Khamis, 21 Julai 2011

ORANG PENYAYANG DIRAHMATI ALLAH YANG MAHA PEMURAH

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد الأمين

وعلى ءاله وصحبه أنصار الدين ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له ولا شبيه ولا نظير ولا مثيل له

وأشهد أن محمدًا عبده ورسوله وحبيبه وخليله

أما بعد

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرُو بْنِ الـــْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللهِ ص قال: الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ تَبَارَكَ وتَعَالَى, ارْحَمُوا مَنْ فِى الأَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِى السَّمَاءِ

Mafhumnya: "Daripada ^Abdu`Llah ibn ^Amru ibn al-^As bahawa Rasulu`Llah salla`Llahu ^alayhi wa sallam bersabda: "Orang-orang yang bersifat penyayang akan disayangi oleh (Allah yang bersifat) al-Rahman (Yang Maha Pemurah) tabaraka wa ta^ala. Sayangilah sesiapa yang ada di bumi semoga kamu disayangi oleh sesiapa yang berada di langit"

[Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, al-Humaydi, Abu ^Ali al-Za^farani, Abu Dawud, al-Tirmidhi (dia menghukumkan hadis ini hasan sahih), Ahmad dan Abu Bakr ibn Abu Shaybah][1]

Huraian Makna Lafaz Hadis:

Lafaz مَنْ فِى السَّمَاءِ (sesiapa di langit) dalam hadis di atas tidak membawa maksud bahawa Allah berada di langit seperti pegangan golongan Mujassimah dan Mushabbihah[2]. Ini kerana pegangan tersebut menyeleweng dari akidah Ahli`s-Sunnah wa`l-Jama^ah. Golongan Mushabbihah mentafsir makna lafaz مَنْ فِى السَّمَاءِ (sesiapa di langit) secara zahir tanpa sebarang dalil al-Quran, hadis yang thabit dan akal yang waras! Sebenarnya lafaz tersebut hendaklah ditafsirkan dengan suatu riwayat hadis lain yang menjelaskan maknanya yang sebenar seperti riwayat hadis yang dibawa oleh al-Hafiz ^Abd al-Rahim al-^Iraqi dalam kitabnya al-Amali[3], iaitu lafaznya begini:

الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحِيمُ, ارْحَمُوا أَهْلَ الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ أَهْلُ السَّمَاءِ

Mafhumnya: "Orang-orang yang bersifat penyayang akan disayangi oleh (Allah yang bersifat) al-Rahim (Yang Maha Penyayang). Sayangilah warga bumi nescaya kamu disayangi oleh warga langit"[4]


Al-Hafiz al-^Iraqi berkata[5]: "..dan riwayat ini iaitu(أَهْلُ السَّمَاءِ) = (warga langit) diambil sebagai dalil yang menunjukkan bahawa maksud firman Allah ءأمنتم من فى السماء = (Adakah kamu merasa aman dengan sesiapa yang di langit) ialah para malaikat".:[6]


Al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Habashi berkata[7]: "Maka riwayat bagi hadith ini menerangkan maksud firman Allah ءأمنتم من فى السماء iaitu perkataan من (sesiapa) dalam ayat ini mengenai para malaikat kerana para malaikat boleh melingkupkan bumi ke atas orang-orang musyrik. Jika para malaikat diperintahkan nescaya mereka melakukan dan boleh melakukan perkara yang dinyatakan dalam ayat berikutnya iaitu melepaskan angin yang kuat dengan perintah Allah ta^ala".


Al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Habashi berkata lagi[8]: "..dan tidak boleh dikatakan tentang Allah itu warga langit. Oleh itu, maka riwayat (مَنْ فِى السَّمَاءِ) ditanggung dengan maksud warga langit; iaitu para malaikat…".


Al-Hafiz al-Habashi berkata lagi: "Kemudian, jika Allah mendiami langit sebagaimana yang dianggap oleh sesetengah orang nescaya Allah bersaing dengan para malaikat. Ini mustahil (mesti tidak diterima akal yang waras) kerana sesungguhnya telah thabit satu hadis bahawa Rasulu`Llah salla`Llahu ^alayhi wa sallam bersabda:

مَا فِى السَّمَوَاتِ مَوْضِعُ أَرْبـَعِ أَصَابِــعَ إِلا وَفِيهِ مَلَكٌ قَائِمٌ أَوْ رَاكِــعٌ أَوْ سَاجِدٌ

Mafhumnya: "Tidak ada suatu tempat sekadar empat jari pun di langit melainkan di situ ada satu malaikat yang sentiasa berdiri tegak atau sentiasa rukuk atau sentiasa sujud"[9].


Selanjutnya, al-Hafiz al-Habashi menjelaskan makna lafaz ارْحَمُوا مَنْ فِى الأَرْضِ = Sayangilah sesiapa di bumi, bahawa cara memberi kasih sayang ialah dengan memberi bimbingan kepada kebaikan dengan pengajaran perkara agama yang daruri yang merupakan pembebasan dari api neraka, juga dengan memberi makan kepada mereka yang kelaparan, memberi pakaian dan seumpamanya. Barangsiapa yang berbuat demikian maka dia akan disayangi oleh para malaikat yang menghuni langit; iaitu para malaikat diperintahkan oleh Allah supaya memohon keampunan untuk orang-orang yang beriman, menurunkan hujan buat mereka, meniupkan angin yang baik, menolong mereka dengan kebaikan dan keberkatan dan menjaga mereka berdasarkan apa yang diperintahkan Allah kepada mereka[10].



Pengajaran Hadis:


1. Hadis ini menunjukkan bahawa sifat belas kasihan sepatutnya dimiliki oleh orang Islam.

2. Pemberian kasih sayang yang paling utama ialah dengan pengajaran ilmu agama.

3. Allah wujudnya azali sebelum sesuatu selain-Nya wujud, sebelum kewujudan masa dan tempat, sebelum kewujudan cahaya dan gelap. Jika Allah wujud azali tanpa bertempat dan berwaktu maka sekarang dan selama-lamanya pun Allah wujud tanpa bertempat dan berwaktu


. Wa`Llahu a^lam.




[1] Hadis ini dinaqalkan dari kitab Subul al-Sa^adah bi Asanid al-Shaykh al-Muhaqqiq ^Abdu`Llah ibn al-Marhum ^Abd al-Rahman al-Kalantani oleh Mohd Zaidi bin Abdullah al-Shah^alami (Syatariyah Niagajaya Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, cet. 1, 2002, hlm. 16). Untuk tujuan amalan dan mengambil berkat maka sanad-sanad hadis yang terkandung dalam kitab tersebut telah diijazahkan kepada saya dengan ijazah oleh Tuan Guru Hj. Abdullah bin al-Marhum Tuan Guru Hj. Abd al-Rahman al-Kalantani di rumahnya pada hari Jumaat 14 Dhul-Hijjah 1426 H (secara hisab) sebelum solat fardu Jumaat. Saya juga menerima hadith ini secara musalsal daripada Shaykhi al-Shaykh Husayn ibn ^Abdil-Qadir al-Ruhinyi di rumahnya di Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan pada malam Sabtu 2 Muharram 1431 H (secara hisab) selepas solat Isyak.

[2] Sultanu`l-^Ulama' al-Imam ^Izz al-Din Abu Muhammad ^Abd al-^Aziz ibn ^Abd al-Salam al-Sulami (w. 660 H) berkata dalam kitabnya al-Milhah fi I^tiqad Ahli`l-Haqq: "..Dan golongan Hashwiyyah Mushabbihah yang menyamakan Allah dengan makhluk-Nya ada dua jenis: Jenis pertama tidak menjauhi dari menzahirkan pegangan al-Hashw… Jenis kedua berselindung dengan mazhab Salaf…". (lihat koleksi risalah beliau dalam Rasa'il fi al-Tawhid, Dar al-Fikr al-Mu^asir, Beirut/ Dar al-Fikr, Damsyik, 1420 H/ 1999 R, hlm. 16). Sekarang, pergerakan golongan Mushabbihah ini sudah pun meluas di seluruh dunia dengan pelbagai slogan yang baik tetapi dengan maksud yang batil. Antaranya slogan "Akidah Salaf", "Manhaj Salaf", "Salafiyyah", "kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah", "Ijtihad", "Menghapuskan Bid^ah", "Darul Sunnah" dan "Ahlis-Sunnah wa`l-Jama^ah". Namun, di sebalik slogan itu mereka membawa akidah sesat seperti pegangan bahawa Allah berada atau duduk di atas langit, atau di atas Arasy. Ini bercanggah dengan akidah Ahli`s-Sunnah wa`l-Jama^ah sama ada Salaf dan Khalaf yang berpegang bahawa Allah wujud tanpa bertempat!

[3] Al-^Iraqi, al-Hafiz ^Abd al-Rahim, al-Amali, al-Majlis al-Sadis wa al-Thamanin, al-Zahiriyyah, Damsyik, manuskrip, hlm. 77 sebagaimana yang dinaqalkan oleh al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari al-Habashi dalam kitab-kitabnya; al-Sirat al-Mustaqim (Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 11, 1423 H/ 2002 R, hlm. 43 - 44), al-Sharh al-Qawim (Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 5, 1425 H/ 2004 R, hlm. 128) dan Sarih al-Bayan (Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 1, 1425 H/ 2004 R, hlm. 71).

[4] Diriwayatkan dengan isnad kepada ^Abdu`Llah ibn ^Amru ibn al-^As daripada Nabi salla`Llahu ^alayhi wa sallam. Al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari al-Habashi berkata: "Riwayat أَهْلُ السَّمَاء isnadnya hasan " (lihat dalam kitabnya al-Sharh al-Qawim, Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 5, 1425 H/ 2004 R)

[5] Al-^Iraqi, al-Hafiz ^Abd al-Rahim, al-Amali, al-Majlis al-Sadis wa al-Thamanin, al-Zahiriyyah, Damsyik, manuskrip, hlm. 77 sebagaimana yang dinaqalkan oleh al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari al-Habashi dalam kitab-kitabnya; al-Sirat al-Mustaqim (Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 11, 1423 H/ 2002 R, hlm. 43 - 44), al-Sharh al-Qawim (Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 5, 1425 H/ 2004 R, hlm. 128) dan Sarih al-Bayan (Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 1, 1425 H/ 2004 R, hlm. 71).

[6] Surah al-Mulk, ayat 16.

[7] Al-Habashi, al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari, Sarih al-Bayan Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 1, 1425 H/ 2004 R, hlm. 71.

[8] Al-Habashi, al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari, al-Sharh al-Qawim, Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 5, 1425 H/ 2004 R, hlm. 128 dan Sarih al-Bayan Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 1, 1425 H/ 2004 R, hlm. 71.

[9] Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, dinaqalkan dari kitab al-Sharh al-Qawim, Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 5, 1425 H/ 2004 R, hlm. 129.

[10] Al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari al-Habashi, al-Sharh al-Qawim, Dar al-Mashari^, Beirut, cet. 5, 1425 H/ 2004 R, hlm. 128.

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...