Sabtu, 15 Mei 2010

ALLAH ADA TANPA BERTEMPAT: AQIDAH AL-SHARIF AL-SHAYKH ^ABDUL-MAJID AL-MAGHRABI AL-TARABULSI AL-HASANI SETIAUSAHA FATWA TRIPOLI (SYAM)

AL-SHARIF AL-SHAYKH ^ABDUL-MAJID AL-MAGHRIBI AL-TARABULSI AL-HASANI (w. 1352 H) SETIAUSAHA FATWA DI TRIPOLI (SYAM).



Beliau berkata dalam kitabnya Risalah ^Ilmiyyah fil-Isra' wal-Mi^raj (al-Mu'assasah al-Hadithah lil-Kitab, Beirut, hlm. 24):
"Allah tidak diliputi oleh suatu tempat pun, tidak dibatasi oleh suatu arah, tidak di atas dan tidak di bawah. Allah taala ada pada keazalian-Nya dan tiada suatu pun dari sekalian makhluk, tempat dan arah secara mutlak (pada keazalian-Nya)". Intaha.


Beliau berkata dalam kitabnya al-Kawkibush-Sharqi fi Radd Nazariyyah Labalas wa-Rufaqa'ihi (hlm. 57):
"Dan hendaklah diketahui di sini bahawa Allah itu pencipta sekalian makhluk dan (Dia-lah) yang mengadakannya, wajib pada akal bahawa Dia bukanlah suatu yang bersamaan dengan sesuatu dari mahkluk dari setiap segi. Dan tiada suatu pun dari sekalian makhluk ini melainkan ia dibatasi oleh tempat dan disempadani oleh arah. Dan setiap suatu tempat itu adalah suatu yang disempadani. Dan setiap suatu yang disempadani dan dibatasi itu pula adalah suatu yang baharu (iaitu yang kewujudannya didahului dengan ketiadaan), sedangkan Allah itu qadim (yang kewujudan-Nya tidak didahului dengan ketiadaan), maka tidak boleh pada akal untuk mengatakan bahawa Allah itu ada di suatu tempat atau dibatasi oleh suatu arah". Intaha.

Selasa, 11 Mei 2010

ALLAH ADA TANPA BERTEMPAT: AQIDAH AL-SHAYKH YUSUF AL-NUBHANI

AL-SHAYKH YUSUF IBN ISMA^IL AL-NUBHANI AL-SHAFI^I AL-BAYRUTI (w. 1350 H) RA'IS MAHKAMATUL-HUQUQ DI BEIRUT


Beliau berkata kitabnya al-Ra'iyyatul-Kubra - sebuah karya puisi - (Mustafa al-Babi al-Halabi, Kaherah, hlm. 3):
فَلاَ جِهةٌ تحويه لا جهةٌ لهُ * تنزّهَ ربّي عنها وَعَلاَ قَدْرَا
"Maka tiada suatu arahpun yang meliputi-Nya, tiada suatu arah bagi-Nya. Tuhan-ku maha suci dari arah tersebut dan Dia maha tinggi dari segi martabat". Intaha.

Ahad, 2 Mei 2010

ALLAH ADA TANPA BERTEMPAT: AQIDAH SHAYKHUL-AZHAR AL-SHAYKH SALIM AL-BISHRI AL-MISRI

AL-SHAYKH SALIM AL-BISHRI AL-MISRI SHAYKHUL-AZHAR (w. 1335 H)


Al-Shaykh Salamah al-Quda^i al-^Azami al-Shafi^i (w. 1376 H) berkata dalam kitabnya Furqanul-Qur'an (Dar Ihya' al-Turath al-^Arabi, Beirut, hlm. 74) bahawa al-Shaykh Salim al-Bishri berkata: "Ketahuilah - semoga Allah menolong anda dengan taufik-Nya dan melorongkan kami dan anda ke jalan-Nya yang lurus - bahawa mazhab al-Firqatun-Najiyah (Golongan Selamat) dan perkara yang telah diijmakkan oleh golongan Sunni (Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah) ialah bahawa sesungguhnya Allah taala maha suci dari persamaan dengan perkara baharu (makhluk) iaitu menyalahi perkara baharu itu dalam semua sifat baharu. Dan antara perkara yang diijmakkan itu ialah Allah maha suci dari arah dan tempat sebagaimana bukti-bukti yang putus telahpun menunjukkan perkara itu". Intaha.

Sabtu, 1 Mei 2010

ALLAH ADA TANPA BERTEMPAT: AQIDAH AL-SHAYKH ^ABDUL-BASIT AL-FAKHURI AL-SHAFI^I MUFTI WILAYAH BEIRUT

AL-SHAYKH ^ABDUL-BASIT AL-FAKHURI AL-SHAFI^I MUFTI WILAYAH BAYRUT (w. 1323 H).

Beliau berkata dalam kitabnya al-Kifayah li-Dhawil-^Inayah (Mu'assasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, Beirut, hlm. 13): "Dia bukanlah suatu jirim yang mengambil suatu kadar dari lapang. Oleh itu, tiada suatu tempat bagi-Nya. Dan Dia bukanlah suatu ^arad (iaitu suatu sifat yang mendatang) yang berdiri dengan jirim, Dia bukanlah di suatu arah dari pelbagai arah dan Dia tidak disifatkan dengan saiz besar dan tidak juga saiz kecil. Dan setiap apa yang tergambar di benak anda maka Allah bersalahan dengannya". Intaha.

Beliau berkata dalam kitabnya al-Majalisus-Sunniyyah (al-Matba^ah al-Adabiyyah, Beirut, hlm. 2) iaitu di pembukaan kitab tersebut: "Allah maha suci dari tempat dan masa". Intaha.
Beliau berkata lagi dalam kitabnya al-Majalisus-Sunniyyah (dalam bentuk puisi) di halaman 119: "Tidak sayugia bagi Tuhan yang Maha Esa lagi al-Samad itu bertempat di suatu tempat sedangkan Dia-lah penciptanya. Bahkan, Tuhan-ku ada (azali) sedangkan tiada suatu arasy pun, tiada suatu malaikat pun dan tiada suatu langit pun. Tuhan Arasy telah mengadakan Arasy itu. Dan setiap sesuatu yang di suatu tempat maka dia sentiasa memerlukan tempat dan diliputi oleh batasnya". Intaha.

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...