Sabtu, 24 September 2011

SOLAT HAJAT DENGAN TAWASSUL NABAWI

Kaifiat Solat Hajat dengan Tawassul Nabawi:

1. Mengambil wuduk.

2. Mendirikan solat sunat dua rakaat.

3. Membaca doa tawassul ini;

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ. يَا مُحَمَّدُ إِنِّي أَتَوَجَّهُ بِكَ إِلَى رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ لِتُقْضَى لِي حَاجَتِي

Maknanya: Wahai Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dan bertawajjuh kepada-Mu dengan Nabi kami Muhammad nabi rahmat. Wahai Muhammad, aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanku ^azza wa-jalla agar hajatku ditunaikan.

4. Menyatakan hajat.


Dalil Kaifiat Solat Hajat Dengan Tawassul Nabawi:

Amalan solat hajat dengan tawassul nabawi ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tabrani dalam dua kitab beliau iaitu al-Mu^jamul-Kabir[1] dan al-Mu^jamul-Saghir[2] daripada ^Uthman ibn Hunayf bahawa ada seorang lelaki telah berjumpa Sayyidina ^Uthman ibn ^Affan kerana suatu hajatnya, tetapi Sayyidina ^Uthman tidak mengalih pandangannya kepada lelaki itu dan tidak melihat hajatnya. Kemudian, lelaki itu berjumpa ^Uthman ibn Hunayf, lalu dia mengadu hal itu kepada ^Uthman ibn Hunayf. ^Uthman ibn Hunayf berkata kepadanya: “Engkau pergilah ke tempat wuduk dan ambillah wuduk. Kemudian, engkau pergilah ke masjid dan solatlah dua rakaat. Kemudian, bacalah ((اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ يَا مُحَمَّدُ إِنِّي أَتَوَجَّهُ بِكَ إِلَى رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ لِتُقْضَى لِي حَاجَتِي)). Kemudian, engkau sebutlah hajatmu itu dan datanglah kepadaku supaya aku dapat pergi bersamamu”. Lalu, lelaki itu beredar dan melakukan sebagaimana yang dikatakan oleh ^Uthman ibn Hunayf kepadanya. Selepas itu, dia mendatangi Sayyidina ^Uthman ibn ^Affan. Pengawal pintu datang kepadanya dan memimpin tangan untuk masuk berjumpa Sayyidina ^Uthman ibn ^Affan. Lelaki itu dipersilakan duduk bersama Sayyidina ^Uthman di atas hamparan. Kemudian, Sayyidina ^Uthman berkata kepadanya: “Apakah hajatmu?”. Lalu, lelaki itu menyebut hajatnya dan Sayyidina ^Uthman menunaikan hajat itu untuknya. Sayyidina ^Uthman berkata kepadanya: “Aku tidak mengingati hajatmu melainkan saat ini”. Kemudian, Sayyidina ^Uthman berkata lagi kepadanya: “Jika engkau ada suatu hajat maka jumpalah aku”.

Kemudian, lelaki itu keluar dan berjumpa ^Uthman ibn Hunayf, lalu berkata: “Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan, dia tidak pernah melihat dan tidak mengalih pandangannya kepada hajatku melainkan setelah engkau mengatakannya (cara solat hajat dengan tawassul nabawi) kepadaku”. ^Uthman ibn Hunayf berkata: “Aku tidak mengatakannya tetapi aku telah menyaksikan Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam didatangi oleh seorang lelaki buta dan mengadu kepada baginda tentang kehilangan penglihatannya, lalu baginda bersabda kepadanya; mafhumnya: “Atau engkau bersabar?. Kemudian, lelaki buta itu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak ada orang yang boleh memimpinku dan hal ini menyusahkanku”. Lalu, baginda bersabda; mafhumnya: “Engkau datangilah tempat wuduk dan ambillah wuduk. Kemudian engkau solatlah dua rakaat dan berdoalah dengan doa ini (seperti doa di atas)”. ^Uthman ibn Hunayf berkata: “Demi Allah, kami tidak berpisah (dari majlis Rasulullah) dan percakapan tidak berlaku lama di antara kami sehinggalah lelaki tersebut masuk ke dalam majlis kami seolah-olah dia tidak pernah buta pun”. Al-Imam al-Tabrani berkata: “Dan hadis ini sahih”.

Hadis lain yang semakna dengan hadis ini juga diriwayatkan dan disahihkan oleh al-Imam al-Tirmidhi dalam kitab sunannya, al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak, dan Ibn Majah. Al-Imam al-Tirmidhi berkata: "Hadis hasan sahih gharib" dan al-Imam al-Hakim berkata: "Ini hadis yang sahih isnad".

Hadis ini adalah salah satu dalil daripada dalil-dalil yang mengharuskan tawassul dengan para nabi dan para solihin. WaLlahu a^lam.



[1] Al-Mu^jam al-Kabir, Awqaf Baghdad, Baghdad, juz. 9, hlm. 17 – 18.

[2] Al-Mujam al-Saghir, Mu’assasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, hlm. 201 – 202.

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...