Segala
pujian bagi Allah tuhan sekalian alam, Dia yang telah menciptakan bumi, langit,
Kursi, Arasy, tempat, masa dan semua makhluk, Dia wujud sebelum kewujudan
makhlu, Dia bersifat azali lagi abadi dan Dia wujud tanpa bertempat dan tanpa
berhajat kepada makhluk. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad
juga buat keluarga baginda, para sahabat dan sekalian para pengikut mereka hingga
akhir zaman.
Sebagai umat Islam yang sebenar, kita wajib beriman dengan
perkara luar biasa atau ajaib yang secara adatnya tidak diterima oleh akal.
Perkara ini berlaku kerana diberikan oleh Allah kepada para rasul ^alayhimussalam
yang diistilahkan sebagai mukjizat.
Mukjizat tersebut diberikan oleh Allah kepada para rasul bagi membuktikan kebenaran
dakwaan mereka bahawa mereka merupakan utusan Allah yang sebenar kepada umat
manusia.
Perkara luar biasa atau ajaib ini
bukanlah cerita dongeng dahulu kala yang tidak berasas seperti yang dilemparkan
oleh golongan Orientalis ataupun sebagaimana yang ditonjolkan dalam cerita-cerita
kartun. Perkara mukjizat ini merupakan perkara usul atau asas dalam Islam yang
mesti diimani mengikut disiplin ilmu Islam itu sendiri. Inilah antara keyakinan
atau akidah yang membezakan antara umat Islam dengan umat yang lain. Keimanan
atau kepercayaan dalam ajaran Islam bukan hanya beriman dengan perkara yang
zahir, bahkan perlu kepada beriman dengan perkara yang ghaib. Seseorang itu
masih tidak dianggap sebagai muslim jika tidak beriman dengan perkara ghaib
seperti syurga, neraka, malaikat, dosa dan pahala.
Antara mukjizat agung yang diberikan
kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad sallallahu^alayhiwasallam ialah
peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun ke-lima
sebelum hijrah. Peristiwa ini melangkau jangkaan pemikiran manusia. Ini kerana Rasulullah
diperjalankan oleh Allah pada waktu malam dalam tempoh yang singkat bermula dari
Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin (israk), seterusnya
dibawa melihat keajaiban dan keanehan ciptaan Allah yang berada di alam yang
tinggi (malakut al-a’la) iaitu di langit
dalam masa sebahagian malam sahaja (mikraj).
Peristiwa ini berlaku pada diri
Rasulullah untuk menunjukkan kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada baginda
yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Bukanlah suatu perkara yang
besar, susah atau aneh bagi Allah tuhan alam semesta untuk melakukan sedemikian
kerana Dialah tuhan yang telah menjadikan segala kewujudan ini dari tiada
kepada ada.
Berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj
ini, umat Islam banyak mengambil berita-berita atau cerita-cerita yang tidak
berasas atau tidak bersumberkan dari sumber yang sahih lagi boleh dipercayai. Berikutan
dari itulah, maka banyak kisah yang diriwayatkan berkaitan Israk dan Mikraj ini
adalah pembohongan semata-mata. Amat mendukacitakan kita sekiranya cerita atau
kisah palsu berkaitan mukjizat yang agung ini dilontarkan dari mulut-mulut
khatib di atas mimbar, penceramah-penceramah di masjid atau diajar dalam
majlis-majlis ilmu turun temurun. Oleh yang demikian, di bawah ini dimuatkan
sebahagian cerita-cerita palsu tersebut supaya kita dapat menghindari dan menjauhinya
dari mempercayainya.
Pertama: Sesetengah orang percaya
bahawa Mikraj merupakan satu peristiwa yang menunjukkan bahawa Rasulullah sallallahu^alayhiwasallam
sampai ke suatu tempat di atas langit yang ke tujuh dan di situlah Allah berada.
Kepercayaan atau iktikad yang mengatakan
Allah berada di atas langit - samada yang dimaksudkan langit itu secara umum
atau dikhususkan kepada Kursi atau Arasy - sebenarnya sesat lagi kufur di sisi Ahlis
Sunnah wal Jama^ah. Ini kerana kepercayaan sedemikian menisbahkan atau
menyifatkan Allah berada pada sudut, arah, ruang atau tempat. Sedangkan akidah
dan kepercayaan umat Islam yang sebenarnya ialah bahawa Allah jualah yang
menciptakan segala-galanya yang ada termasuk tempat, ruang, arah atau sudut.
Allah telah pun ada atau wujud sebelum itu lagi tanpa memerlukan arah, sudut
mahupun tempat. Inilah yang dikatakan bahawa kewujudan Allah itu azali;
iaitu kewujudan Allah tidak dijadikan oleh sesiapapun kerana Dia adalah Tuhan.
Tempat, arah dan lain-lain merupakan antara makhluk yang diciptakan oleh Allah.
Inilah yang dikatakan bahawa kewujudan makhluk itu tidak azali; iaitu
asal makhluk itu tidak ada kemudian ada kerana dijadikan oleh Allah. Oleh itu,
maka mustahil bahawa Allah itu perlu atau berhajat kepada makhluk ciptaan-Nya
sendiri sedangkan Allah telahpun wujud azali tanpa ada selain-Nya termasuk sudut,
arah dan tempat.
Al-Imam al-Qushayri meriwayatkan
bahawa Al-Imam al-Shafi^i rahimahullah berkata:
اعْلَمُوا أَنَّ الْبَارِئَ
عَزَّ وَجَلَّ لا مَكَانَ لَهُ
Bermaksud: "Kamu ketahuilah bahawa Allah azzawajalla tidak ada tempat bagi-Nya”.
Al-Imam al-Bayhaqi meriwayatkan
bahawa Imam Ahlis Sunnah al-Imam Abu al-Hasan al-Ash^ari berkata:
إِنَّ اللهَ تَعَالَى
لا مَكَانَ لَهُ
Bermaksud: “Sesungguhnya
Allah Taala tidak ada tempat baginya”.
Al-Imam Abu Mansur al-Baghdadi pula
menyebutkan dalam kitab beliau al-Farq Bayn al-Firaq:
وَأَجْمَعُوا أَنَّهُ
لا يَحْوِيهِ مِكَانٌ وَلا يَجْرِي عَلَيْهِ زَمَانٌ
Bermaksud: “Dan
mereka (iaitu Ahlis Sunnah) telah berijmak bahawa Dia (iaitu Allah) tidak
diliputi oleh tempat dan tidak berlaku peredaran masa ke atas-Nya”.
Inilah ijmak Ahlis Sunnah yang
menunjukkan bahawa Allah wujud tanpa
bertempat, sama ada di atas atau di bawah, kiri atau kanan, depan atau
belakang kerana kesemua arah tersebut adalah ciptaan Allah yang asalnya tidak
ada kemudian ada kerana dijadikan oleh Allah. Begitu jugalah masa, tidak kira
sebelum atau selepas, semalam, hari ini atau esok, pagi atau petang, siang atau
malam. Barang sesiapa beriktikad berlainan dari apa yang disebutkan ini, maka
mereka itulah yang digelar sebagai golongan Al-Mushabbihah
iaitu golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk ciptaan-Nya sendiri.
Golongan Al-Mushabbihah tersebut
dihukumkan sebagai kafir oleh ulama Islam.
Antara mereka ialah Al-Imam Abu Ja^far al-Tahawi; iaitu beliau berkata dalam
kitab beliau al-Akidah al-Tahawiyyah:
وَمَن وَصَفَ اللهَ
بِمَعْنًى مِن مَعَانِي الْبَشَرِ فَقَدْ كَفَرَ
Bermaksud: “…dan
barangsiapa mensifatkan Allah dengan suatu makna daripada makna-makna (sifat
makhluk; antaranya seperti) manusia maka sesungguhnya dia telah kafir”.
Antara sifat bagi makhluk ialah kewujudannya
yang memerlukan tempat. Perkara ini amat jelas bagi kita.
Walaupun demikian, amatlah
mendukacitakan kita kerana ada sebilangan orang yang menyandarkan diri mereka
sebagai tok guru atau ahli ilmu mengelirukan orang ramai dalam permasalahan peristiwa
Mikraj ini dengan mengatakan bahawa Rasul telah sampai ke suatu tempat yang
merupakan markaz atau tempat Allah berada – kita berlindung dengan
pertolongan dari kekufuran ini - . Pandangan atau ucapan sebegini hukumnya jelas
kufur kerana menyifatkan Allah dengan satu sifat yang sama dengan makhluk. Pegangan
seumpama ini disandarkan kepada sebahagian kandungan kitab murahan yang sudah
tersebar yang di dalamnya tidak mengandungi akidah
tanzih, iaitu akidah Ahlis Sunnah yang menyucikan Allah dari sebarang persamaan
dengan makhluk-Nya. Contoh kitab tersebut ialah kitab Mi^raj Ibn ^Abbas
yang dinisbahkan secara dusta kepada Ibnu Abbas. Perkara sebegini dan
seumpamanya wajib diberi peringatan kepada umat Islam.
Penjelasan sebenar berkenaan perkara
ini ialah Rasulullah telah sampai ke tempat yang dikehendaki oleh Allah selepas
sampai di Sidratul Muntaha, dan di
situlah baginda mendapat perintah Allah mengenai kefarduan solat. Begitu
jugalah berkenaan Rasulullah berulang alik memohon agar waktu solat tersebut dikurangkan
dari tempat Nabi Musa. Ini bukan bererti Nabi Muhammad berulang alik dari
tempat Nabi Musa ke tempat Allah berada, bahkan sebenarnya berulang alik ke
tempat asal yang baginda mendengar Kalam
Allah yang azali tanpa suara,
huruf dan bahasa, Allah menciptakan kekuatan pada hati Rasulullah sehingga
baginda faham bahawa ini adalah wahyu daripada Allah mengenai kefarduan
solat sehingga tuntutan lima puluh waktu solat sehari semalam dikurangkan kepada
lima waktu sehari semalam. Inilah pegangan kita kerana Allah wujud tanpa
bertempat.
Kedua: Sesetengah orang ada
yang mengatakan bahawa peristiwa Mikraj berlaku dengan ruh sahaja tanpa beserta
jasad.
Pandangan di atas jelas bercanggah
dengan apa yang tersebut melalui hadis-hadis yang sahih. Di dalam al-Quran
terkandung satu ayat yang amat hampir kepada penjelasan yang berkaitan
peristiwa Mikraj iaitu firman Allah taala:
وَلَقَدْ
رَءَاهُ نَزْلَةً أُخْرَى. عِتدَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَى. عِندَهَا جَنَّةُ
الْمَأْوَى.
Bermaksud: “Demi
sesungguhnya dia (Muhammad) telah melihatnya (Jibril) buat kali yang kedua di
Sidratul Muntaha. Di situlah terletaknya syurga Ma'wa”, Surah al-Najm: ayat
13 - 15.
Ayat tersebut menjelaskan kepada
kita bahawa Nabi Muhammad telah melihat Malaikat Jibril dalam rupa bentuknya
yang asal; yang mempunyai enam ratus sayap pada malam Mikraj di langit yang
ketujuh dalam keadaan sedar dengan ruh dan jasad.
Antara hadis sahih yang menyebutkan
berkenaan peristiwa Mikraj ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam
Muslim dalam kitab beliau Sahih Muslim bahawa Rasulullah telah berkata:
ثُمَّ
عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ, فَقِيلَ:مَنْ أَنتَ؟
قَالَ:
جِبْرِيلُ, قِيلَ: وَمَن مَعَكَ؟ قَالَ: مُحَمَّدٌ
Bermaksud: “Kemudian kami dibawa naik ke langit, maka dipohon pintu
langit dibuka oleh Jibril, lalu ditanya: Siapakah kamu? (Jibril) berkata: (Aku)
Jibril. Ditanya: Siapakah bersamamu? (Jibril) berkata: Muhammad”.
Melalui jawapan Jibril tersebut,
Jibril tidakpun berkata: “bersamaku ruh Muhammad”!!
Di akhir hadis itu Rasulullah
menceritakan:
فَنَزَلْتُ إلَى
مُوسَى
Bermaksud: “Lalu
aku turun kepada Musa”.
Ketika itu Nabi Musa berada di
langit yang keenam. Rasul tidakpun berkata: “Ruhku turun kepada Musa alaihissalam”.
Oleh itu, apakah asas yang digunakan
oleh golongan ini bagi menegakkan pandangan mereka bahawa Rasulullah di-Mikraj-kan
dengan ruh sahaja?! Di manakah mukjizatnya peristiwa Mikraj ini bagi Rasulullah
jika berlaku dengan ruh sahaja?!
Ketiga: Sesetengah orang yang
jahil mengatakan Rasul berdiri di atas seketul batu dan batu tersebut terapung
bersama baginda ketika berlakunya peristiwa Mikraj. Batu tersebut pula sekarang
ini berada di dalam Kubah Batu (قُبَّةُ الصَّخْرَةِ) berhampiran
dengan Masjid al-Aqsa di Palestin. Diceritakan bahawa batu tersebut terapung
apabila Rasul berkata: “Tetaplah
ditempatmu”. Maka batu tersebut pada sangkaan mereka sehingga sekarang
berada dalam keadaan terapung. Kisah ini sama sekali tidak benar kerana
hakikatnya batu itu tidak terapung dan keadaan ini dapat dilihat di Kubah Batu.
Keempat: Sesetengah orang
mengatakan Allah menjadikan Rasulullah dapat mendengar suara Sayyidina Abu
Bakar di langit ketika Mikraj agar baginda merasa tenteram dari ketakutan. Perkara
ini tidak berasas sama sekali.
Kelima: Sesetengah golongan
mengatakan peristiwa Mikraj merupakan perjalanan dalam tidur (رِحْلَةٌ
مَنَامِيَّة). Pandangan ini batil yang merupakan antara
permainan Iblis dan tenteranya Jika demikianlah, maka di manakah mukjizat bagi
baginda seperti sangkaan mereka?!
Keenam: Tersebut dalam kitab
yang dinamakan Mi^raj Ibn ^Abbas yang disandar secara dusta kepada Ibn
Abbas bahawa ada malaikat yang sebahagian dirinya terdiri dari api dan
sebahagian lagi dari salji. Api tidak mencairkan salji dan salji tidak pula memadamkan
api, dia mempunyai seribu kepala, bagi setiap kepala sejuta wajah, bagi setiap
wajah sejuta lidah yang sentiasa bertasbih kepada Allah dengan sejuta bahasa. Cerita
ini karut kesemuanya.
Kitab yang dinisbahkan kepada Ibnu
Abbas ini adalah tidak benar sama sekali dan penuh dengan akidah-akidah serta
cerita-cerita yang kufur. Antara yang jelas menyalahi akidah Ahlis Sunnah ialah
cerita bahawa Nabi menghampiri Allah sehingga hampir sangat seperti lengkungan dua
hujung busur panah bahkan lebih hampir daripada itu. Cerita tersebut
menisbahkan Allah mempunyai jarak
seperti makhlukNya. Di dalam kitab itu juga ada akidah yang menisbahkan
anggota badan kepada Allah – Kita berlindung dengan Allah daripada kekufuran
mereka ini -seperti kata-kata mereka:
فَوَضَعَ اللهُ
سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى يَدَهُ بَيْنَ كَتِفَيَّ فَشَعَرْتُ بِبردِ أَنَامِلِهَا
Bermaksud: “ Maka
Allah subhanahuwataala meletakkan tanganNya diantara dua bahuku, maka aku dapat
merasai kesejukan hujung jari jemari tangan-Nya”.
Kata-kata ini menisbahkan anggota
badan seperti manusia yang jelas kufur seperti yang diijmakkan oleh
ulama Ahlis Sunnah.
Ketujuh: Apa yang diriwayatkan
dari Saiyidatuna A'ishah radiyallahu'anha bahawa beliau berkata:
مَا فَقَدتُ جَسَدَ
رَسُولُ اللهِ وَلَكِن أُسْرِيَ بِرُوحِهِ
Bermaksud: “Aku
tidaklah kehilangan jasad Rasulullah, tetapi baginda di-israk-kan dengan ruhnya”.
Hadis tersebut tidak sabit. Matan
dan sanad hadis ini telah dihukumkan sebagai da^if oleh Al-Qadi ^Iyad
dalam kitab beliau al-Shifa, dan hadis ini juga diputuskan oleh al-Hafiz
Ibn Dahyah sebagai mawdu^ (hadis palsu). Perkara yang jelas bahawa hadis
ini tidak thabit dari ^A'ishah ialah Rasulullah sallallahu^alayhiwasallam
belum lagi bersama beliau sebagai suami isteri melainkan selepas hijrah.
Apatah lagi bahawa Rasulullah diisrakkan sebelum baginda bertunang dengan ^A'ishah.
Demikian jugalah yang dikatakan
bahawa Rasulullah sallallahu^alayhiwasallam bersabda:
أَتَانِي
جِبْرِيلُ بِسَفَرْجَلَةٍ مِنَ الْجَنَّةِ فَأَكَلْتُهَا لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي
فَعَلَقَتْ خَدِيجَة بِفَاطِمَةَ, فَكُنتُ إذَا اشْتَقْتُ إِلَى رَائِحَةِ
الْجَنَّةِ شَمِمْتُ رَقَبَةَ فَاطِمَةَ
Bermaksud: “Jibril
membawa buah safarjalah dari Syurga kepadaku, lalu aku memakannya pada malam aku diisrakkan, kemudian Khadijah mula
mengandungkan Fatimah. Apabila aku berasa rindu terhadap bauan Syurga maka aku
menghidu tengkuk Fatimah”.
Al-Dhahabi berkata bahawa perkara
yang diriwayatkan ini suatu pendustaan yang nyata yang dilakukan oleh
Muslim ibn ^Isa al-Saffar. Ini kerana Fatimah telahpun dilahirkan sebelum
kenabian Rasulullah sallallahu^alayhiwasallam, lebih-lebih lagi
peristiwa Israk berlaku dua tahun sebelum hijrah. Demikian juga yang dikatakan
oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-^Asqalani rahimahullah.
Kelapan: Antara perkara dusta dan tidak sahih ialah apa yang
diriwayatkan bahawa apabila Rasulullah dan Jibril sampai di suatu tempat
selepas Sidratul Muntaha, lalu Jibril berkata:
هُنَا يُفَارِقُ
الْخَلِيلُ خَلِيلَهُ لَوْ تَقَدَّمْتُ لاحْتَرَقْتُ
Bermaksud: “Disinilah
si kekasih berpisah dengan kekasihnya, sekiranya aku maju lagi nescaya aku
terbakar”.
Kesembilan: Sesetengah penceramah ketika mengingati peristiwa Israk dan
Mikraj mereka membawa suatu cerita dusta dalam ceramah mereka bahawa Rasulullah
sallallahu^alayhiwasallam bersabda kepada Allah: التحيات لله والصلوات
والطيبات.
Kemudian Allah taala berfirman: السلام عليك أيها النبي ورحمة الله
وبركاته.
Lalu Nabi bersabda: السلام
علينا وعلى عباد الله الصالحين….selanjutnya hingga akhirnya.
Ini satu pendustaan yang tiada asas
baginya. Dalil yang membuktikan bahawa perkara di atas tidak sahih ialah hadis
yang telah diriwayatkan oleh al-Imam al-Bayhaqi; bahawa sebelum solat
difardukan sebahagian para sahabat pernah menyebut suatu lafaz tashhahud
di dalam solat mereka, iaitu: السلام على الله, السلام على جبريل, السلام على ميكائيل. Kemudian
Rasulullah sallahu^alayhiwasallam bersabda kepada mereka: إِنَّ اللهَ هُوَ
السَّلامُ, bermaksud: "Sesunguhnya Allah itu adalah
al-Salam". Lalu baginda sallahu^alayhiwasallam mengajar mereka
supaya mereka menyebut: السَّلامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ
وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ.
Kesepuluh:
Antara perkara yang amat bahaya dan
sangat tercela dalam perkara yang berkaitan dengan peristiwa Israk dan Mikraj
ialah perkara yang disebut oleh Dr. Muhammad Husayn Haykal dalam karyanya Hayat
Muhammad, halaman 189, cetakan kedua; iaitu dia berkata: "Maka
dalam peristiwa Israk dan Mikraj dalam kehidupan rohani Muhammad ada suatu
makna yang tinggi yang sehabis-habis tinggi, suatu makna yang lebih agung
daripada makna yang mereka gambarkan. Dan makna yang sebahagiannya terkadang dikeruhkan dengan khayalan ahli
kalam merupakan suatu bahagian yang
bukan sedikit. Ketika Israk maka kesatuan
bagi kewujudan ini telah bersatu di dalam roh yang kuat ini berkeadaan sampai
ke kemuncak kesempurnaan kesatuan. Di hadapan benak Muhammad dan rohnya tidak
ada suatupun hijab masa atau tempat atau hijab-hijab yang lain pada saat yang
boleh menjadikan hukum kita di dalam kehidupan secara nisbi yang terbatas
dengan batasan-batasan keupayaan kita yang dapat dicerap yang ditadbir dan
berakal. Pada ketika ini setiap batasan tersebut saling bercantum di hadapan
pandangan Muhammad, dan seluruh alam berhimpun di dalam rohnya, lalu dia
mendapati hakikat dirinya meliputi dari keazaliannya hingga keabadiannya".
Bersyukurlah
kita kepada Allah kerana dengan limpah rahmatnya kita menjadi umat yang terbaik
berbanding umat-umat yang lain. Keistimewaan ini tidaklah didapati sekadar semata-mata
kerana kita berada atau tergolong dalam umat Nabi Muhammad, tetapi keistimewaan
tersebut mestilah didapati melalui keimanan dengan Allah dengan kepercayaan
yang sahih, seterusnya melakukan serta menyuruh kepada kebaikan dan menghindari
serta mencegah dari perkara yang keji lagi tercela di dalam agama, serta kita
menjadi insan yang beriman, berilmu dan beramal. Mudah-mudahan perkara palsu
yang berlaku atau digembar gemburkan berkaitan peristiwa bersejarah ini dapat
kita hapuskan dengan rasa tanggungjawab sebagai individu muslim yang mencintai
agamanya.