Ahad, 28 Jun 2009

AL-ASHA^IRAH PEMIMPIN ILMU ISLAM DAN PEMBELA ISLAM

Al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari dan para pendokong atau pengikut beliau yang digelar al-Ash^ariyyun atau al-Asha^irah mempunyai jasa besar dalam membersihkan umat Islam dari kekotoran aqidah ahli bidaah seperti aqidah al-Mu^tazilah, al-Jahmiyyah, al-Mujassimah dan al-Mushabbihah. Bahkan, kebanyakan para pendokong, pemimpin ilmu Islam dan pembela Islam adalah dari kalangan al-Asha^irah, sedangkan golongan mempertikaikan mereka ini tidak pun mencapai separas buku lali mereka sejak berzaman sehingga kini dari segi ilmu, warak, taqwa dan jasa.

Antara ulama al-Asha^irah ialah daripada kalangan ulama hadis yang sampai ke tahap al-Hafiz yang menjadi pemimpin dalam ilmu hadis seperti al-Imam al-Hafiz al-Hujjah al-Faqih Shaykhul-Muhaddithin Abu Bakr al-Jurjani al-Isma^ili (penyusun al-Mustakhraj ^alal-Bukhari), al-Imam al-Kabir al-Hafiz al-Faqih al-Usuli Abu Bakr al-Bayhaqi, al-Hafiz Ibn ^Asakir (yang disifatkan sebagai tokoh yang utama daripada kalangan al-muhaddithin di Sham pada zamannya), Amirul-Mu’minin fil-Hadith al-Hafiz Ahmad ibn Hajar al-Asqalani, al-Hafiz Abu Nu^aym al-Asbahani, al-Hafiz al-Daraqutni, al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi, al-Hafiz al-Silafi, al-Hafiz al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Daqiqil-^Id, al-Hafiz Qadil-Qudah Taqiyyud-Din al-Subki, al-Hafiz al-^Ala’i, al-Hafiz Zaynud-Din al-^Iraqi, al-Hafiz Waliyyud-Din al-^Iraqi, al-Hafiz al-Lughawi al-Sayyid Muhammad Murtada al-Zabidi, Muhaddith al-Diyaril-Maghbiyyah al-Hafiz al-Mujtahid al-Sayyid Ahmad ibn Siddiq al-Ghummari dan ramai lagi.

Selain itu, antara ulama al-Asha^irah lain yang amat berjasa kepada umat Islam ialah Mujaddid Kurun Keempat Hijriah al-Imam Abut-Tayyib Sahl ibn Muhammad, al-Shaykh Abu Muhammad al-Juwayni, al-Shaykh Abul-Ma^ali Imamul-Haramayn, al-Imam Abu Mansur ^Abdul-Qahir a l-Baghdadi, al-Ustadh Abul-Qasim al-Qushayri, al-Shaykh Abu Ishaq al-Shirazi, al-Imam Abu Bakr al-Baqillani, Shaykhul-Mutakallimin al-Imam Abu Bakr ibn Furak, al-^Arif biLlah al-Imam al-Sayyid ^Abdul-Qadir al-Jilani, al-^Arif biLlah al-Imam al-Sayyid Ahmad al-Rifa^i, Shaykhul-Islam wa-Sultanul-^Ulama’ al-^Izz ^Abdul-^Aziz ibn ^Abdis-Salam, al-^Arif biLlah, al-Imam al-Ghazali, Abul-Wafa’ Ibn Aqil al-Hanbali, Qadil-Qudah al-Damighi al-Hanafi, Abul-Walid al-Baji al-Maliki, al-Qadi ^Iyad, al-Imam Fakhrud-Din al-Razi, Abu ^Amr ibn al-Hajib al-Maliki, ^Ala’ud-Dun al-Baji, al-Shaykh Zakariyya al-Ansari, al-Shaykh Baha’ud-Din al-Rawwas al-Sufi, al-^Arif biLlah Qutubud-Da^wah wal-Irshad al-Habib al-Sayyid ^Abdullah ibn ^Alawi al-Haddad, Mufti al-Shafi^iyyah bi-Makkah al-Sayyid Ahmad Zayni Dahlan, Musnidil-Hind WaliyyuLlah al-Dihlawi, Mufti Misr al-Shaykh Muhammad ^Illish al-Maliki, Shaykhul-Jami^il-Azhar ^Abdullah al-Sharqawi, al-Shaykh Abul-Hasan al-Qawuqji, al-Shaykh Husayn al-Jisr al-Tarabulusi, al-Shaykh ^Abdul-Basit al-Fakhuri Mufti Bayrut, al-Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari, al-Shaykh Dawud ibn ^Abdullah al-Fatani, al-Shaykh Zaynul-^Abidin al-Fatani Ra’is ^Ulama’il-Hijaz al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi, al-Shaykh al-Adib Wan Ahmad al-Fatani, al-Shaykh Muhammad Mukhtar ibn ^Utarid al-Buquri, Muhaddith al-Diyarish-Shamiyyah al-Akbar al-Shaykh al-Sharif Badrud-din al-Hasani, al-^Allamah al-Habib al-Sayyid ^Alawi ibn Tahir al-Haddad al-Hadrami Mufti Johor, al-Musnid al-Habib Abul-Ashbal Salim ibn Jindan al-Indunisi, al-^Alimul-^Allamah al-Sayyid ^Alawi ibn ^Abbas al-Maliki, al-Muhaddith al-Shaykh Muhammad ^Arabi al-Tabbani, Musnidud-Dunya Muhammad Yasin al-Fadani, al-^Alimul-^Allamah al-Shaykh Tuan Guru al-Haj ^Abdullah Lubuk Tapah al-Kalantani, Muhaddith al-Diyarish-Shamiyyah aw Khalifatish-Shaykh Badrud-Din al-Shaykh ^Abdullah al-Harari dan ramai lagi.

Selain itu, di kalangan al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah ada yang membela Islam dan umat Islam melalui kuasa pemerintahan seperti al-Sultanul-^Adil al-Mujahid Salahud-Din al-Ayyubi, al-Sultan Muzaffarud-Din Kukabri, al-Sultan Qalawun dan al-Sultan Muhammad al-Thani al-Fatih dan lain-lain lagi.

Sebenarnya, saya tidak bermaksud dengan senarai di atas untuk menjumlahkan kesemua al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah! Siapakah yang mampu menghitung semua bintang di langit atau siapakah yang tahu bilangan pasir di gurun melainkan Allah?!. Demikianlah betapa ramainya al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah… al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah adalah Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah golongan yang selamat!! Merekalah yang amat berjasa menyebarkan Islam ke seluruh dunia, di seluruh pelusuk benua dan kepulauan, di timur dan barat, di utara dan selatan sehingga majoriti umat Islam terdiri daripada al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah!

Namun hairan, di sana ada suara-suara janggal yang melempar pelbagai tuduhan dan kejian terhadap al-Asha^irah dan metode pengajian aqidah tauhid mereka. Suara-suara liar itu menuduh bahawa al-Asha^irah bukanlah Ahlus-Sunnah, bahkan ada yang mengkafirkan mereka atau menggolongkan mereka ke dalam puak al-Mu^attilah semata-mata menyerahkan makna nusus mutashabihat kepada Allah dan Rasulullah. Ada yang mendakwa bahawa metode pengajian tauhid secara ilmu kalam yang didokong oleh al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah (sifat 20 atau sifat 13) itu memundurkan umat Islam, tidak menggerunkan musuh Islam, dan menyusahkan, berbelit-belit, mengelirukan atau memeningkan kepala. Suara-suara pelik ini sebenarnya dimomokkan oleh golongan al-Wahhabiyyah yang menggelarkan diri mereka sebagai Salafiyyah. Sedangkan, tokoh rujukan utama mereka sendiri Ibn Taymiyah al-Harrani telah mengiktiraf jasa al-Asha^irah dalam ilmu usulud-din dengan mensifatkan mereka sebagai para pembantu usulud-din (sila lihat Fatawa Ibn Taymiyah, juz. 4).

Bagaima mungkin majoriti umat Islam ini boleh dihukumkan sebagai kafir al-Mu^attilah (golongan yang menafikan sifat-sifat Allah atau menafikan kewujudan Allah) atau golongan sesat? Sedangkan Rasulullah sallaLlahu ^alayhi wa-sallam telah menyatakan bahawa kebanyakan umat baginda tidak tidak sesat dan inilah antara keistimewaan umat ini sebagaimana sabda baginda:

إن الله لا يجمع أمتي على ضلالة
Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan umatku di atas suatu kesesatan” [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dalam Sunan al-Tirmidhi, Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak, Ahmad dalam Musnad Ahmad].

Menurut riwayat Ibn Majah ada suatu tambahan:

فإذا رأيتم اختلافًا فعليكم بالسواد الأعظم
Mafhumnya: “Maka jika kamu melihat suatu perselisihan, maka kamu hendaklah bersama kumpulan yang paling besar”.

Hadis di atas disokong atau dikuatkan oleh hadis mawquf ke atas Abu Mas^ud al-Badri, iaitu:

وعليكم بالجماعة فإن الله لا يجمع هذه الأمة على ضلالة
Mafhumnya: “Dan kamu hendaklah bersama kumpulan kerana sesungguhnya Allah tidak mengumpulkan umat ini di atas suatu kesesatan” [Diriwayatkan oleh Ibn Abi ^Asim dalam al-Sunnah. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Muwafaqatul-Khabar al-Khabar berkata: “Isnadnya hasan”].

Hadis di atas juga disokong oleh hadis mawquf ke atas ^Abdullah ibn Mas^ud dan hadis ini thabit daripada beliau:

ما رءاه المسلمون حسنًا فهو عند الله حسن وما رءاه المسلمون قبيحًا فهو عند الله قبيح
Mafhumnya: “Suatu yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai baik maka perkara itu baik di sisi Allah, dan suatu yang dipandang oleh orang-orang Islam sebagai buruk maka perkara itu buruk di sisi Allah” [Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad Ahmad dan lihat Kashful-Astar ^an Zawa’idil-Bazzar oleh al-Hafiz al-Haythami. Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya Muwafaqatul-Khabar al-Khabar berkata: “(Hadis) ini mawquf hasan”].

Sesungguhnya pernyataan bahawa kebanyakan atau majoriti umat ini terpelihara dari kesesatan tidak menafikan hadis sahih ini, iaitu sabda Nabi sallaLlahu ^alayhi wa-sallam:

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق حتى تقوم الساعة
Mafhumnya: Satu golongan daripada umatku sentiasa zahir di atas kebenaran sehingga Kiamat berlaku [Diriwayatkan oleh al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak].

Sabdaan Nabi sallaLlahu ^alayhi wa-sallam ini bermaksud bahawa di kalangan umat baginda ada segolongan yang berpegang teguh dengan agama Islam secara sempurna, dan ini tanpa ragu bahawa golongan yang berpegang teguh dengan agama secara sempurna adalah kaum minoriti. Meskipun begitu, hadis tersebut tidaklah bermaksud bahawa kebanyakan orang Islam dalam keadaan sesat dari sudut aqidah sehingga keluar dari agama Islam sebagaimana yang didakwa secara terang-terangan oleh puak al-Wahhabiyyah dan golongan yang seumpama mereka.
Selain itu, sabdaan Nabi sallaLahu ^alayhi wa-sallam itu juga mengisyaratkan kepada kita bahawa ilmu serta perjuangan Islam akan sentiasa berkesinambungan dari satu generasi ke satu generasi sedari zaman penurunan wahyu ketika hayat Nabi Muhammad sallaLlahu alayhi wa-sallam hingga hari terakhir yang dikehendaki Allah untuk umat Islam. Fitnah al-Wahhabiyyah ke atas Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah boleh dianggap sebagai satu usaha dakyah mereka untuk memutuskan kesinambungan kebenaran Islam sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadis tersebut. WaLlahu a^lam

Khamis, 25 Jun 2009

SIAPAKAH AL-ASHA^IRAH?

Allah taala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءاَمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللهِ وَلا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, Maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah Lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui”. [Surah al-Ma’idah, ayat 54].

Al-Hafiz Ibn ^Asakir meriwayatkan dalam kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari dan al-Hakim meriwayatkan dalam kitabnya al-Mustadrak sebab turun ayat di atas:

لما نزلت: {فسوف يأتي الله بقوم يحبهم ويحبونه} قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (هم قومك يا أبا موسى) وأومأ رسول الله صلى الله عليه وسلم بيده إلى أبي موسى الأشعري. اهـ
Maksudnya: “Tatkala ayat {فسوف يأتي الله بقوم يحبهم ويحبونه} turun, lalu Rasulullah sallaLlahhu ^alayhi wa-sallam bersabda: “Mereka kaummu wahai Abu Musa”, dan Rasulullah sallaLlahhu ^alayhi wa-sallam menunjukkan dengan tangan baginda kepada Abu Musa al-Asha^ari”. Intaha.

Al-Hakim menghukumkan hadis di atas sebagai hadis sahih ^ala shart Muslim. Hadis di atas juga diriwayatkan oleh al-Tabari dalam kitab tafsirnya, Ibn Abi Hatim, Ibn Sa^d dalam kitabnya al-Tabaqat al-Kubra dan al-Tabrani dalam kitab al-Mu^jamul-Kabir. Al-Hafiz al-Haythami berkata dalam kitabnya Mujma^uz-Zawa’id bahawa rijal hadis tersebut rijalus-sahih.

Al-Imam al-Qurtubi berkata dalam kitab tafsirnya: “Al-Qushayri berkata: “Maka para pengikut Abul-Hasan al-Ash^ari adalah sebahagian kaumnya kerana setiap tempat yang disandarkan di dalamnya oleh suatu kaum kepada seseorang nabi maka maksudnya ialah para pengikut”. Intaha.

Berkaitan dengan hadis yang semakna dengan hadis di atas iaitu dengan lafaz (هم قوم هذا) yang mafhumnya: “Mereka adalah kaum lelaki ini” sambil Nabi sallaLlahu ^alayhi wa-sallam mengisyarat tangannya kepada Abu Musa al-Ash^ari, al-Hafiz Ibn ^Asakir berkata dalam kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari: “Dan maklum dengan dalil-dalil akal dan bukti-bukti usul bahawa seorang pun daripada anak-anak Abu Musa tidak ada yang dapat menyanggah golongan sesat dan tidak ada yang dapat menolak kekeliruan golongan bid^ah dan sesat dengan hujah-hujah yang ampuh daripada kitab al-Quran dan al-Sunnah dan dengan dalil-dalil yang mantap daripada ijmak dan qiyas melainkan al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari radiyaLlahu ^anhu. Maka beliau telah berjihad melawan musuh-musuh kebenaran, menghentam mereka, memecahkan kata-kata mereka dan menghancurkan kesatuan mereka dengan hujah-hujah akal yang ampuh dan dalil-dalil sam^iyyah (al-Quran dan al-Sunnah) yang mantap”. Intaha.

Al-Hafiz Ibn ^Asakir menyebut di dalam kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari bahawa al-Hafiz al-Bayhaqi berkata: “Dan itu oleh kerana ada kelebihan yang besar dan kedudukan yang mulia al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari radiyaLlahu ^unhu di dalamnya, maka beliau daripada kalangan Abu Musa dan anak-anaknya yang dikurniakan ilmu dan dianugerahkan kefahaman secara khusus daripada kalangan mereka dengan membela sunnah dan menghentam bidaah dengan menzahirkan hujah dan menyanggah kekeliruan”. Intaha.

Al-Imam al-Bukhari menyebut satu judul bab dalam kitabnya Sahih al-Bukhari:

باب قدوم الأشعريين وأهل اليمن وقال أبو موسى عن النبي صلى الله عليه وسلم هم منّي وأنا منهم
Maksudnya: “Bab Kedatangan al-Ash^ariyyun Dan Orang Yaman Dan Abu Musa Berkata Daripada Nabi SallaLlahu ^Alayhi Wa-Sallam: “Mereka Daripadaku Dan Aku Daripada Mereka””.

Tatkala ayat di atas diturunkan lalu sebaik sahaja selepas itu beberapa puak daripada kalangan al-Ash^ariyyun dan beberapa qabilah Yaman muncul. Sebenarnya al-Imam al-Bukhari telahpun meriwayatkan dalam kitabnya Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurayrah radiyaLlahu ^anhu daripada Nabi sallaLlahu ^alayhi wa-sallam bersabda:

أتاكم أهل اليمن هم أرقّ أفئدةً وألين قلوبًا الإيمان يمان والحكمة يمانية
Mafhumnya: “Orang Yaman telah datang kepada kamu, mereka amat halus jiwa dan sangat lembut hatinya. Iman adalah Yaman dan hikmah adalah Yamaniyyah”.

Al-Imam al-Bukhari telah meriwayatkan dalam kitabnya Sahih al-Bukhari daripada ^Imran ibn al-Hasin bahawa Nabi telah didatangi oleh segolongan manusia daripada kalangan Bani Tamim, lalu baginda bersabda: (اقبلوا البشرى يا بني تميم) mafhumnya: “Terimalah berita gembira wahai bani Tamim!”. Kemudian, mereka berkata: “Engkau telah memberi berita gembira kepada kami, maka berikanlah kepada kami (habuan dunia) dua kali", lalu wajah baginda berubah - kerana dukacita ke atas mereka bagaimana mereka mengutamakan dunia -. Kemudian, baginda didatangi segolongan manusia daripada kalangan orang Yaman, lalu baginda bersabda: (يا أهل اليمن اقبلوا البشرى إذ لم يقبلها بنو تميم) mafhumnya: “Wahai orang Yaman! Terimalah berita gembIra kerana Bani Tamim belum menerimanya”. Kemudian, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah terima wahai RasulaLlah, kami datang kepadamu agar kami dapat mendalami agama dan supaya kami bertanya kepadamu tentang perkara yang pertama yang wujud", lalu baginda bersabda: (كان الله ولم يكن شيء غيره...) mafhumnya: “Allah ada (azali) dan sesuatu selain-Nya belum ada…”. Maksud hadis ini ialah Allah ada azali, dan suatu tempat pun tidak ada, suatu masa pun tidak ada, suatu arah pun tidak ada, suatu arasy pun tidak ada, suatu langit pun tidak ada, suatu benda pun tidak ada, gerakan pun tidak ada, suatu diam pun tidak ada, suatu gelap pun tidak ada, suatu cahaya pun tidak ada, suatu makhluk pun tidak ada, kemudian Allah mencipta tempat, masa, arah, arasy dan sekalian makhluk. Selepas penciptaan makhluk Allah sentiasa sebagaimana azali, iaitu Dia ada tanpa bagaimana, tanpa suatu tempat dan tanpa suatu arah.

Aqidah inilah yang dipelajari dan diajar oleh ratusan juta orang daripada kalangan orang Islam sama ada salaf dan khalaf di timur dan di barat, Hal ini disaksikan oleh realiti yang dapat dilihat dan disaksikan oleh pancaindera. Sudah cukup bagi menerang hakikat ini ialah keadaan para sahabat, tabi^in, para atba^ut-tabi^in (as-salafus-salih), sesiapa sahaja yang mengikut mereka dengan ihsan di atas aqidah ini. Antara yang mengikut mereka dengan ihsan ialah para ulama al-Ash^ariyyun atau disebut al-Asha^irah yang terdiri daripada kalangan ulama ahli hadis, ulama ahli kalam, ulama ahli tafsir, ulama ahli sufi, ulama ahli bahasa, ulama ahli sejarah, ulama ahli fiqh, ulama ahli tajdid, dan juga daripada kalangan pemerintah atau sultan. Mereka amat berjasa dalam menyebarkan Islam ke seluruh dunia termasuk rantau Nusantara ini. Bahkan, ilmu-ilmu Islam yang sampai kepada kita pada hari ini kebanyakannya adalah hasil jasa dan budi mereka dari kalangan para ulama al-Asha^irah. Oleh itu, kebanyakan ilmu Islam pada hari ini adalah melalui sanad ulama al-Asha^irah. Barangsiapa yang cuba menyisihkan ulama al-Asha^irah dari al-Firqatun-Najiyah (golongan selamat) Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah, maka dia telah mencampakkan susur galur ilmu Islam. Hal ini akan menyebabkan generasi yang mendatang akan meragui dan mempertikaikan kesahihan ilmu Islam termasuk al-Quran dan al-Sunnah… Seterusnya generasi yang terkemudian akan melaknat generasi yang terdahulu.

Al-Hafiz Ibn ^Asakir telah meriwayatkan dalam kitab Tabyin Kadhibil-Muftari daripada Jabir, dia berkata: RasuluLlah sallaLlhu ^alayhi wa-sallam bersabda:

إذا لَعَنَ آخِرُ هذه الأُمَّةِ أَوَّلَهَا فَمَن كَانَ عِندَهُ عِلْمٌ فَلْيُظْهِرْهُ فَإِنَّ كَاتِمَ الْعِلْمِ يَوْمَئِذٍ كَكَاتِمِ مَا أُنزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Mafhumnya: “Apabila orang yang terkemudian daripada kalangan umat ini melaknat orang yang awal mereka, maka sesiapa yang ada ilmu hendaklah menzahirkan (iaitu membuktikan penyelewengan pelaknat dan kebenaran orang dilaknat) kerana sesungguhnya orang yang menyembunyikan ilmu ketika itu seperti orang menyembunyikan wahyu yang telah diturunkan ke atas Nabi Muhammad”. [Lafaz hadis di atas menurut riwayat al-Hafiz Ibn ^Asakir daripada al-Sulami].

Di atas dasar beramal dengan hadis di atas, maka saya membina blog ini… WaLlahu a^lam.

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...