Selasa, 30 November 2010

SUATU SANGGAHAN KE ATAS HAFIZ FIRDAUS ABDULLAH
















[1]
AL-IMAM AL-SHAFI^I TIDAK MENEMUI HADITH MADMADAH DAN ISTINSHAQ?






Hafiz Firdaus Abdullah menulis dalam bukunya Pedoman-pedoman Bermazhab Dalam Islam (bab 12: Adakah Seruan: Kembali al-Qur’an dan Hadith” Bererti Meninggalkan Ajaran Mazhab-mazhab Islam?)[1]:
“Contoh kedua ialah berkenaan tatacara mengambil wudhu, dimana Mazhab Shafie berpendapat adalah sunat hukumnya untuk berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hiudung di ketika berwudhu. Hukum sunat ini juga adalah merupakan pendapat Mazhab Maliki dan Hanafi. Menghirup air ke dalam hidung tidak mereka wajibkan kerana ayat yang menjelaskan hukum-hukum berwudhu tidak menyebutkannya.” Intaha.

Setelah Hafiz Firdaus mendatangkan maksud ayat tersebut iaitu ayat 6, surah al-Ma’idah lalu dia berkata[2]:
“Berkata Imam ash-Shafie berkenaan ayat di atas: "Aku tidak mengetahui bahawa berkumur-kumur air di mulut dan memasukkan air ke hidung atas orang yang berwudhu itu fardhu (wajib-P). Dan aku tidak mengetahui ada perselisihan bahawa orang berwudhu jikalau meninggalkan kedua yang tadi dengan sengaja atau lupa dan mengerjakan solat, bahawa tidak dihitung (dikira sah-P) solatnya".”.

Sejurus petikan itu, dia berkata[3]:
“Daripada penjelasan Imam Shafie di atas, kemungkinan besar dia tidak sempat menemui hadith-hadith yang memerintahkan seseorang itu berkumur-kumur dan menghirup air ke hidung ketika berwudhu. Walaubagaimanapun telah ditemui hadith-hadith Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di mana beliau memerintahkan orang yang berwudhu untuk berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung…” Intaha.

Kemudian dia berkata[4]:
“Walhasil dapatlah kita fahami dan simpulkan bahawa berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung serta menghembuskannya adalah salah satu perbuatan wajib wudhu. Sekalipun Imam Shafie tidak menjumpai hadith-hadith ini terdahulu,”. Intaha.

SANGGAHAN:
(1) Adakah wajar apabila al-Imam al-Shafi^i berkata: “Aku tidak mengetahui…”, lalu dikatakan bahawa beliau kemungkinan besar tidak sempat menemui hadith-hadith berkenaan? Sedangkan pendapat al-Imam al-Shafi^i ini hanya mengandungi bicara tentang masalah istinbat dan hukum, dan tidak ada pun pengakuan beliau atau isyarat bahawa beliau tidak menemui hadith-hadith berkenaan (madmadah) dan menghirup air melalui hidung (istinshaq)!! Amat jelas di sini Hafiz Firdaus salah faham terhadap kata-kata al-Imam al-Mujtahid al-Shafi^i.
(2) Hairan! Jikalah al-Imam al-Shafi^i tidak menemui hadith-hadith berkenaan, maka bagaimana mungkin al-Imam al-Shafi^i boleh mengistinbatkan hukum sunat bagi madmadah dan istinshaq? Bagaimana pula beliau tahu ada perbuatan madmadah dan istinshaq sebelum berwuduk? Adakah Hafiz Firdaus menyangka al-Imam al-Shafi^i menentukan hukum sunat dengan jahil dan melulu?

(3) Bahkan, sebenarnya Hafiz Firdaus terlalu melulu dalam hal ini. Adakah anda tahu wahai Hafiz Firdaus bahawa al-Imam al-Shafi^i telah meriwayatkan hadith-hadith madmadah dan istinshaq dalam kitab beliau Musnad al-Shafi^i; beliau berkata[5]:

أَخْبَرَنَا مَالِكٌ ، عَنْ عَمْرِو بْنِ يَحْيَى الْمَازِنِيِّ ، عَنْ أَبِيهِ ، أَنَّهُ قَالَ لِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ الأَنْصَارِيِّ : هَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تُرِيَنِي كَيْفَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ ؟ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ زَيْدٍ : " نَعَمْ ، فَدَعَا بِوَضُوءٍ ، فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ ، فَغَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ ، وَمَضْمَضَ ، وَاسْتَنْشَقَ ثَلاثًا ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاثًا ، ثُمَّ غَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ ، ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَهُ بِيَدَيْهِ ، فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ ، بَدَأَ بِمُقَدَّمِ رَأْسِهِ ثُمَّ ذَهَبَ بِهِمَا إِلَى قَفَاهُ ، ثُمَّ رَدَّهُمَا إِلَى الْمَوْضِعِ الَّذِي بَدَأَ مِنْهُ ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ "

Al-Imam berkata lagi:

أَخْبَرَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، قَالَ : " تَوَضَّأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِي الإِنَاءِ ، فَاسْتَنْشَقَ وَمَضْمَضَ مَرَّةً وَاحِدَةً ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ ، وَصَبَّ عَلَى وَجْهِهِ مَرَّةً وَاحِدَةً ، وَصَبَّ عَلَى يَدَيْهِ مَرَّةً وَاحِدَةً ، وَمَسَحَ رَأْسَهُ وَأُذُنَيْهِ مَرَّةً وَاحِدَةً "

Al-Imam berkata lagi:

أَخْبَرَنَا يَحْيَى بْنُ سُلَيْمٍ ، حَدَّثَنِي أَبُو هَاشِمٍ إِسْمَاعِيلُ بْنُ كَثِيرٍ ، عَنْ عَاصِمِ ابْنِ لَقِيطِ بْنِ صَبِرَةَ ، عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : كُنْتُ وَافِدَ بَنِي الْمُنْتَفِقِ ، أَوْ فِي وَفْدِ بَنِي الْمُنْتَفِقِ ، إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَأَتَيْنَاهُ فَلَمْ نُصَادِفْهُ وَصَادَفْنَا عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ، فَأَتَتْنَا بِقِنَاعٍ فِيهِ تَمْرٌ ، وَالْقِنَاعُ : الطَّبَقُ ، فَأَكَلْنَا ، وَأَمَرَتْ لَنَا بِحَرِيرَةٍ فَصُنِعَتْ ، ثُمَّ أَكَلْنَا ، فَلَمْ نَلْبَثْ أَنَ جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : " هَلْ أَكَلْتُمْ شَيْئًا ؟ هَلْ أُمِرَ لَكُمْ بِشَيْءٍ ؟ " ، فَقُلْنَا : نَعَمْ ، فَلَمْ نَلْبَثْ أَنْ دَفَعَ الرَّاعِي غَنَمَهُ ، فَإِذَا بِسَخْلَةٍ تَيْعَرُ ، فَقَالَ : " هِيهِ يَا فُلانُ ، مَا وَلَدَتْ ؟ " ، قَالَ : بَهْمَةٌ ، قَالَ : " فَاذْبَحْ لَنَا مَكَانَهَا شَاةً " ، ثُمَّ انْحَرَفَ إِلَيَّ وَقَالَ لِي : " لا تَحْسَبَنَّ ، وَلَمْ يَقُلْ : لا تَحْسِبَنَّ ، أَنَّا مِنْ أَجَلِكَ ذَبَحْنَاهَا ، لَنَا غَنَمٌ مِائَةٌ لا نُرِيدُ أَنْ تَزِيدَ ، فَإِذَا وَلَّدَ الرَّاعِي بَهْمَةً ذَبَحْنَا مَكَانَهَا شَاةً " ، قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّ لِي امْرَأَةً فِي لِسَانِهَا شَيْءٌ ، يَعْنِي : الْبَذَاءَ ، فَقَالَ : " طَلِّقْهَا إِذَنْ " ، قُلْتُ : إِنَّ لِي مِنْهَا وَلَدًا ، وَلَهَا صُحْبَةٌ ، قَالَ : " فَمُرْهَا ، يَقُولُ : عِظْهَا ، فَإِنْ يَكُنْ فِيهَا خَيْرٌ فَسَتُقْبِلُ ، وَلا تَضْرِبَنَّ ظَعِينَتَكَ ضَرْبَكَ أَمَتَكَ " ، قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَخْبِرْنِي عَنِ الْوُضُوءِ ، قَالَ : " أَسْبِغِ الْوُضُوءَ ، وَخَلِّلْ بَيْنَ الأَصَابِعِ ، وَبَالِغْ فِي الاسْتِنْشَاقِ ، إِلا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا " .



[2]
AL-IMAM AL-SHAFI^I TERSILAP MENETAPKAN HUKUM SUNAT BAGI AMALAN MADMADAH DAN ISTINSHAQ?


Hafiz Firdaus berkata[6]:
“Demikianlah dua contoh yang sempat dikemukakan dalam bab ini. Contoh-contoh ini bukanlah bererti kesilapan itu hanya pada Mazhab Shafie, tetapi ianya juga berlaku dalam semua mazhab-mazhab yang empat, pada perkara-perkara yang tertentu dan berlainan. Hanya sahaja dikhususkan kepada perbicaraan Mazhab Shafie kerana kebanyakan rakyat Malaysia cenderong kepada Mazhab Shafie.” Intaha.

SANGGAHAN:
(1) Al-Imam al-Shafi^i tidak berdosa pun malah mendapat satu pahala andainya beliau tersalah dalam menentukan hukum sunat bagi amalan madmadah dan istinshaq kerana beliau seorang yang layak untuk berijtihad dengan berpandukan terus kepada al-Quran dan beberapa riwayat hadith yang berkenaan.

(2)Soalnya, adakah Hafiz Firdaus ini dapat pahala atau dosa kerana menuduh al-Imam al-Shafi^i tidak menemui hadith madmadah dan istinshaq dan silap ijtihad?

[3]
TARJIH HAFIZ FIRDAUS?


Selepas Hafiz Firdaus membentang maksud hadis-hadis berkenaan berkumur-kumur (madmadah) dan menghirup air melalui hidung (istinshaq), lalu dia berkata[7]:
“Daripada empat hadith di atas, jelas kepada kita bahawa berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung serta menghembusnya keluar adalah salah satu daripada kewajipan wudhu. Ianya diperintahkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan perintah beliau adalah juga perintah Allah. Perintah ini tidaklah bertentangan dengan perintah Allah di dalam al-Qur’an, surah al-Ma’idah ayat 6 kerana mulut dan hidung itu sememangnya termasuk dalam bahagian muka manusia. Demikian penjelasan Imam Ahmad bin Hambal.” Intaha.

SANGGAHAN:
(1) Apakah qarinah yang jelas dalam hadith-hadith yang menunjukkan bahawa amalan madmadah dan istinshaq itu wajib?

(2) Memasukkan mulut dan hidung ke dalam definisi atau had muka adalah ijtihad al-Imam Ahmad dan bukannya nas qat^i al-Quran dan hadith yang mutawatir.

(3) Luaran hidung dan mulut memang termasuk had muka dalam empat mazhab. Cuma ikhtilaf dalam madmadah dan istinshaq yang melibatkan batin mulut dan batin hidung.

(4) Persoalan madmadah dan istinshaq itu sunat atau wajib termasuk dalam bab ijtihad dan ikhtilaf para imam mujtahid. Ijtihad seseorang mujtahid tidak membatalkan ijtihad seseorang mujtahid yang lain.

(5) Apakah martabat ilmu Hafiz Firdaus yang melayakkan beliau untuk melakukan tarjih ke atas sesuatu ijtihad seseorang mujtahid?


[4]
SETIAP HADITH SAHIH ITU MAZHAB AL-SHAFI^I?


Kemudian dia berkata[8]:
“Walhasil dapatlah kita fahami dan simpulkan bahawa berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung serta menghembuskannya adalah salah satu perbuatan wajib wudhu. Sekalipun Imam Shafie tidak menjumpai hadith-hadith ini terdahulu, namun ia tetap merupakan mazhab pegangan beliau, dan itulah juga yang merupakan Mazhab Shafie pegangan kita, kerana Imam Shafie sendiri berpesan: Setiap hadith yang sah daripada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah juga merupakan ajaran aku, walaupun engkau tidak pernah mendengarnya daripada aku sebelum ini. Intaha.

SANGGAHAN:
Guru saya Maulana Husayn ibn ^Abdul-Qadir[9] berkata dalam risalah beliau (kertas pembentangan) Adakah anda mujtahid?[10]:

HURAIAN TENTANG PERKATAAN IMAM SYAFIE

اذا صح الحديث فهو مذهبي ertinya: Apabila sahih sesuatu hadith maka ianya mazhabku.

1) Segelintir masyarakat tersalah faham terhadap perkataan imam-imam mujtahidin yang berbunyi: “Apabila sahih sesuatu hadith maka ianya mazhabku” dengan menganggap bahawa apabila menemui sesebuah hadith sahih yang bercanggah dengan pendapat imam, maka ditinggalkan pendapat imam tersebut, lantas beramal dengan hadith tersebut. Maksud sebenar yang dinukilkan dalam kitab syarah Ukud Rasmul Mufti bahawa sekiranya menemui hadith sahih mengenai mana-mana hukum yang tidak diputus oleh imam, maka hadith itu akan dibilang sebagai mazhab imam dan hukum itu terus ditambah dalam feqah imam tersebut. Ini kerana, jika imam itu masih hidup dan menemui hadith sahih sedemikian, tentulah ia akan mengambilnya untuk dijadikan sebagai dalil bagi pendapatnya serta mamasukkan dalam feqahnya.

2) Di dalam kitab Al-majmuk ada menerangkan pengertian sebenar perkataan Imam Syafie r.m.h:
i- Tiadalah bermaksud bahawa seseorang yang melihat hadith sahih lantas ia berkata ini adalah mazhab Syafie dan beramal dengan zahir hadis.
ii- Tidak juga perkataan ini ditujukan kepada mereka ( mujtahid ) yang tidak sampai kepada darjat ijtihad yang mana apabila menemui hadith sahih terus beramal dengannya.
iii- Bahkan makna perkataan ini ditujukan kepada mereka yang sampai darjat ijtihad tetapi hendak beramal dengan hadith sahih yang ditemui ada beberapa syarat:
a) Setelah ia (mujtahid) meneliti sekalian kitab Imam Syafie dan sekalian kitab ulama’ mazhab
Syafie.
b) Kuat pada sangkaannya bahawa Imam Syafie tidak menemui hadith sahih itu.

3) Banyak hadith sahih yang telah sampai kepada Imam Syafie atau yang ia mengetahui tetapi ia tidak beramal dengan zahir hadith itu kerana Imam Syafie mengeluarkan hukum daripada hadis yang terlebih rajih daripadanya. Terkadang hadith itu mansukh (hadis yang dibatalkan hukum) atau ada hadith yang lain yang mentakhsiskan atau Imam Syafie telah menta’wil (mengambil makna yang lain selain daripada makna yang sebenar) hadith itu atau lainnya.

Ada setengah orang menyebut bahawa perkataan ini ditujukan kepada Ashab (anak murid) Imam Syafie iaitu Imam Muzani dan Imam Buwaiti ketika mereka mengemukakan pertanyaan “yang mana satu hendak dipegang antara dua perkataan Imam Syafie iaitu Qaul Qadim (pendapat Imam Syafie semasa di Baghdad) atau Qaul Jadid (pendapat imam Syafie semasa di Mesir). Maka Imam Syafie memberi jawapan dengan berkata اذا صح الحديث فهو مذهبي (maksudnya: pendapat yang manakah menepati dengan hadith sahih, itulah mazhabku). Oleh kerana itu perkataan Imam Syafie tersebut dibahaskan di dalam Muqaddimah Majmuk Imam Nawawi sebelum beliau masuk kepada tajuk فصل كل مسئلة فيها قولان للشافعي رحمه الله قديم وجديد (ertinya: fasal bagi setiap masalah feqah ada padanya dua pendapat di sisi Imam Syafie r.h.m iaitu qaul qadim dan qaul jadid).

Peringatan:
Mazhab Syafie mempunyai ulama-ulama mujtahid tersendiri yang telah menjaga mazhab ini dengan berpandukan kaedah-kaedah Imam Syafie. Jika diandaikan bahawa Imam Syafie tidak menemui sesebuah hadith yang sahih untuk menerangkan sesuatu hukum, maka merekalah yang terlebih mampu dalam penyelidikannya tersebut.
Di sini anda semua perlu tahu lagi satu perkara iaitu fuqaha’ mujtahid mempunyai beberapa peringkat atau lapisan.” Intaha.

Saya berkata: Oleh kerana riwayat hadith tersebut thabit sampai kepada al-Imam al-Shafi^i, maka jelaslah di sini bahawa beliau berpandukan al-Quran dan hadith-hadith berkenaan bagi menetapkan amalan madmadah idan istinshaq itu sunat. Justeru, untuk mengatakan bahawa mewajibkan amalan madmadah dan istinshaq itu juga mazhab al-Shafi^i adalah tidak munasabah sama sekali.



[5]
EDISI BARU LEBIH FOKUS DAN MEMUDAHKAN


Hafiz Firdaus menulis di bahagian pengenalan edisi baru[11]:
Yang baru di dalam “Edisi Baru” ini.

Sepertimana yang disebut di atas, buku ini sebenarnya merupakan edisi baru yang dikemas kini daripada edisi lama yang telah ada di pasaran sejak tahun 2000M. Kemas kini yang dimaksudkan adalah:

1. Dimasukkan teks Arab bagi ayat al-Qur’an dan Hadis. Ayat al-Qur’an resam Uthmani disalin terus (copy & paste) dari edisi cdrom al-Mushaf v1.0 keluaran Harf Information Technologies, Kaherah (www.harf.com).
2. Dijelaskan darjat kekuatan hadis (sahih, hasan, dha‘if) serta sumber periwayatannya bagi hadis-hadis yang dikemukakan. Hadis-hadis daripada kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim adalah sahih dengan sendirinya manakala hadis-hadis daripada kitab yang lain dirujuk darjat kekuatannya kepada penilaian para ahli hadis yang diiktiraf.
3. Beberapa penjelasan yang dirasakan tidak perlu dikeluarkan agar perbincangan bersifat lebih fokus dan memudahkan.
4. Pada waktu yang sama beberapa penambahan dilakukan sama ada dalam bentuk dalil atau penjelasan bertujuan menambah kekuatan hujah.
5. Kaedah penyampaian diperbaiki supaya lebih memudahkan pembacaan, kajian dan pemahaman.

Harapan dan Penghargaan.

Dipanjatkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar buku ini dapat membawa manfaat yang besar kepada para pembaca. Dialu-alukan juga maklum balas yang sewajarnya daripada para pembaca yang budiman terhadap sebarang perbezaan pendapat, kesilapan atau ketidak-tepatan di dalam buku ini.

Pada waktu yang sama diucapkan ribuan terima kasih kepada para pembaca edisi sebelum ini yang telah memberi pelbagai maklumbalas yang membina. Terima kasih juga diucapkan kepada isteri, Maryati Mat Nasir dan rakan-rakan yang telah menyemak dan memberi kata dua kepada edisi baru ini, khasnya Mohd. Fikri Alamghiri, Mohd. Khairul Muhamed dan Mohd. Yaakub Mohd. Yunus. Semoga Allah membalas dengan apa yang lebih baik di dunia dan akhirat, amin.

Sekian, Assalamualaikum waRahmatullah waBarakatuh.
Hafiz Firdaus Abdullah
Ogos - November 2003
ULASAN:
Antara contoh aplikasi kemas kini (iaitu kemas kini no. 3: Beberapa penjelasan yang dirasakan tidak perlu dikeluarkan agar perbincangan bersifat lebih fokus dan memudahkan) dalam edisi baru ialah petikan dari bab 10 Adakah Seruan: “Kembali al-Qur’an dan Hadith” Bererti Meninggalkan Ajaran Mazhab-mazhab Islam?[12]:

“Akan tetapi para mujtahid selepas al-Syafi‘e berpendapat berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung adalah wajib hukumnya. Ini kerana mulut dan hidung termasuk bahagian muka. Lebih dari itu jika dikaji sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di dalam berwudhu’, beliau sentiasa berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidungnya. Perbuatan baginda ini memperincikan keumuman maksud “muka” di dalam ayat ke 6 surah al-Maidah di atas.

al-Syaukani rahimahullah menerangkan:
"Saya berkata, pendapat yang mengatakan ia (berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung) adalah wajib merupakan pendapat yang benar. Ini kerana Allah Subhanahu telah memerintahkan di dalam kitabnya yang agung (al-Qur’an) untuk membasuh muka manakala berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung termasuk bahagian muka. Dan sungguh telah jelas bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam secara berterusan melakukan yang sedemikian di dalam setiap wudhu’nya dan ini diriwayatkan oleh semua perawi yang menjelaskan sifat wudhu’ baginda shallallahu 'alaihi wasallam. Maka ini menerangkan bahawa termasuk bersama perintah al-Qur’an untuk membasuh muka ialah berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung.”.” Intaha.

Kata-kata Hafiz Firdaus di atas diletak selepas petikan pendapat al-Imam al-Shafi^i berkenaan hukum madmadah dan istinshaq.

Selanjutnya, selepas Hafiz Firdaus membentang maksud hadis-hadis berkenaan berkumur-kumur (madmadah) dan menghirup air melalui hidung (istinshaq), lalu dia berkata:

“Oleh itu pendapat yang lebih tepat ialah wajib hukumnya berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung ketika berwudhu’.

Demikian satu contoh meninggalkan ajaran seorang imam mazhab jika ia secara pasti didapati tidak tepat berbanding dengan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sekali lagi diulangi bahawa yang ditinggalkan hanya ajaran berkaitan dengan perkara yang tidak tepat sahaja dan bukan meninggalkan keseluruhan ajaran imam mazhab tersebut.”. Intaha.

Hafiz Firdaus sudah membuang kata-kata tuduhannya ke atas al-Imam al-Shafi^i dalam buku edisi baru!! Inilah maksud pernyataan Hafiz Firdaus: “…Beberapa penjelasan yang dirasakan tidak perlu dikeluarkan agar perbincangan bersifat lebih fokus dan memudahkan.”. Ya, memang tidak perlu dan bahkan salah dan suatu rekaan!!!.


SANGGAHAN DAN SARANAN:

(1) Pendapat al-Imam al-Shafi^i, al-Imam Ahmad dan al-Shawkani adalah suatu ijtihad yang bukan qat^i sifatnya atau diistilahkan sebagai zanni (berat sangkaan sahaja dan bukan pasti). Masing-masing sekadar berbeza pendapat dalam mengistinbat hukum berpandukan al-Quran dan hadith. Oleh itu, tidak ada makna perkataan Hafiz Firdaus: "...jika ia secara PASTI didapati TIDAK TEPAT berbanding dalil-dalil al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih..".

(2) Sepatutnya dalam edisi baru tersebut Hafiz Firdaus membuat pembetulan fakta berkenaan tuduhannya ke atas al-Imam al-Shafi^i.

(3) Seterusnya, Hafiz Firdaus mengisytiharkan kesilapan itu dan memohon maaf kepada awam pembaca agar tuduhan itu tidak berlanjutan dari satu generasi ke satu generasi.

(4) Alasan Hafiz Firdaus: “…agar perbincangan lebih fokus dan memudahkan” sepatut ditukar kepada: “…kerana kesilapan fakta…” atau seumpamanya.

__________________________________________

[1] Pedoman-pedoman Bermazhab Dalam Islam, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2000, cet. 1, hlm. 186.
[2] Ibid, hlm. 186 - 187.
[3] Ibid, hlm. 187.
[4] Ibid. hlm. 189.
[5] Muhammad ^Abid al-Sindi, Tartib Musnad al-Imam al-Shafi^i, Dar al-Fikr, Beirut, 1417 H/ 1997 R, cet. 1, hlm. 25, no. 73, 76 dan 80. PERHATIAN: Susunan nombor-nombor hadith dalam Tartib Musnad al-Imam al-Shafi^i berbeza dengan susunan dalam Musnad al-Shafi^i. Al-Muhaddith al-Shaykh Muhammad ^Abid al-Sindi telah menyusun kitab Tartib Musnad al-Imam al-Shafi^i berdasarkan bab-bab fiqhiyyah.
[6] Ibid, hlm. 190.
[7] Ibid, hlm. 189.
[8] Ibid.
[9] Maulana Husayn sekarang mengajar hadith di Pondok Pasir Tumboh dan Pondok Lubuk Tapah. Beliau juga pernah mengajar hadith di Pondok Sungai Durian.
[10] Adakah anda mujtahid?, hlm. 9 – 11.
[11] Lihat http://hafizfirdaus.com/ebook/PedomanMazhab/pengenalan.php
[12] Lihat http://hafizfirdaus.com/ebook/PedomanMazhab/Chap10.php

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...