Ahad, 29 Januari 2012

MAULIDUR-RASUL: sejarah, hukum dan tujuan sambutannya


Sejarah Sambutan Maulidur-Rasul

Antara bidaah hasanah ialah sambutan Maulidur Rasul lantaran amalan seumpama ini tidak pernah ada pada zaman Nabi dan pada masa selepas baginda. Sambutan ini hanya mula diadakan secara besar-besaran pada awal kurun ketujuh Hijrah dan orang pertama yang melakukannya ialah seorang raja di Irbil (di Iraq) al-Sultan Muzaffarud-Din Abu Sa^id al-Kukibri ibn ^Ali ibn Baktatin ibn Muhammad al-Turkamani (wafat 630 H) dan beliau adalah ipar kepada al-Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang masyhur. Beliau telah mengumpulkan para ulama yang terdiri dari kalangan ahli hadis dan ahli sufi yang benar untuk sambutan Maulidur Rasul. Beliau menyambut Maulid pada setiap tahun dengan sumbangan mata wang dinar dan makanan yang sangat banyak.

Sedari itu hingga kini, biasanya sambutan Maulid ini disambut dengan meriah oleh umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia dengan pengisian ceramah, bacaan qasidah yang mengandungi pujian buat Rasulullah, bacaan Maulid, bacaan al-Quran, berselawat dan bersedekah.


Hukum Sambutan Maulidur-Rasul

Antara dalil sambutan Mawlidur-Rasul:

Firman Allah ta^ala; mafhumnya: “Katakanlah dengan anugerah Allah dan rahmat-Nya maka hendaklah mereka bergembira dengan anugerah dan rahmat itu kerana itu lebih baik daripada perkara yang mereka kumpul” [Surah al-Anbiya’, ayat 58].

Sabda Nabi selepas ditanya tentang puasa hari Isnin; mafhumnya: “Itulah hari yang aku diputerakan padanya dan diturunkan wahyu padanya” [Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan al-Bayhaqi]

Antara ulama muktabar yang menganggap sambutan Maulid ini sebagai bidaah hasanah atau sunnah hasanah ialah:

1) al-Hafiz Ibn Hajar al-^Asqalani iaitu seperti dalam gubahan puisi beliau,
2) al-Hafiz al-Sakhawi iaitu dalam kitab fatwa beliau,
3) al-Hafiz al-Suyuti iaitu dalam kitab beliau Husnu`l-Maqsid fi ^Amali`l-Mawlid,
4) al-Hafiz Ibn Dihyah iaitu dalam kitab Maulid beliau al-Tanwir fi Mawlid al-Bashir al-Nadhir,
5) al-Hafiz al-Shaykh ^AbduLlah al-Harari al-Habashi iaitu dalam kitabnya al-Rawa'ih al-Zakiyyah fi Mawlid Khayri`l-Bariyyah dan ramai lagi.


Tujuan Sambutan Maulidur-Rasul

1) Mengukuhkan hati dan jiwa. Ini berdasarkan firman Allah; mafhumnya: “Dan semua kisah dari rasul-rasul kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya kami teguhkan hatimu” [Surah Hud, ayat 120].

2) Menzahirkan kegembiraan kita terhadap Nabi Muhammad sebagai rahmat untuk sekalian alam kerana Allah taala berfirman; mafhumnya: "Katakanlah (wahai Muhammad) dengan anugerah Allah dan rahmat-Nya, maka hendaklah mereka bergembira dengan anugerah dan rahmat itu kerana ia lebih baik daripada perkara yang mereka himpunkan" [Surah Yunus, ayat 58].


3) Menyuburkan rasa cinta kepada Allah dan Rasulullah. Nabi bersabda ; mafhumnya: “Seseorang di kalangan kamu bukanlah seorang yang beriman sehingga aku menjadi orang lebih dicintai dari dirinya sendiri, anaknya, isterinya dan seluruh manusia” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim].

WaLlahu a^lam

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...