Allah ta^ala berfirman:
يأيها الذين ءامنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارًا وقودها الناس والحجارة
Mafhumnya: "Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu" [Surah al-Tahrim, ayat 6].
Al-Imam Abu`l-Hasan ^Ali ibn Ahmad al-Wahidi dalam kitabnya al-Wajiz fi Tafsiri`l-Qur'ani`l-^Aziz mentafsirkan: "Wahai orang-orang yang beriman! Berilah peringatan buat diri kamu sendiri dan ahli keluarga kamu tentang perkara yang boleh mendekatkan diri kepada rahmat Allah dan jauhilah diri kamu dan ahli keluargamu dari perkara dosa".
Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani dalam kitab tafsirnya al-Tafsiru`l-Munir mentafsirkan: "Wahai orang-orang beriman! Ajarkanlah diri kamu sendiri, isteri kamu, anak-anak kamu tentang kebaikan dan didiklah dengan cara menyuruh mereka melakukan kebaikan dan mencegah mereka dari melakukan kejahatan. Dengan itu, kamu akan memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari neraka".
Al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari al-Habashi dalam kitabnya al-Siratu`l-Mustaqim berkata: "Pentafsiran ayat ini ialah bahawa Allah memerintahkan orang-orang yang beriman agar memelihara diri mereka sendiri dan ahli keluarga mereka dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu dengan cara mempelajari perkara agama dan mengajarkannya kepada keluarga mereka; iaitu mempelajari dan mengajar pengetahuan tentang perkara yang telah difardukan oleh Allah untuk melakukan segala yang wajib dan meninggalkan segala yang haram. Ini supaya tidak terjerumus kepada akidah sesat dan kufur seperti pegangan tashbih dan tamthil (menyamakan Allah dengan makhluk). Ini kerana orang yang menyamakan Allah dengan sesuatu yang lain adalah ibadahnya tidak sah. Dia sebenarnya menyembah sesuatu yang dikhayalkan. Al-Imam al-Ghazali berkata: "Ibadah itu tidak sah melainkan selepas mengenali Allah yang disembah"[1].
Al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari berkata dalam kitabnya Bughyatu`t-Talib berkenaan maksud ayat di atas: "..Jika dia seorang yang alim maka wajib ke atasnya mengajar keluarganya atau membenarkan mereka belajar dengan seseorang yang boleh mengajar. Ketika itu dia diharamkan untuk menghalang keluarganya dari keluar kerana belajar. Hatta isteri pun tidak boleh dihalang oleh suaminya dari keluar untuk belajar sekiranya suaminya bukanlah orang alim tentang perkara tersebut atau suaminya seorang yang alim tentang perkara itu tetapi dia mencuaikan tanggungjawab mengajar dan tidak pula membawa orang yang boleh mengajar isterinya"….."Barangsiapa yang mempelajari ilmu agama yang bersifat daruri[2] (fardu ain) dan mengajar keluarganya maka sebenarnya dia telah memelihara dirinya dan keluarganya dari neraka Jahanam. Barangsiapa yang tidak berbuat demikian maka sebenarnya sedang menghancurkan dirinya dan keluarganya".
Pengajaran:
*Memelihara diri dan ahli keluarga dari azab neraka adalah wajib.
*Menuntut ilmu agama yang bersifat daruri adalah wajib ke atas setiap muslim.
*Antara tanggungjawab suami terhadap isteri dan anaknya ialah mengajar ilmu agama terutama dan pertamanya ilmu akidah.
*Suami yang mengajar agama kepada isteri dan anaknya adalah suami yang penyayang.
*Suasana pengajaran dan pembelajaran ilmu agama dalam rumahtangga akan mengerat dan memurnikan ikatan kasih sayang kekeluargaan.
*Perbuatan menghalang seseorang dari menuntut ilmu adalah perbuatan yang tercela.
*Perbuatan membiarkan keluarga dalam kejahilan membawa penderaan yang sangat dahsyat di dalam neraka.
*Jalan mudah untuk ke syurga ialah jalan menuntut ilmu agama.
_____________________________________________________
[1]Pentafsiran oleh al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari dan al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani berdasarkan tafsiran Sayyidina ^Ali ibn Abi Talib yang telah diriwayatkan oleh al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak jil. 2, hlm. 494. Al-Hafiz al-Harari berkata dalam kitabnya al-Sharhu`l-Qawim bahawa tafsiran ini datang daripada Sayyidina ^Ali ibn Abi Talib dengan isnad qawiyy.
[2] Suatu kadar ilmu agama yang diketahui oleh semua meliputi orang awam dan para ulama.