Ahad, 10 Mei 2009

SUATU PENJELASAN: BAHAWA ILMU AGAMA DIAMBIL SECARA BERTALAQQI

Al-HamduliLlah Tuhan pencipta alam, wujud-Nya azali abadi, tidak berhajat kepada makhluk-Nya, Dia yang mencipta tempat maka wujud-Nya tanpa bertempat. Selawat dan salam ke atas junjugan besar kita Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda. Ketahuilah bahawa wajib ke atas setiap mukallaf mempelajari ilmu agama yang dinamakan sebagai ilmu fardu ain yang terbahagi kepada ilmu akidah dan ilmu hukum-hakam.

Antara ilmu akidah yang wajib ke atas setiap mukallaf mempelajarinya ialah beriman dengan Allah dan dengan apa yang telah didatangkan oleh Allah, dan beriman dengan Rasulullah dan dengan apa yang telah diberitahu oleh Baginda seperti:
1. Memahami makna dua kalimah syahadah
2. Sifat Allah yang wajib diketahui.
3. Mensucikan Allah dari apa yang tidak layak bagi-Nya.
4. Mempercayai kesemua perkara yang telah diberitahu oleh Nabi Muhammad yang terdiri daripada kisah-kisah terdahulu dan perkara yang akan berlaku sama ada di alam barzakh ataupun pada hari akhirat dan juga mempercayai perkara yang telah dinyatakan akan hukumnya halal ataupun haram.
5. Mempelajari dan mengetahui perkara-perkara yang boleh menyebabkan terkeluar dari agama Islam (murtad) seperti mengetahui jenis-jenis kufur supaya dia mampu mengelak dari berlaku murtad pada dirinya.

Antara perkara yang wajib ke atas setiap mukallaf mempelajarinya dari hal yang bersangkutan dengan hukum-hakam ialah mempelajari hukum-hakam solat seperti syarat-syaratnya, rukun-rukunnya, dan perkara yang membatalkan solat dan sebagainya.

Namun perlu diingatkan bahawa keseluruhan perkara-perkara ini tidak boleh diambil dengan hanya mentelaah atau membaca buku sahaja tanpa talaqqi dengan ulama yang dipercayai. Ini kerana berkemungkinan buku yang dibaca itu ada penyelewengan dan pendustaan yang ditokok-tambah atau dibuat-buat oleh sesetengah puak, atau tersalah cetak atau berkemungkinan pembaca memahami maksud yang tersirat di dalam buku agama yang dibaca dengan kefahaman yang menyalahi nukilan ilmu ulama salaf dan khalaf daripada suatu generasi kepada suatu generasi. Keadaan ini akan menyebabkan pembaca beramal dengan kefahaman yang salah dan merosakkan ibadah atau juga merosakkan akidah jika dia beriktikad dengan suatu akidah sesat yang mempercayai bahawa Allah itu menyamai dan menyerupai makhluk-Nya seperti beriktikad bahawa Allah berada di atas Arasy, di langit atau Dia berada di setiap tempat. Sedangkan antara akidah Islam yang sebenar ialah Allah Ada Tanpa Bertempat. Umumnya, mentelaah kitab semata-mata bukanlah cara pembelajaran para ulama salaf dan khalaf. Bahkan, sedangkan Nabi Muhammad sendiri pun bertalaqqi dengan Jibril ^alayhis-salam, apatah lagi kita yang bukannya nabi ini.

Salah seorang ulama besar dalam bidang hadith iaitu Al-Hafiz Abu Bakr Al-Khatib Al-Baghdadi berkata di dalam kitab beliau al-Faqih wa'l-Mutafaqqih:

لا يُؤْخَذُ الْعِلْمُ إِلا مِنْ أَفْوَاهِ الْعُلَمَاءِ
Bermaksud: "Ilmu (agama) hanya diambil daripada mulut ulama"

Oleh kerana itu, semestinya mempelajari perkara yang berkaitan agama daripada orang yang arif tentang agama lagi dipercayai yang dia juga mengambil ilmu agama daripada orang dipercayai, dan demikianlah seterusnya sehingga sampai kepada generasi sahabat. Sebahagian ulama salaf sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi dalam kitab al-Faqih wa'l-Mutafaqqih ada menyatakan:

الَّذِي يَأْخُذُ الْحَدِيثَ مِنَ الْكُتُبِ يُسَمَّى صَحَفِيًّا وَالَّذِي يَأْخُذُ الْقُرْءَانَ مِنَ الْمُصْحَفِ يُسَمَّى مُصْحَفِيًّا وَلا يُسَمَّى قَارِئًا
Bermaksud: "Orang yang mengambil hadis daripada kitab dinamakan sebagai sahafi, manakala orang mengambil bacaan al-Quran daripada mushaf dinamakan sebagai mushafi dan tidak dinamakan sebagai qari`"

Rasulullah telah bersabda:

مَن يُرِد اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ إنَّمَا الْعِلْمُ بالتَّعَلُّمِ وَإِنَّمَا الْفِقْهُ بالتَّفَقُّهِ
Bermaksud: “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah baginya kebaikan maka dia akan mendalami ilmu agama, sesungguhnya ilmu agama diambil dengan belajar dan fiqh itu dengan mendalaminya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Al-Imam Ibnu Sirin berkata:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانظُرُوا عَمَّنْ تَاْخُذُون دِينَكُم
Bermaksud: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka lihatlah dari siapa kamu mengambil agama ini ”. [Diriwayatkan oleh Muslim].

WaLlahu a^lam...

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...