terhadap pengajian tauhid. Seolah-olah dia cuba menafikan sumbangan pengajian ilmu kalam Ahlis-Sunnah ini kepada kekuatan aqidah dan keberanian jiwa orang Islam selama ini.

Mungkin dia lupa atau jahil sejarah Islam yang telahpun membuktikan keberanian, kekuatan dan kepahlawanan tokoh al-Asha^irah al-Maturidiyyah digeruni oleh musuh Islam. Antara tokoh tersebut ialah al-Sultan Salahud-Din al-Ayyubi dan al-Sultan Muhammad al-Fatih.

Al-Sultan Salahud-Din al-Ayyubi

Al-Sultan al-^Alim al-Wara^ al-Faris al-Nasir al-Mujahid Salahud-Din al-Ayyubi atau nama sebenarnya Salahud-Din Yusuf ibn Ayyub ibn Shadi (w. 589 H) amat berjasa kepada Islam dan umat Islam. Antara jasa beliau ialah memerdekakan Masjid al-Aqsa dan Baytul-Maqdis dari penjajahan kuffar Eropah Salibiyyah. Dalam lipatan sejarah menunjukkan bahawa beliau seorang tokoh Islam yang digeruni dan disegani oleh musuh Islam.
Beliau terkenal sebagai pemerintah yang bertaqwa dan mencintai ilmu agama. Menurut al-Imam Tajud-Din al-Subki dalam kitabnya Tabaqat al-Shafi^iyyah bahawa al-Sultan Salahud-Din telah mendengar pengajian hadis daripada al-Hafiz Abu Tahir al-Silafi, Abu Tahir ibn ^Awf, al-Shaykh Qutubud-Din al-Naysaburi, ^Abdullah Barri al-Nahwi dan ramai lagi.
Al-Mu’arrikh Taqiyyud-Din al-Maqrizi dalam kitabnya al-Mawa^iz wal-I^tibar bi-Dhikril-Khutat wal-Athar, al-Imam al-Hafiz Jalalud-Din al-Suyuti dalam kitabnya al-Wasa’il ila Ma^rifatil-Awa’il dan al-^Allamah Ibn ^Illan al-Siddiqi dalam kitabnya al-Futuhat al-Rabbaniyyah ^alal-Adhkar al-Nabawiyyah berkata bahawa sebaik sahaja al-Sultan Salahud-Din al-Ayyub dilantik menjadi pemerintah lalu beliau memerintahkan agar muazzin mengumandangkan aqidah al-Asha^irah pada waktu tasbih iaitu sebelum Subuh. Aqidah al-Asha^irah yang dikumandangkan itu dikenali sebagai al-^Aqidatul-Murshidah yang ditulis oleh al-Shaykh Fakhrud-Din Abu Mansur al-Dimashqi yang dikenali sebagai Ibn ^Asakir al-Shafi^i al-Mashhur.
Selain itu, al-Sultan Salahud-Din juga memerintahkan agar sebuah risalah aqidah tauhid yang berjudul Hada’iqul-Fusul wa-Jawahirul-Usul agar diajarkan di tempat-tempat pengajian agama untuk kanak-kanak sehingga risalah ini juga dikenali sebagai al-^Aqidah al-Salahiyyah bersempena nama beliau. Risalah aqidah tauhid yang juga menurut pendekatan al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari ini ditulis oleh al-^Allamah Muhammad ibn HibatiLlah al-Makki dan beliau menghadiahkannya kepada al-Sultan Salahud-Din.

Al-Sultan Muhammad al-Fatih
Nama sebenar beliau ialah al-Sultan Muhammad al-Thani ibn al-Sultan Murad Khan al-Thani (w. 886 H). Selepas bapanya wafat, beliau menduduki takhta pemerintahan seusia 19 tahun 5 bulan pada tahun 855 H. Al-Sultan Muhammad al-Fatih seorang raja yang amat besar sumbangan jihadnya, sangat kuat keberaniannya dan sangat kuat bertawakal kepada Allah taala.
Beliau digelarkan al-Fatih kerana jasanya yang sangat besar kepada penyebaran agama Islam ke lebih dua puluh wilayah kafir serta penguasaan beliau ke atas lebih dua ratus bandar dan paling utama ialah kerana beliaulah yang dipuji oleh Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam dengan sabda baginda:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ وَلَنِعْمَ الأَميرُ أمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذلِكَ الْجَيْشُ
Mafhumnya: “Sesungguhnya Konstantinapol akan dibukakan. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera pemerintah itu” [Diriwayatkan oleh Ahmad dalam kitabnya Musnad Ahmad dan oleh al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak dengan sanad sahih].
Sesungguhnya semua yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam itu benar sama ada berkenaan perkhabaran peristiwa lampau atau peristiwa masa depan di dunia dan di akhirat, sama ada berkenaan hukum halal atau haram sebahagian perbuatan dan perkataan manusia. Antara kebenaran yang telah dikhabarkan oleh baginda ialah pembukaan Konstantinapol dan baginda memuji pemimpin dan tentera yang membuka kota tersebut.
Kota Konstantinapol ini adalah pembukaan Islam yang sangat agung kerana janji Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam tersebut. Ramai khalifah dan sultan yang telah cuba membuka kota tersebut secara bersungguh-sungguh memenuhi janji Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam itu tapi mereka tidak berjaya. Mu^awiyah ibn Abi Sufyan telah mengepungkan kota tersebut pada zaman pemerintahan Khilafah Sayyidina ^Ali radiyaLlahu ^anhu wa-karama wajhah, Sufyan ibn Aws telah mengepungnya pada zaman pemerintahan Mu^awiyah dan Maslamah ibn ^Abdil-Malik telah mengepungnya pada zaman pemerintahan ^Umar ibn ^Abdil-^Aziz. Seterusnya, kota ini pernah dikepung pada zaman pemerintahan Hisham ibn ^Abdil-Malik dan juga pernah dikepung oleh salah seorang panglima tentera al-Khalifah Harun al-Rashid. Sesungguhnya kota Konstantinapol ini akhirnya berjaya dibuka oleh al-Sultan Muhammad al-Thani Fatihul-Qustantiniyyah pada siang Rabu 10 Jamadil-Akhir 857 H.

Pujian Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam dalam hadis di atas adalah suatu khabar gembira yang agung buat al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah lantaran al-Sultan Muhammad al-Fatih adalah sebahagian daripada mereka dan berpegang dengan aqidah mereka. Sesungguhnya mustahil Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam memuji peribadi yang sesat aqidah dan amalnya. Hadis di atas juga membuktikan dakwaan pihak tertentu seperti Wahhabiyyah yang menuduh al-Asha^irah al-Maturidiyyah terkeluar dari Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Firqatun-Najiyah adalah salah. Begitu juga tuduhan mereka bahawa pengajian sifat dua puluh atau pengajian aqidah tauhid secara kalam yang dipelopori oleh al-Asha^irah al-Maturidiyyah tidak menggerunkan musuh atau memundurkan umat adalah salah sama sekali dan suatu momokan terhadap umat Islam semata-mata. Jikalah pengajian aqidah tauhid secara pendekatan kalam tidak membawa faedah kepada kekuatan aqidah dan jiwa umat Islam, mengapa kedua-dua tokoh yang hebat ini menitikberatkan pengajian tersebut? Mengapa majoriti ulama Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah menyebarkan dan mempertahankan pengajian ini sehingga kini?!

Tatimmah

Meskipun secara zahirnya memanglah pengajian sifat dua puluh ini tidak menggerunkan musuh kerana pengajian ini bukannya mengajar cara membuat senjata yang canggih dan berbahaya kepada jasad musuh Islam, namun secara seninya pengajian ini menggerunkan musuh-musuh melalui hujah-hujah al-Asha^irah al-Maturidiyyah yang dilontarkan dan melalui keberanian dan sahsiah unggul tokoh-tokoh mereka. Sebenarnya pengajian sifat dua puluh atau pengajian tauhid menurut pendekatan al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari dan al-Imam Abu Mansur al-Maturidi memang digeruni oleh musuh-musuh Islam seperti kuffar Kristian dan Yahudi, dan juga golongan yang menyandarkan diri mereka kepada Islam seperti puak Mu^tazilah, Jabbariyyah, Mushabbihah, Mujassimah dan lain-lain lagi lantaran hujah-hujah naqli dan aqli yang dikemukakan oleh dua imam besar ini.
Dua imam besar ini pendebat yang digeruni golongan bidaah dan menulis banyak kitab yang mengandungi hujah-hujah yang mantap dan putus bagi menolak dan menyanggah kekeliruan dan kesesatan mereka. Kemudian, para pengikut dua imam besar ini juga turut menulis kitab-kitab ratusan jilid dan berdebat bagi menyanggah golongan bidaah dan sesat tersebut sehingga bendera mazhab al-Ash^ari berkibar di timur dan barat. Tokoh yang paling menonjol menyebarkan mazhab al-Ash^ari ialah al-Ustadh Abu Bakr ibn Furak, al-Imam Abu Ishaq al-Isfirayini (menyebarkan mazhab al-Ash^ari di sebelah timur) dan al-Qadi al-Imam Abu Bakr al-Baqillani (menyebarkan mazhab al-Ash^ari di sebelah timur dan barat). Oleh itu, layak dikatakan bahawa pada kurun kelima hijrah semua umat Islam adalah Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah kecuali ada segelintir yang janggal yang terdiri daripada golongan sesat seperti Mu^tazilah, Mushabbihah (sekarang dikenali sebagai Wahhabiyyah), Khawarij (yang juga kini dikenali sebagai Wahhabiyyah) dan Shi^ah. Bahkan, anda tidak akan menemui seorang alim muhaqqiq atau faqih mudaqqiq melainkan dia adalah seorang Ash^ari atau Maturidi.
Al-Imam al-Faqih al-Usuli al-Zarkashi berkata dalam kitabnya Tashniful-Masami^ bahawa Ibnul-^Arabi berkata:

كانت المعتزلة قد رفعوا رءوسهم حتى أظهر الله الأشعري فحجزهم في أقماع السماسم
Maknanya: “Sesungguhnya Mu^tazilah pernah mengangkat kepala mereka sehinggalah Allah menzahirkan al-Ash^ari. Lalu beliau telah menyekat mereka dalam kerosong biji lenga (iaitu disempitkan ke atas mereka habis-habisan)”. Intaha. WaLlahu a^lam…

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...