Rabu, 30 November 2011

BID^AH

Bid^ah dari segi bahasa bermakna sesuatu yang diadakan tanpa ada suatu contoh sebelumnya. Adapun dari segi syarak pula bid^ah iailah sesuatu yang baru yang tidak terdapat secara eksplisit (bertulis) di dalam al-Quran dan hadis.

Bid^ah terbahagi kepada dua bahagian sebagaimana yang difahami dari hadis Sayyidatina ^A’ishah radiyaLlahu ^an-ha, katanya: “RasuluLlah sollaLlahu ^aly-hi wa sallam bersabda:

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Maksudnya: “Barangsiapa melakukan sesuatu yang baru dalam syariat ini yang tidak sesuai dengannya maka ia tertolak” [Diriwayatkan oleh Muslim]

Bahagian pertama: bid^ah hasanah, atau dinamakan sebagai sunnah hasanah, atau dinamakan juga sebagai bid^ah al-huda iaitu sesuatu yang baru yang selari dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Bahagian kedua: bid^ah sayyi’ah, atau dinamakan sebagai sunnah sayyi’ah, atau dinamakan juga sebagai bid^ah al-dolalah iaitu sesuatu yang baru yang bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Pembahagian bid^ah ini juga dapat difahami dari hadis Jarir ibn ^AbdiLlah al-Bajali radiyaLlahu ^an-hu, katanya: “RasuluLlah sollaLlahu ^alay-hi wa sallam bersabda:

من سنَّ في الإسلام سُنَةً حسنة فله أجرها وأجر من عمل بها بعده من غير أن ينقص من أجورهمْ شئٌ من سنَّ في الإسلام سُنَةً سيئةً كان عليه وزرها ووزر من عمل بها من بعده من غير أن ينقص من أوزارهم شىء

Maksudnya: “Barangsiapa merintis (memulakan) dalam Islam suatu sunnah (perbuatan) yang baik maka baginya pahala dari perbuatan tersebut, juga pahala daripada orang yang melakukannya (yang mengikutnya) selepasnya tanpa berkurang sedikitpun pahala mereka. Dan barangsiapa merintis dalam Islam suatu sunnah (perbuatan) yang buruk maka baginya dosa dari perbuatan tersebut, juga dosa orang yang melakukannya (mengikutnya) selepasnya tanpa sedikitpun berkurang dosa-dosa mereka” [Diriwayatkan oleh Muslim]

Contoh bahagian pertama:

(1) Sambutan maulid Nabi sollaLlahu ^alay-hi wa sallam pada bulan Rabi^ul-awwal atau pada masa-masa yang lain. Orang yang pertama kali mengadakan sambutan maulid Nabi secara besar-besaran ialah al-Sultan al-Muzoffar penguasa Irbil pada abad ke 7 hijriyyah.

(2) Pembuatan titk-titik dalam huruf-huruf al-Quran oleh Yahya ibn Ya^mur yang merupakan salah seorang tabi^in yang agung. Beliau seorang yang alim dan bertaqwa. Perbuatan beliau ini disepakati oleh para ulama daripada kalangan ahli hadis dan selain mereka. Para ulama yang sezaman dengan beliau menganggap perkara ini sebagai suatu yang baik meskipun asal mushaf al-Quran tidak ada penggunaan titik ketika RasuluLlah menyampaikannya kepada para penulis wahyu. Demikian juga ketika Sayyidina ^Uthman ibn ^Affan menyalin dan memperbanyakkan mushaf sebanyak lima atau enam naskhah pun masih tidak ada titik-titik bagi huruf-huruf tertentu. Sejak saat perletakan titik oleh Yahya ibn Ya^mur itulah semua umat Islam sehingga kini selalu mengguna titik dalam penulisan huruf-huruf al-Quran. Apakah mungkin perkara ini boleh dikatakan sebagai bid^ah al-dolalah atau bid^ah sesat kerana RasuluLlah tidak pernah melakukannya?!!. Jikalah sedemikian halnya, maka hendaklah mereka meninggalkan mushaf-mushaf tersebut dan menghilangkan titik-titik sehingga menjadi seperti mushaf al-Quran pada zaman Sayyidina ^Uthman atau pada zaman RasuluLlah. Abu Bakr ibn Abi Dawud anak penulis kitab Sunan Abi Dawud berkata dalam kitabnya al-Masohif: “Orang yang pertama kali membuat titik dalam mushaf ialah Yahya ibn Ya^mur”. Yahya ibn Ya^mur adalah salah seorang daripada kalangan ulama tabi^in yang meriwayatkan hadis daripada ^AbduLlah ibn ^Umar dan selainnya.

Contoh bahagian kedua:

(1) Perkara-perkara baru dalam masalah aqidah, seperti aqidah-aqidah Mu^tazilah, Khawarij, Mushabbihah, Mujassimah dan apa jua aqidah yang menyalahi keyakinan para sahabat Nabi.

(2) Penulisan huruf al-sod (ص) selepas nama Nabi Muhammad sebagai tanda atau pengganti bagi lafaz selawat. Para ahli hadis telah menegaskan dalam kitab-kitab mustolah al-hadith bahawa menulis al-sod selepas menulis nama Nabi Muhammad adalah makruh tapi mereka tidak mengharamkannya. Oleh itu, bagaimana pihak yang suka membuat kekecohan boleh mengatakan bahawa sambutan maulid Nabi adalah bid^ah yang diharamkan dan bahawa selawat ke atas Nabi dengan suara yang lantang setelah azan adalah bid^ah yang diharamkan dengan alas an RasuluLlah atau para sahabat baginda tidak pernah melakukannya?!!.

(3) Mengubah nama “Allah” (الله- lafzul-jalalah) menjadi “Ah” (ءاه) atau seumpamanya yang dilakukan oleh mereka yang mengaku sebagai pengikut tariqat. Ini adalah bid^ah yang diharamkan.

Al-Imam al-Shafi^i radiyaLlahu ^an-hu berkata:

الْمُحْدَثَاتُ مِنَ اْلأُمُوْرِ ضَرْبَانِ : أَحَدُهُمَا : مَا أُحْدِثَ ِممَّا يُخَالـِفُ كِتَابًا أَوْ سُنَّةً أَوْ أَثرًا أَوْ إِجْمَاعًا ، فهَذِهِ اْلبِدْعَةُ الضَّلاَلـَةُ، وَالثَّانِيَةُ : مَا أُحْدِثَ مِنَ الْخَيْرِ لاَ خِلاَفَ فِيْهِ لِوَاحِدٍ مِنْ هذا ، وَهَذِهِ مُحْدَثَةٌ غَيْرُ مَذْمُوْمَةٍ

Maksudnya; “Perkara-perkar baru itu terbahagi kepada dua bahagian. Pertama: Perkara baru yang menyalahi al-Quran, al-Sunnah, Ijma^ atau menyalahi athar (sesuatu yang pernah dilakukan atau dikatakan oleh para sahabat tanpa ada yang mengingkarinya di kalangan mereka), maka bid^ah ini adalah sesat. Kedua: perkara baru yang baik yang tidak menyalahi al-Quran, al-Sunnah mahu Ijma^ dan ini adalah perkara baru yang tercela” . [diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dengan sanad yang sahih dalam kitab Manaqib al-Shafi^i, j. 1, hlm. 469].

Dalam riwayat lain al-Imam al-Shafi^I berkata:

اَلْبِدْعَةُ بِدْعَتَانِ: بِدْعَةٌ مَحْمُوْدَةٌ وَبِدْعَةٌ مَذْمُوْمَةٌ، فَمَا وَافَقَ السُّـنَّةَ فَهُوَ مَحْمُوْدٌ وَمَا خَالَفَهَا فَهُوَ مَذْمُوْمٌ

Maksudnya: “Bid^ah ada dua bid^ah: iaitu bid^ah yang terpuji dan bid^ah yang tercela. Bid^ah yang sesuai dengan al-Sunnah adalah bid^ah yang terpuji, dan bid^ah yang menyalahi al-Sunnah adalah bid^ah yang tercela”. [Dinaqalkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya Fathul-Bari] WaLlahu a^lam

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...