Selasa, 27 April 2010

BENDUNG DAKYAH MENGELIRUKAN

BENDUNG DAKYAH MENGELIRUKAN
[Surat ini ditulis oleh Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh YDP Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia dan diterbitkan dalam Berita Harian, dalam kolum Surat pada Isnin 26 April 2010]

INDIVIDU atau kumpulan yang menentang institusi Raja atau menghasut orang ramai menentang perlembagaan yang sedia ada, patut didakwa. Rakyat Malaysia memang mempunyai sebab untuk berbangga dengan bertambahnya bilangan cerdik pandai di kalangan rakyatnya terutama dalam bidang pelajaran agama Islam.

Tetapi apa yang mengecewakan ialah ada juga di dalam golongan cerdik pandai Islam itu yang tidak dianugerahkan sifat kesedaran dan prihatin kepada persekitarannya. Golongan ini berpendapat bahawa kepandaian mereka perlu diarahkan untuk membawa perubahan kepada keadaan yang mereka fikir `baik’, tetapi tidak memikirkan bahawa orang lain tidak sama pendapat dengan mereka.

Menonjolkan pendapat mereka dengan cara yang tidak sopan, tanpa mendengar pendapat orang lain dan melulu menuding jari kepada pihak yang lain dengan tidak sedikitpun memikirkan kesan negatif yang boleh menimpa bangsa dan agama kita.

Ada juga sebilangan golongan ini yang sanggup memperlekehkan cara pentadbiran agama Islam yang sedia ada dan teratur atas nama golongan 'Gerakan Pembaharuan'. Ada yang cuba mencabar sistem demokrasi beraja semata-mata kerana pandangan individualismenya tidak dapat diterima oleh masyarakat setempat.

Mungkin pelopor 'Penggerak Perubahan' ini pernah memegang jawatan mufti tetapi masih tidak faham bahawa kuasa mentadbir agama Islam terletak di bawah kuasa Raja negeri berkenaan. Seorang Raja, sungguhpun diberi kuasa mutlak di dalam pentadbiran agama Islam tidak membuat sebarang keputusan sesuka hatinya, tetapi sentiasa mendapat nasihat daripada mufti berkenaan. Seseorang mufti pula tidak boleh membuat sesuatu keputusan yang besar sebelum mendapat pandangan daripada persidangan Musyawarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang dihadiri semua mufti negeri. Tambahan pula keputusan mengenai pentadbiran agama Islam dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Agama Islam negeri berkenaan, yang terdiri daripada cerdik dan pandai dalam pelbagai bidang dan tidak terhad kepada pandangan seorang bekas mufti saja.

Sekiranya keputusan yang dibuat hasil sebegini banyak semakan dan pandangan masih dianggap tidak betul, berbanding dengan pendapat seorang individu yang menganggap dirinya pakar di dalam undang-undang Islam dan perlembagaan, maka pihak kami berasa begitu keliru di manakah arahnya pentadbiran negara kita sekiranya pendapat orang seperti ini mempengaruhi masyarakat kita.

Saya menyokong NGO yang dilaporkan akan mengambil tindakan tegas terhadap orang yang menyebarkan dakyah yang bukan saja boleh mengelirukan tetapi boleh merosakkan sistem pentadbiran dan cara hidup demokrasi beraja yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.
DATUK PADUKA RAJA WAN MAHMOOD PAWAN TEH,
Yang Dipertua
Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia
Negeri Selangor.

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...