Sabtu, 12 November 2011

IJTIHAD DAN TAQLID

IJTIHAD DAN TAQLID


Ijtihad ialah perbuatan atau usaha untuk mengeluarkan hukum-hukum yang tidak terdapat nas (teks) yang jelas iaitu nas yang tidak mengandungi kecuali satu makna tentangnya.

Oleh itu, mujtahid (orang yang mampu berijtihad) ialah orang yang memiliki keahlian dalam ijtihad. Seorang mujtahid ialah orang yang mengingati ayat-ayat ahkam, hadis-hadis ahkam serta mengetahui sanad-sanad dan keadaan para perawinya, mengetahui nas-nas yang nasikh dan mansukh, yang ^am dan khas, yang mutlaq dan muqayyad serta benar-benar mengetahui bahasa Arab dengan mengingati permaknaan-permaknaan bagi setiap nas sesuai dengan bahasa al-Quran, juga mengetahui perkara yang telah disepakati oleh para ahli ijtihad (mujtahidin) dan perkara yang telah diperselisihkan di kalangan mereka. Ini kerana jika seseorang itu tidak mengetahui perkara ini maka berkemungkinan dia menyalahi ijmak (kesepakatan) para ulama sebelumnya.

Selain syarat-syarat di atas, masih ada satu lagi syarat yang menjadi rukun yang sangat besar yang mesti dipenuhi dalam berijtihad iaitu kekuatan pemahaman dan pemikiran. Kemudian disyaratkan juga memiliki sifat ^adalah iaitu sifat selamat dari dosa-dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil yang jika dikira secara perbandingan maka jumlah dosa kecilnya didapati melebihi jumlah amalan baiknya.

Taqlid pula ialah perbuatan atau usaha untuk mengikut pendapat para mujtahidin seperti para imam mazhab yang empat al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Shafi^i dan al-Imam Ahmad. Orang yang bertaqlid digelar sebagai muqallid. Seorang muqallid ialah orang yang belum sampai kepada darjat keahlian mujtahid.

Antara dalil yang menunjukkan bahawa orang Islam terbahagi kepada dua martabat ini ialah hadis Nabi sollaLlahu ^alay-hi wa sallam:

نضر الله امرأً سمع مقالتي فوعاها فأداها كما سمعها, فرب حامل مبلغ لا فقه عنده

Maksudnya: “Allah memberi kemuliaan kepada seseorang yang mendengar perkataanku, kemudian dia menjaganya dan menyampaikannya sebagaimana dia pernah mendengarnya. Betapa ramai orang yang menyampaikan tidak memiliki pemahaman” [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan Ibn Hibban]

Tumpuan dalil ialah pada lafaz: (فرب حامل مبلغ لا فقه عنده) yang bermaksud: “Betapa ramai orang yang menyampaikan tidak memiliki pemahaman”.

Dalam riwayat yang lain disebut begini:

فربّ حامل فقهٍ لا فقه له, وربّ حامل فقه إلى من هو أفقه منه

Maksudnya: “Maka betapa ramai pembawa (dalil) fiqh tidak memiliki pemahaman, dan betapa ramai pembawa (dalil) fiqh (menyampaikan dalil) kepada orang yang lebih faham daripadanya” [Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad]

Lafaz-lafaz hadis tersebut memberi kefahaman kepada kita bahawa di kalangan sebahagian orang yang mendengar hadis daripada RasuluLlah sollaLlahu ^alay-hi wa sallam ada yang hanya meriwayatkan sahaja dan pemahamannya terhadap kandungan hadis tersebut adalah kurang berbanding dengan pemahaman orang yang mendengar hadis tersebut daripadanya. Orang yang kedua ini dengan kekuatan pemikiran dan pemahamannya dia memiliki kemampuan untuk menggali dan mengeluarkan hukum-hukum dan masalah-masalah (yakni mampu melakukan istinbat hukum) yang terkandung dalam hadis tersebut. Oleh itu, kita dapat mengetahui bahawa sebahagian para sahabat Nabi ada yang pemahamannya adalah kurang berbanding dengan para muridnya sendiri atau orang yang mendengar hadis daripadanya.

Mujtahid dengan pengertian inilah yang dimaksudkan oleh hadis Nabi sollaLlahu ^alay-hi wa sallam:

إذا اجتهد الحاكم فأصاب فله أجران وإذا اجتهد فأخطأ فله أجر

Maksudnya: “Jika seorang penguasa berijtihad lalu betul (ijtihadnya) maka baginya dua pahala, dan jika dia berijtihad lalu salah (ijtihadnya) maka baginya satu pahala” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Penguasa (الحاكم) dalam hadis ini disebut secara khusus kerana seseorang penguasa lebih memerlukan aktiviti ijtihad berbanding dengan orang lain. Ada di kalangan para ulama salaf yang menjadi penguasa sekaligus sebagai mujtahid seperti Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq, Sayyidina ^Umar, Sayyidina ^Uthman, Sayyidina ^Ali, Sayyidina al-Hasan ibn ^Ali, Sayyidina ^Umar ibn ^Abdil-^Aziz, Sayyidina Shurayh al-Qadi dan selain mereka.

Para ulama hadis yang menulis dalam ilmu mustalahul-hadith ada menyatakan bahawa ahli fatwa daripada kalangan sahabat hanya kurang dari sepuluh orang iaitu sekitar enam orang sahabat menurut suatu pendapat. Sebahagian ulama lain pula berpendapat bahawa ada sekitar dua ratus orang sahabat yang mencapai darjat mujtahid, dan ini pendapat yang lebih sahih. Jika para sahabat sahaja sedemikian keadaannya, maka bagaimana mungkin setiap orang muslim yang mampu membaca al-Quran dan mentelaah beberapa kitab berani berkata: “Mereka (para mujtahid) adalah manusia dan kita juga manusia, maka tidak sepatutnya kita kita bertaqlid kepada mereka”. Sedangkan telah terbukti dengan data yang sahih dan munasabah bahawa kebanyakan ulama salaf bukan bertaraf mujtahid, bahkan mereka mengikut iaitu bertaqlid kepada ulama yang bertaraf mujtahid yang ada di kalangan mereka.

Diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari bahawa seorang pekerja sewaan telah melakukan zina dengan isteri majikannya. Lalu ayah pekerja tersebut bertanya tentang hukuman yang patut dikenakan ke atas anaknya, maka ada yang mengatakan: “Hukuman ke atas anakmu ialah membayar seratus ekor kambing dan memerdekakan seorang hamba perempuan”. Kemudian si ayah itu bertanya lagi kepada ahli ilmu, maka mereka jawab: “Hukuman ke atas anakmu ialah sebatan seratus kali dan diasingkan selama satu tahun”. Kemudian akhirnya, si ayah itu datang kepada RasuluLlah sollaLlahu ^alay-hi wa sallam bersama suami perempuan tadi dan berkata: “Wahai RasuluLlah, sesungguhnya anakku ini bekerja dengan orang ini, lalu dia berzina dengan isterinya. Ada orang berkata kepadaku bahawa hukuman ke atas anakku ialah rejam, lalu aku mahu menebus hukuman rejam itu dengan bayaran seratus ekor kambing dan memerdekan seorang hamba perempuan. Kemudian aku bertanya pula kepada para ahli ilmu dan mereka menjawab bahawa hukuman ke atas anakku ialah sebatan sebanyak seratus kali dan diasingkan selama setahun”. RasuluLlah sollaLlahu ^alay-hi wa sallam bersabda; mafhumnya: “Aku pasti memberi keputusan hukum ke atas kamu berdua dengan KitabuLlah. Oleh itu, hamba perempuan dan kambing-kambing itu dikembalikan kepadamu, dan hukuman ke atas anakmu ialah sebatan seratus kali dan diasingkan (dari kampungnya sejauh jarak qasar solat) selama setahun”.

Lelaki tersebut sekalipun seorang sahabat tapi dia bertanya kepada para sahabat yang lain dan jawapan mereka salah lalu dia bertanya lagi kepada para ulama di kalangan mereka hingga kemudiannya RasuluLlah sollaLlahu ^alay-hi wa sallam memberi fatwa yang sesuai dengan jawapan yang telah dikemukakan oleh para ulama di kalangan mereka itu. Dalam kejadian ini RasuluLlah sollaLlahu ^alay-hi wa sallam memberikan pengajaran kepada kita bahawa sebahagian sahabat baginda sekalipun mereka telah mendengar hadis daripada baginda secara langsung, namun tidak semua mereka memahaminya. Dengan kata lain, tidak semua para sahabat mempunyai kemampuan dan keahlian untuk mengambil hukum daripada hadis Nabi sollaLlahu ^alay-hi wa sallam. Mereka ini hanya berperanan sebagai orang yang meriwayatkan hadis kepada orang lain sekalipun mereka benar-benar memahami bahasa Arab yang fasih. Justeru, sangatlah aneh orang-orang bodoh berani berkata: “Abu Hanifah, Malik, al-Shafi^I dan Ahmad ibn Hanbal adalah manusia dan kita juga manusia”.

Senada dengan hadis di atas ialah satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Dawud tentang seorang lelaki yang luka di kepalanya. Pada suatu malam yang dingin dia berjunub. Selepas dia bertanya tentang hukum mandi junub kepada orang-orang yang bersamanya, mereka menjawab: “Engkau mandilah!”. Kemudian dia mandi dan meninggal dunia kerana kedinginan. Ketika RasuluLlah sollaLlahu ^alay-hi wa sallam dikhabarkan tentang hal ini, baginda bersabda; mafhumnya: “Mereka telah membunuhnya. Semoga Allah membalas perbuatan mereka. Tidakkah sepatutnya mereka bertanya jika memang mereka tidak tahu? Kerana ubat kebodohan ialah bertanya”. Jadi penawar kejahilan ialah bertanya iaitu bertanya kepada ahli ilmu. Lalu RasuluLlah sollaLlahu ^alay-hi wa sallam bersabda; mafhumnya: “Sesungguhnya sudah cukup bagi orang itu bertayammum dan membalut lukanya dengan kain lalu menyapu kain tersebut dan membasuh (mandi) baki tubuhnya (yang tidak luka)”. Dalam kes ini kita dapat mengetahui bahawa sekiranya ijtihad diperbolehkan bagi setiap orang Islam untuk melakukannya, sudah tentu RasuluLlah sollaLlahu ^alay-hi wa sallam tidak mencela mereka yang bukan ahli fatwa untuk berfatwa kepada orang yang berjunub tersebut.

Kemudian, antara tugas khusus seorang mujtahid ialah melakukan qiyas iaitu memutuskan hukum sesuatu yang tidak ada nasnya dengan membandingkannya dengan sesuatu yang mempunyai nas kerana ada suatu persamaan dan keserupaan di antara kedua-duanya.

Oleh itu, berhati-hatilah dan berwaspadalah terhadap mereka yang menganjurkan para pengikut mereka agar berijtihad, sedangkan mereka sendiri dan para pengikut mereka sangat jauh dari martabat ijtihad. Mereka dan para pengikut mereka adalah para pengacau dan perosak agama. Termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang yang dalam majlis-majlis mereka biasanya mengedarkan lembaran-lembaran tafsir suatu ayat atau hadis, padahal mereka tidak pernah mempelajari ilmu agama secara langsung dengan para ulama. Golongan yang seperti ini adalah golongan yang menyalahi para ulama Usulul-Fiqhi. Ini kerana para ulama usul berkata: “Qiyas adalah pekerjaan seorang mujtahid”. Mereka juga menyalahi para ulama ahli hadis. WaLlahu a^lam.

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...