Sabtu, 16 Mei 2009

KOMENTAR PARA ULAMA TENTANG AQIDAH ASHA^IRAH; AQIDAH AHLUS-SUNNAH WAL-JAMA^AH

Al-Imam Tajud-Din al-Subki dalam kitabnya Tabaqatush-Shafi^iyyatil-Kubra berkata: “Ketahuilah bahawa Abul-Hasan al-Ash^ari tidak membawa ajaran baru atau mazhab baru, beliau hanya menegaskan kembali mazhab salaf, menghidupkan ajaran-ajaran sahabat Rasulullah. Penyandaran nama kepadanya kerana beliau konsisten dalam berpegang teguh dengan ajaran salaf, hujah yang beliau pakai sebagai landasan kebenaran aqidahnya, juga tidak keluar dari perkara yang menjadi hujah para pendahulunya. Oleh itu, para pengikutnya kemudian digelar sebagi Ash^ariyyah. Abul-Hasan al-Ash^ari bukanlah orang yang pertama berbicara tentang Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah, para ulama sebelum beliau juga banyak berbicara tentang Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah. Beliau hanya lebih memperkuat ajaran salaf itu dengan hujah-hujah yang kuat. Bukankah penduduk kota Madinah banyak dinisbahkan kepada al-Imam Malik, dan pengikutnya disebut al-Maliki. Ini bukan bererti bahawa al-Imam Malik membawa ajaran baru yang sama sekali tidak ada pada para ulama sebelumnya, melainkan kerana al-Imam Malik menjelaskan ajaran-ajaran lama dengan penjelasan yang lebih terperinci dan sistematik… demikian juga yang dilakukan oleh Abul-Hasan al-Ash^ari”.

Al-Habib ^Abdullah ibn ^Alawi al-Haddad dalam kitab beliau Risalatul-Mu^awanah menegaskan: “...Kelompok yang benar adalah kelompok yang digelar sebagai Ash^ariyyah yang dinisbahkan kepada al-Shaykh Abul-Hasan al-Ash^ari rahimahuLlah. Sesungguhnya belaiu telah menyusun kaedah-kaedah aqidah Ahlul-Haqq dan mengatur dalil-dalil aqidah tersebut. Inilah juga aqidah yang disepakati oleh para sahabat dan orang selepas mereka dari kalangan tokoh terpilih tabi^in. Inilah aqidah Ahlul-Haqq pada setiap masa dan tempat. Inilah juga aqidah ahli tasawwuf (yang sejati) sebagaimana telah diceritakan oleh al-Imam Abul-Qasim al-Qushayri di awal kitabnya al-Risalah al-Qushayriyyah। Inilah al-hamduliLlah aqidah kami dan saudara-saudara kami dari kalangan para sayyid (para habib) al-Husayniyyin yang dikenali sebagai keluarga Abu ^Alawi, dan inilah juga aqidah para pendahulu kita dari sisi Rasulullah sehingga pada hari kita ini”. Kemudian di dalam kitabnya yang lain beliau melantunkan serangkap bait syair:

وكن أشعريا في اعتقادك إنه هو المنهل الصافي عن الزيغ والكفر
“Jadilah pengikut al-Ash^ari dalam aqidahmu, kerana ajarannya adalah sumber yang bersih dari kesesatan dan kekufuran”

Ibnu ^Abidin al-Hanafi berkata dalam kitabnya Hashiyah Raddil-Muhtar ^alad-Durril-Mukhtar: “Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah adalah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah”.

Dalam kitab ^Uqud al-Almas al-Habib ^Abdullah al-^Aydarus al-Akbar berkata: “Aqidahku adalah aqidah Ash^ariyyah Hashimiyyah Shar^iyyah sebagaimana aqidah para ulama mazhab Shafi^i dan kaum Ahlus-Sunnah al-Sufiyyah”.

Bahkan, jauh sebelum mereka ini al-Imam al-^Izz ibn Abdus-Salam mengemukakan bahawa aqidah al-Ash^ariyyah disepakati oleh kalangan pengikut mazhab Shafi^i, mazhab Maliki, mazhab Hanafi dan tokoh-tokoh utama dalam mazhab Hanbali (Fudala’ul-Hanabilah). Hal yang dikemukakan oleh al-^Izz ibn Abdus-Salam ini disepakati oleh para ulama yang sezamannya, seperti Abu ^Amr ibn al-Hajib (pimpinan ulama Mazhab Maliki pada masanya), Jamalud-Din al-Hushayri pimpinan ulama Mazhab Hanafi pada masanya, juga disetujui oleh al-Imam Taqiyyud-Din al-Subki sebagaimana dinaqalkan oleh putera beliau al-Imam Tajud-Din al-Subki.

Ahad, 10 Mei 2009

AHLUS-SUNNAH WAL-JAMA^AH: GOLONGAN YANG SELAMAT (AL-FIRQATUN-NAJIYAH)

Rasulullah sollaLlahu ^alayhi wa-sallam bersabda:

وإنَّ هذه الملَّةَ ستفترِق علَى ثَلاَث وسبعين ثنتان وسبعونَ فى النارِ وواحدٌة فى الجَنة وهي الجَماعة رواه أبو داود
Maknanya: “…dan sesungguhnya umat ini akan terpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, tujuh puluh dua di neraka dan hanya satu di syurga dan satu golongan ini ialah al-Jama^ah”. [Diriwayatkan oleh Abu Dawud]

Akal adalah shahid (saksi) yang membuktikan kebenaran syarak. Inilah sebenarnya yang dilakukan oleh para ulama tauhid atau ulama al-kalam (teologi). Yang mereka lakukan adalah tawfiq (pemaduan) antara kebenaran syarak dengan kebenaran hujah akal, dengan mengikuti jejak Nabi Ibrahim - seperti dikisahkan al-Quran - ketika berhujah berhujah dengan Raja Namrud dan kaumnya. Ketika itu baginda menundukkan mereka dengan dalil akal.

Fungsi akal dalam agama adalah sebagai saksi bagi kebenaran syarak bukan sebagai peletak dasar bagi agama itu sendiri. Berbeza dengan para ahli falsafah yang jika mereka berbicara tentang Allah, malaikat dan banyak perkara-perkara lain maka mereka hanya berdasarkan penalaran akal semata-mata. Mereka menjadikan akal sebagai dasar agama tanpa memandang ajaran yang dibawa oleh para nabi. Tuduhan golongan Mushabbihah (kaum yang sama sekali tidak memfungsikan akal dalam agama) terhadap Ahlus-Sunnah sebagai ^Aqlaniyyun (kaum yang hanya mengutamakan akal) atau sebagai golongan Mu^tazilah atau Afrakhul-Mu^tazilah (anak didik Mu^tazilah) dengan alasan kerana lebih mendahulukan akal, adalah tuduhan yang salah alamat. Hal ini tidak ubah seperti kata pepatah Arab; “Qabihul-kalam silahul-li’am” (kata-kata yang buruk adalah senjata golongan yang hina). Secara ringkas namun padat, di sini bahasan tentang Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah sebagai al-Firqatun-Najiyah (golongan yang selamat), asal-usul dan dasar-dasar ajaran mereka cuba diketengahkan.


PEMBAHASAN

Sejarah mencatat bahawa di kalangan umat Islam bermula dari abad-abad permulaan (iaitu sedari zaman Sayyidina Ali ibn Abi Talib radiyaLlahu ^anhu wa-karrama wajhah menjadi khalifah) sampai sekarang terdapat banyak firqah (golongan) dalam masalah aqidah yang di antara satu golongan dengan lainnya sangat berbeza bahkan saling bertentangan. Ini fakta yang tidak dapat dibantah. Bahkan dengan tegas, Rasulullah telah menjelaskan bahawa umatnya akan pecah menjadi tujuh puluh tiga golongan. Semua ini tentunya dengan kehendak Allah dengan berbagai hikmah tersendiri, walaupun tidak kita ketahui secara pasti. Dia-lah yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Namun Rasulullah sollaLlahu ^alayhi wa-sallam juga telah menjelaskan jalan selamat yang wajib kita tempuh agar tidak terjerumus dalam kesesatan; iaitu dengan mengikuti apa yang diyakini oleh al-Jama^ah; majoriti umat Islam. Sesungguhnya Allah telah berjanji kepada Rasul-Nya Muhammad sollaLlahu ^alayhi wa-sallam bahawa umat baginda tidak akan sesat selama mereka berpegang teguh dengan perkara yang disepakati oleh kebanyakan mereka. Allah tidak akan menyatukan mereka dalam kesesatan. Kesesatan akan menimpa mereka yang berlainan atau memisahkan diri dari keyakinan majoriti.

Majoriti umat Muhammad dari dulu sampai sekarang adalah Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah. Mereka adalah para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dalam Usulul-I^tiqad (dasar-dasar aqidah); iaitu Usulul-Imanis-Sittah (dasar-dasar iman yang enam) yang disabdakan Rasulullah dalam hadis Jibril:

الإِيمَانُ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّه" رواه البخارِي ومسلم
Maknanya: “Iman adalah hendaklah engkau mempercayai Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab- kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhir serta qadar (ketentuan Allah); yang baik mahupun yang buruk”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim]

Perihal al-Jama^ah dan pengertiannya sebagai majoriti umat Muhammad yang tidak lain adalah Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah tersebut telah pun dijelaskan oleh Rasulullah sollaLlahu ^alayhi wa-sallam dalam sabdanya:

أوصيكم بِأصحابِي ثمَّ الذين يلونهم ثمَّ الّذين يلونهم" وفيه: "عَليْكم بِالجَماعة وَإِيِّاكُمْ وَالْفِرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الاثْنَيْنِ أَبْعَدُ فَمَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزمِ الْجَمَاعَةَ" رواه الترمذي وقَالَ حسن صحيح وصححه الحَاكم

Maknanya: “Aku berwasiat kepada kalian untuk mengikuti sahabat-sahabatku, kemudian (mengikuti) orang-orang yang datang setelah mereka, kemudian mengikuti yang datang setelah mereka". Dan termasuk rangkaian hadis ini: “Tetaplah bersama al-Jama^ah dan jauhilah perpecahan kerana syaitan akan menyertai orang yang bersendirian sedangkan dia lebih jauh dari dua orang. Maka barangsiapa menginginkan tempat lapang di syurga hendaklah ia berpegang teguh pada (keyakinan) al-Jama^ah”. [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, dan dia berkata hadis ini hasan sahih dan disahihkan oleh al-Hakim].

Al-Jama^ah dalam hadis ini tidak boleh diertikan dengan orang yang selalu menjalankan solat dengan berjamaah, jemaah masjid tertentu atau dengan erti ulama hadis, kerana tidak sesuai dengan konteks pembicaraan hadis ini sendiri dan bertentangan dengan hadis-hadis lain. Konteks pembicaraan hadis ini jelas mengisyaratkan bahawa yang dimaksudkan dengan al-Jama^ah adalah majoriti umat Muhammad dari segi kuantiti.

Pentafsiran ini diperkuatkan juga oleh hadis yang ditulis di awal pembahasan; iaitu
hadis riwayat Abu Dawud yang merupakan hadis sahih mashhur (diriwayatkan oleh lebih dari sepuluh orang sahabat).
Hadis ini memberi kesaksian terhadap kebenaran majoriti umat Muhammad bukan kebenaran firqah-firqah yang menyeleweng. Jumlah pengikut firqah-firqah yang menyeleweng ini sangatlah sedikit berbanding pengikut Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah.

Selanjutnya di kalangan Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah dikenal istilah ulama salaf. Mereka adalah orang-orang yang terbaik dari kalangan Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah yang hidup pada tiga abad pertama hijriyyah sebagaimana sabda Nabi sollaLlahu ^alayhi wa-sallam:

خير القرون قَرنِي ثُم الذين يلونهم ثُم الذين يلونهم" رواه الترمذي
Maknanya: “Sebaik-baik kurun adalah kurunku kemudian kurun selepas mereka kemudian kurun selepas mereka”. [Diriwayatkan oleh al-Tirmidhi]

Pada masa ulama salaf ini, di sekitar tahun 260 H, bidaah Mu^tazilah, Khawarij, Mushabbihah dan lainnya dari kelompok-kelompok yang membuat fahaman baru mula tersebar. Kemudian dua imam agung; Abu al-Hasan al-Ash^ari (w. 324 H) dan Abu Mansur al-Maturidi (w. 333 H) – semoga Allah meredai mereka berdua – datang dengan menjelaskan aqidah Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah yang diyakini para sahabat Nabi dan orang-orang yang mengikuti mereka, dengan mengemukakan dalil-dalil naqli (nas-nas al-Quran dan al-Hadis) dan dalil-dalil ^aqli (hujah-hujah akal) disertai dengan bantahan-bantahan terhadap shubhat (sesuatu yang dilontarkan untuk mengaburkan perkara yang sebenarnya) Mu^tazilah, Mushabbihah, Khawarij tersebut di atas dan ahli bidaah lain. Sehingga Ahlus-Sunnah disandarkan kepada dua imam besar ini. Mereka; Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah akhirnya dikenali dengan nama al-Ash^ariyyun (para pengikut al-Imam Abu al-Hasan Ash^ari) dan al-Maturidiyyun (para pengikut al-Imam Abu Mansur al-Maturidi). Hal ini tidak menafikan bahawa mereka adalah satu golongan iaitu al-Jama^ah. Ini kerana sebenarnya jalan yang dilalui oleh al-Ash^ari dan al-Maturidi dalam pokok aqidah adalah sama dan satu. Adapun perbezaan yang berlaku di antara mereka berdua hanya dalam sebahagian masalah furu^ (cabang) aqidah. Hal tersebut tidak menjadikan mereka berdua saling menyesatkan, serta tidak menjadikan mereka berdua terlucut dari ikatan golongan yang selamat (al-Firqatun-Najiyah).

Perbezaan antara al-Ash^ariyyah dan al-Maturidiyyah ini adalah sebagaimana perselisihan yang pernah berlaku di kalangan para sahabat nabi, seperti perselisihan dalam persoalan; adakah Rasulullah sollaLlahu ^alayhi wa-sallam melihat Allah ta^ala ketika peristiwa Mi^raj? Lalu sebahagian sahabat, seperti Ibn Mas^ud dan ^A’ishah mengatakan bahawa Rasulullah sollaLlahu ^alayhi wa-sallam tidak melihat Tuhannya ketika Mi^raj. Sedangkan Abdullah ibn ^Abbas mengatakan bahawa Rasulullah sollaLlahu ^alayhi wa-sallam melihat Allah dengan hatinya; iaitu Allah memberi kemampuan melihat kepada hati Nabi Muhammad sollaLlahu ^alayhi wa-sallam sehingga dapat melihat Allah. Meskipun demikian, al-Ash^ariyyah dan al-Maturidiyyah ini tetap sefahaman dan sehaluan dalam dasar-dasar aqidah.

Al-Hafiz Murtada al-Zabidi (w. 1205 H) berkata:


إذَا أطلق أهلُ السنة والجَماعة فالمراد بِهِم الأَشَاعِرَةُ وَالْمَاتُرِيْدِيَّةُ

Maksudnya: “Jika dikatakan Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah, maka yang dimaksudkan ialah al-Asha^irah dan al-Maturidiyyah”. [Ithafus-Sadatil-Muttaqin, juz. 2, hlm. 6]

Justeru, aqidah yang benar dan diyakini oleh para ulama salaf yang soleh adalah aqidah yang diyakini oleh al-Ash^ariyyah dan al-Maturidiyyah. Ini kerana sebenarnya kedua-dua golongan ini hanyalah meringkas dan menjelaskan aqidah yang diyakini oleh para nabi dan rasul serta para sahabat. Aqidah Ahlus-Ssunnah adalah aqidah yang diyakini oleh ratusan juta umat Islam, mereka adalah para pengikut mazhab Shafi^i, Maliki, Hanafi, serta orang-orang yang utama dari kalangan mazhab Hanbali (Fudala’ al-Hanabilah). Aqidah ini diajarkan di seluruh pondok Ahlus-Sunnah di negara kita, Malaysia. Dan al-Hamdulillah, aqidah ini juga diyakini oleh ratusan juta kaum muslimin di seluruh dunia seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, India, Pakistan, Mesir (terutama al-Azhar), negara-negara di daratan Sham (iaitu Syiria, Jordan, Lubnan dan Palestin), Maghribi, Yaman, Iraq, Turki, Daghestan, Chechnya, Afghanistan dan masih banyak lagi di negara-negara lain. Oleh itu, wajib ke atas kita untuk sentiasa penuh perhatian dan kesungguhan dalam mendalami aqidah al-Firqatun-Najiyah yang merupakan aqidah golongan majoriti.

Sesungguhnya ilmu aqidah adalah ilmu yang paling mulia lantaran ilmu ini menjelaskan asas atau dasar agama. Malah, al-Imam Abu Hanifah menamakan ilmu ini dengan al-Fiqhul-Akbar (kefahaman agama yang sangat besar). Oleh itu, mempelajari ilmu ini harus lebih didahului dan diutamakan dari mempelajari ilmu-ilmu lain. Setelah cukup mempelajari ilmu ini baru disusuli dengan ilmu-ilmu yang lain. Inilah metode yang diikuti para sahabat nabi dan ulama rabbaniyyun dari kalangan salaf mahupun khalaf dalam mempelajari agama ini. Tradisi seperti ini sudah pun ada sedari hayat Rasulullah, sebagaimana dikatakan oleh Ibn ^Umar dan Jundub:

كُـنـَّا مَعَ النَّبـِيِّ وَنـَحْنُ فِتــْيَانٌ حَزَاوِرَةٌ فَتــَعَلَّمْنَا الإِيمَانَ قَبـْلَ أَن نـَتـَعَلَّمَ الـْقُرْءَانَ, ثــُمَّ تـَعَلَّمْنَا الـْقُرْءَانَ فـَازْدَدْنـَا بِهِ إِيمَانــًا
Mafhumnya: "Kami pernah bersama Nabi salla`Llahu ^alayhi wa sallam ketika kami kanak-kanak. Ketika itu, kami mempelajari iman sebelum kami mempelajari al-Quran, kemudian setelah kami mempelajari al-Quran maka bertambahlah iman kami dengan mempelajari al-Quran ". [Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan disahihkan oleh al-Hafiz al-Busiri].

Ilmu aqidah juga disebut dengan ilmu kalam. Hal ini lantaran banyaknya golongan yang menggunakan nama Islam tetapi menentang aqidah Islam yang sebenar dan banyaknya kalam (lawan cakap) dari setiap golongan untuk membela aqidah mereka yang sesat.

Tidak semua ilmu kalam itu tercela, sebagaimana dikatakan oleh golongan Mushabbihah (kelompok yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya). Bahkan, ilmu kalam terbagi menjadi dua bagian: ilmu kalam yang terpuji dan ilmu kalam yang tercela. Ilmu kalam yang kedua inilah yang menyalahi aqidah Islam kerana sengaja dikarang dan ditekuni oleh golongan-golongan yang sesat seperti Mu^tazilah, Mushabbihah (golongan yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya, sepeti kaum Wahhabiyyah) dan ahli bidaah lainnya. Adapun ilmu kalam yang terpuji ialah ilmu kalam yang dipelajari dan ditekuni oleh Ahlus-Sunah untuk membantah golongan yang sesat tersebut. Ilmu kalam yang dikatakan terpuji adalah kerana pada hakikatnya ilmu kalam Ahlus-Sunnah adalah taqrir dan penyajian prinsip-prinsip aqidah dalam formatnya yang sistematik dan argumentatik; dilengkapi dengan dalil-dalil naqli dan aqli.

Dasar-dasar ilmu kalam ini telah pun ada di kalangan para sahabat. Antara sahabat tersebut ialah Sayyidina ^Ali ibn Abi Talib dengan hujahnya yang kuat dapat mengalahkan golongan Khawarij dan Mu^tazilah juga dapat menyanggah dakwaan empat puluh orang Yahudi yang meyakini bahawa Allah adalah jism (benda). Demikian juga Sayyidina ^Abdullah ibn ^Abbas, al-Hasan ibn ^Ali ibn Abi Talib dan ^Abdullah ibn ^Umar juga menyanggah kaum Mu^tazilah. Selepas itu, ilmu kalam juga ditekuni oleh ulama di kalangan tabi^in; seperti al-Imam al-Hasan al-Basri, al-Imam al-Hasan ibn Muhamad ibn al-Hanafiyyah (cucu Sayyidina Ali ibn Abi Talib) dan al-Khalifah ^Umar ibn ^Abdul-^Aziz juga pernah membantah kaum Mu^tazilah. Kemudian juga para imam dari empat mazhab; al-Imam Shafi^i, al-Imam Malik, al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Ahmad juga menekuni dan menguasai ilmu kalam ini. Sebagaimana dituturkan oleh al-Imam Abu Mansur al-Baghdadi (w. 429 H) dalam kitabnya Usulud-Din, al-Hafiz Abu al-Qasim ibn ^Asakir (w. 571 H) dalam kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari, al-Imam al-Zarkashi (w. 794 H) dalam kitab Tashniful-Masami^ dan al-^Allamah al-Bayyadi (w. 1098 H) dalam kitabnya Isharatul-Maram dan lain-lain.

Allah berfirman:
فَاعْلَمْ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبْك
Maknanya: “Maka ketahuilah bahwa sesungguhnya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah dan mohonlah ampun atas dosamu". [Surah Muhammad, ayat 19]

Ayat ini dengan sangat jelas mengisyaratkan keutamaan ilmu usul atau tauhid; iaitu dengan menyebut kalimah tauhid (la ilaha illallah) lebih dahulu dari pada perintah untuk beristighfar yang merupakan furu^ (cabang) agama.

Ketika Rasulullah sollaLlahu ^alayhi wa-sallam ditanya tentang sebaik-baiknya perbuatan, lalu baginda menjawab:

"إِيمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِه"
Mafhumnya: "Keimanan dengan Allah dan Rasul-Nya"

Oleh itu, sangat ramai ulama yang menulis kitab-kitab khusus mengenai penjelasan aqidah Ahlus-Sunnah wal-Jama^ah ini. Antara kita-kitab tersebut ialah seperti Risalah al-^Aqidah al-Tahawiyyah karya al-Imam al-Salafi Abu Ja^far al-Tahawi (w. 321 H), kitab al-^Aqidah al-Nasafiyyah karangan al-Imam ^Umar al-Nasafi (w. 537 H), al-^Aqidah al-Murshidah karangan al-Imam Fakhrud-Din ibn ^Asakir (w. 630 H), al-^Aqidah al-Salahiyyah yang ditulis oleh al-Imam Muhammad ibn HibatiLlah al-Makki (w. 599 H); beliau menamakannya Hada’iqul-Fusul wa-Jawahirul-^Uqul, kemudian menghadiahkan karyanya ini kepada al-Sultan Salahud-Din al-Ayyubi (w. 589 H). Al-Sultan Salahud-Din sangat tertarik dengan kitab ini hingga beliau memerintahkan agar kitab ini diajarkan sampai kepada anak-anak kecil di madrasah-madrasah, yang akhirnya risalah aqidah tersebut dikenal dengan nama al-^Aqidah al-Salahiyyah. Al-Sultan Salahud-Din adalah seorang alim yang bermazhab Shafi^i, mempunyai perhatian khusus dalam menyebarkan al-^Aqidah al-Sunniyyah (aqidah Ahlus-Sunnah). Beliau memerintahkan para muazin untuk mengumandangkan al-^Aqidah a-Sunniyyah ini pada waktu tasbih (sebelum azan Subuh) pada setiap malam di Mesir, seluruh daratan Sham (Syiria, Jordan, Palestin dan Lubnan), Mekah, Madinah, dan Yaman sebagaimana dikemukakan oleh al-Hafiz al-Suyuti (w. 911 H) dalam al-Wasa’il ila Musamaratil- Awa’il dan lainnya.

Sebagaimana banyak terdapat buku-buku yang telah dikarang dalam menjelaskan al-^Aqidah al-Sunniyyah dan sentiasa penulisan itu terus berlangsung. Kita memohon kepada Allah semoga kita meninggal dunia dengan membawa aqidah Ahlis-Sunnah wal- Jama^ah yang merupakan aqidah para nabi dan rasul Allah. Amin.

SUATU PENJELASAN: BAHAWA ILMU AGAMA DIAMBIL SECARA BERTALAQQI

Al-HamduliLlah Tuhan pencipta alam, wujud-Nya azali abadi, tidak berhajat kepada makhluk-Nya, Dia yang mencipta tempat maka wujud-Nya tanpa bertempat. Selawat dan salam ke atas junjugan besar kita Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda. Ketahuilah bahawa wajib ke atas setiap mukallaf mempelajari ilmu agama yang dinamakan sebagai ilmu fardu ain yang terbahagi kepada ilmu akidah dan ilmu hukum-hakam.

Antara ilmu akidah yang wajib ke atas setiap mukallaf mempelajarinya ialah beriman dengan Allah dan dengan apa yang telah didatangkan oleh Allah, dan beriman dengan Rasulullah dan dengan apa yang telah diberitahu oleh Baginda seperti:
1. Memahami makna dua kalimah syahadah
2. Sifat Allah yang wajib diketahui.
3. Mensucikan Allah dari apa yang tidak layak bagi-Nya.
4. Mempercayai kesemua perkara yang telah diberitahu oleh Nabi Muhammad yang terdiri daripada kisah-kisah terdahulu dan perkara yang akan berlaku sama ada di alam barzakh ataupun pada hari akhirat dan juga mempercayai perkara yang telah dinyatakan akan hukumnya halal ataupun haram.
5. Mempelajari dan mengetahui perkara-perkara yang boleh menyebabkan terkeluar dari agama Islam (murtad) seperti mengetahui jenis-jenis kufur supaya dia mampu mengelak dari berlaku murtad pada dirinya.

Antara perkara yang wajib ke atas setiap mukallaf mempelajarinya dari hal yang bersangkutan dengan hukum-hakam ialah mempelajari hukum-hakam solat seperti syarat-syaratnya, rukun-rukunnya, dan perkara yang membatalkan solat dan sebagainya.

Namun perlu diingatkan bahawa keseluruhan perkara-perkara ini tidak boleh diambil dengan hanya mentelaah atau membaca buku sahaja tanpa talaqqi dengan ulama yang dipercayai. Ini kerana berkemungkinan buku yang dibaca itu ada penyelewengan dan pendustaan yang ditokok-tambah atau dibuat-buat oleh sesetengah puak, atau tersalah cetak atau berkemungkinan pembaca memahami maksud yang tersirat di dalam buku agama yang dibaca dengan kefahaman yang menyalahi nukilan ilmu ulama salaf dan khalaf daripada suatu generasi kepada suatu generasi. Keadaan ini akan menyebabkan pembaca beramal dengan kefahaman yang salah dan merosakkan ibadah atau juga merosakkan akidah jika dia beriktikad dengan suatu akidah sesat yang mempercayai bahawa Allah itu menyamai dan menyerupai makhluk-Nya seperti beriktikad bahawa Allah berada di atas Arasy, di langit atau Dia berada di setiap tempat. Sedangkan antara akidah Islam yang sebenar ialah Allah Ada Tanpa Bertempat. Umumnya, mentelaah kitab semata-mata bukanlah cara pembelajaran para ulama salaf dan khalaf. Bahkan, sedangkan Nabi Muhammad sendiri pun bertalaqqi dengan Jibril ^alayhis-salam, apatah lagi kita yang bukannya nabi ini.

Salah seorang ulama besar dalam bidang hadith iaitu Al-Hafiz Abu Bakr Al-Khatib Al-Baghdadi berkata di dalam kitab beliau al-Faqih wa'l-Mutafaqqih:

لا يُؤْخَذُ الْعِلْمُ إِلا مِنْ أَفْوَاهِ الْعُلَمَاءِ
Bermaksud: "Ilmu (agama) hanya diambil daripada mulut ulama"

Oleh kerana itu, semestinya mempelajari perkara yang berkaitan agama daripada orang yang arif tentang agama lagi dipercayai yang dia juga mengambil ilmu agama daripada orang dipercayai, dan demikianlah seterusnya sehingga sampai kepada generasi sahabat. Sebahagian ulama salaf sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi dalam kitab al-Faqih wa'l-Mutafaqqih ada menyatakan:

الَّذِي يَأْخُذُ الْحَدِيثَ مِنَ الْكُتُبِ يُسَمَّى صَحَفِيًّا وَالَّذِي يَأْخُذُ الْقُرْءَانَ مِنَ الْمُصْحَفِ يُسَمَّى مُصْحَفِيًّا وَلا يُسَمَّى قَارِئًا
Bermaksud: "Orang yang mengambil hadis daripada kitab dinamakan sebagai sahafi, manakala orang mengambil bacaan al-Quran daripada mushaf dinamakan sebagai mushafi dan tidak dinamakan sebagai qari`"

Rasulullah telah bersabda:

مَن يُرِد اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ إنَّمَا الْعِلْمُ بالتَّعَلُّمِ وَإِنَّمَا الْفِقْهُ بالتَّفَقُّهِ
Bermaksud: “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah baginya kebaikan maka dia akan mendalami ilmu agama, sesungguhnya ilmu agama diambil dengan belajar dan fiqh itu dengan mendalaminya”. [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Al-Imam Ibnu Sirin berkata:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانظُرُوا عَمَّنْ تَاْخُذُون دِينَكُم
Bermaksud: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka lihatlah dari siapa kamu mengambil agama ini ”. [Diriwayatkan oleh Muslim].

WaLlahu a^lam...

Ahad, 3 Mei 2009

ILMU TAUHID ILMU PALING UTAMA DAN PERTAMA

Firman Allah ta^ala:

(فاعلم أنه لا إله إلا الله واستغفر لذنبك)
Mafhumnya: "Maka ketahuilah bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan mohonlah keampunan bagi dosamu…" [Surah Muhammad, ayat 19].


Ayat di atas mengandungi dua perintah Allah ta^ala; iaitu pertama (فاعلم أنه لا إله إلا الله) dan kedua (واستغفر لذنبك ).

Al-Shaykh ^Ali ibn Ahmad al-Wahidi dalam kitabnya al-Wajiz fi Tafsiri`l-Qur'ani`l-^Aziz mentafsirkan perintah pertama dengan berkata: "Maka tetaplah di atas tauhid dengan ilmumu".

Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani pula dalam kitab tafsirnya al-Tafsiru`l-Munir mentafsirkan perintah pertama di atas begini: "Apabila engkau (wahai Muhammad) telah mengetahui bahawa tauhid dan ketaatan adalah punca kebahagiaan, manakala syirik dan kederhakaan pula adalah punca kecelakaan maka tetapkanlah ilmu ketauhidan dan amalan yang menjadi tuntutan ilmu ketauhidan tersebut ".

Al-Hafiz al-Muhaddith ^Abdu`Llah al-Habashi berkata dalam kitabnya Sarihu`l-Bayan fi al-Radd ^ala Man Khalafa`l-Qur'an: "…ayat ini adalah sebahagian al-Quran yang mengandungi isyarat kepada dua ilmu; iaitu ilmu tauhid dengan firman-Nya: (فاعلم أنه لا إله إلا الله) dan ilmu furuk (cabangan) dengan firman-Nya: (واستغفر لذنبك). Sebenarnya Allah ta^ala menyatakan terlebih dahulu tentang suatu (perintah) yang mengandungi isyarat kepada ilmu tauhid sebelum menyatakan suatu (perintah) yang mengandungi isyarat kepada ilmu cabangan. Dengan itu, kita dapat mengetahui bahawa ilmu tauhid itu lebih utama daripada ilmu cabangan, dan ilmu tauhid itu adalah ilmu yang paling afdal, paling tinggi martabatnya, paling mulia dan yang pertama berbanding dengan ilmu-ilmu lain..".

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurayrah radiya`Llahu ^anhu bahawa Rasulullah salla`Llahu ^alayhi wa sallam ditanyakan tentang amalan yang paling utama, lalu baginda bersabda:
إِيمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ
Mafhumnya: "Keimanan dengan Allah dan Rasul-Nya"

Ini kerana amalan soleh tanpa keimanan dengan Allah dan Rasul-Nya tidak akan diterima.

Al-Imam al-Ghazali berkata:
لا تـَصِحُّ الـْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الـْمَعْبُودِ
Bermaksud: "Ibadah tidak sah melainkan selepas mengenali Tuhan yang berhak disembah"

Ini kerana sesiapa yang tidak mengenali Allah ta^ala, bahkan menyerupakan-Nya dengan makhluk seperti menyerupakan Allah ta^ala dengan sinaran cahaya, atau berpegang bahawa Allah ta^ala wujud bertempat seperti berada atau mendiami langit atau berada atau duduk di atas Arasy atau berada di mana-mana, atau mensifatkan dengan sifat makhluk, maka sebenarnya dia tidak menyembah Allah ta^ala tetapi menyembah sesuatu yang tergambar dalam khayalannya sendiri. Oleh itu, ibadahnya tidak sah kerana dia telah mensyirikkan Allah ta^ala.

Ibn Majah meriwayatkan daripada Jundub ibn Abdu`Llah; dia berkata:

كُـنـَّا مَعَ النَّبـِيِّ وَنـَحْنُ فِتــْيَانٌ حَزَاوِرَةٌ فَتــَعَلَّمْنَا الإِيمَانَ قَبـْلَ أَن نـَتـَعَلَّمَ الـْقُرْءَانَ, ثــُمَّ تـَعَلَّمْنَا الـْقُرْءَانَ فـَازْدَدْنـَا بِهِ إِيمَانــًا
Mafhumnya: "Kami pernah bersama Nabi salla`Llahu ^alayhi wa sallam ketika kami kanak-kanak. Ketika itu, kami mempelajari iman sebelum kami mempelajari al-Quran, kemudian setelah kami mempelajari al-Quran maka bertambahlah iman kami dengan mempelajari al-Quran " [Al-Hafiz al-Busiri mensahihkan hadis ini seperti dalam kitabnya Misbahuz-Zujajah].


Pengajaran dan Istifadah:

Menuntut ilmu tauhid (ilmu iman, ilmu usuluddin, ilmu kalam atau ilmu ma^rifah) adalah wajib ke atas setiap mukallaf[1]. Utamanya iman ke atas amal soleh kerana:
a) Iman itu sentiasa wajib dipegang di dalam hati sehingga mati, bukan seperti solat yang diamalkan pada waktu tertentu.
b) Persoalan imanlah yang akan ditanya terlebih dahulu apabila masuk ke gerbang alam akhirat iaitu alam barzakh.
c) Dengan iman, seseorang yang berdosa layak untuk diampunkan oleh Allah ta^ala dan dimasukkan ke dalam syurga.
d) Dengan iman, seseorang yang berdosa akhirnya layak keluar dari neraka dan memasuki syurga meskipun dengan iman yang paling sedikit.
e) Tanpa iman yang sahih, amalan soleh seseorang itu tidak akan diterima oleh Allah ta^ala meskipun dengan amalan soleh yang paling banyak. Wa`Llahu a^lam

Rujukan:

1. Al-Bantani, Muhammad Nawawi ibn ^Umar ibn ^Arabi ibn ^Ali al-Jawi. Al-Tafsir al-Munir. Dar al-Fikr. T.tp. 1400H/1980R.
2. Al-Habashi, al-Hafiz Abu ^Abd al-Rahman ^Abdu`Llah ibn Muhammad ibn Yusuf ibn ^Abdi`Llah ibn Jami^ al-Harari al-Shaybi al-^Abdari. Sarihu`l-Bayan fi al-Radd ^ala Man Khalafa`l-Qur'an. Dar al-Mashari^. Beirut. Cet. 1. 1425H/2004R.
3. Al-Wahidi, Abu`l-Hasan ^Ali ibn Ahmad. Al-Wajiz fi Tafsir al-Qur'an al-^Aziz. Dar al-Fikr. T.tp. 1400H/ 1980R .

__________________________________________

[1] Mukallaf ialah sesiapa yang diwajibkan memeluk agama Islam dan beriltizam dengan hukum hakam Islam dalam keadaan mereka berakal, baligh dan sampai seruan asas Islam (kalimah tauhid) kepada mereka.

JAGALAH DIRIMU DAN AHLI KELUARGAMU DARI API NERAKA

Allah ta^ala berfirman:

يأيها الذين ءامنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارًا وقودها الناس والحجارة

Mafhumnya: "Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu" [Surah al-Tahrim, ayat 6].

Al-Imam Abu`l-Hasan ^Ali ibn Ahmad al-Wahidi dalam kitabnya al-Wajiz fi Tafsiri`l-Qur'ani`l-^Aziz mentafsirkan: "Wahai orang-orang yang beriman! Berilah peringatan buat diri kamu sendiri dan ahli keluarga kamu tentang perkara yang boleh mendekatkan diri kepada rahmat Allah dan jauhilah diri kamu dan ahli keluargamu dari perkara dosa".

Al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani dalam kitab tafsirnya al-Tafsiru`l-Munir mentafsirkan: "Wahai orang-orang beriman! Ajarkanlah diri kamu sendiri, isteri kamu, anak-anak kamu tentang kebaikan dan didiklah dengan cara menyuruh mereka melakukan kebaikan dan mencegah mereka dari melakukan kejahatan. Dengan itu, kamu akan memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari neraka".

Al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari al-Habashi dalam kitabnya al-Siratu`l-Mustaqim berkata: "Pentafsiran ayat ini ialah bahawa Allah memerintahkan orang-orang yang beriman agar memelihara diri mereka sendiri dan ahli keluarga mereka dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu dengan cara mempelajari perkara agama dan mengajarkannya kepada keluarga mereka; iaitu mempelajari dan mengajar pengetahuan tentang perkara yang telah difardukan oleh Allah untuk melakukan segala yang wajib dan meninggalkan segala yang haram. Ini supaya tidak terjerumus kepada akidah sesat dan kufur seperti pegangan tashbih dan tamthil (menyamakan Allah dengan makhluk). Ini kerana orang yang menyamakan Allah dengan sesuatu yang lain adalah ibadahnya tidak sah. Dia sebenarnya menyembah sesuatu yang dikhayalkan. Al-Imam al-Ghazali berkata: "Ibadah itu tidak sah melainkan selepas mengenali Allah yang disembah"[1].

Al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari berkata dalam kitabnya Bughyatu`t-Talib berkenaan maksud ayat di atas: "..Jika dia seorang yang alim maka wajib ke atasnya mengajar keluarganya atau membenarkan mereka belajar dengan seseorang yang boleh mengajar. Ketika itu dia diharamkan untuk menghalang keluarganya dari keluar kerana belajar. Hatta isteri pun tidak boleh dihalang oleh suaminya dari keluar untuk belajar sekiranya suaminya bukanlah orang alim tentang perkara tersebut atau suaminya seorang yang alim tentang perkara itu tetapi dia mencuaikan tanggungjawab mengajar dan tidak pula membawa orang yang boleh mengajar isterinya"….."Barangsiapa yang mempelajari ilmu agama yang bersifat daruri[2] (fardu ain) dan mengajar keluarganya maka sebenarnya dia telah memelihara dirinya dan keluarganya dari neraka Jahanam. Barangsiapa yang tidak berbuat demikian maka sebenarnya sedang menghancurkan dirinya dan keluarganya".

Pengajaran:

*Memelihara diri dan ahli keluarga dari azab neraka adalah wajib.
*Menuntut ilmu agama yang bersifat daruri adalah wajib ke atas setiap muslim.
*Antara tanggungjawab suami terhadap isteri dan anaknya ialah mengajar ilmu agama terutama dan pertamanya ilmu akidah.
*Suami yang mengajar agama kepada isteri dan anaknya adalah suami yang penyayang.
*Suasana pengajaran dan pembelajaran ilmu agama dalam rumahtangga akan mengerat dan memurnikan ikatan kasih sayang kekeluargaan.
*Perbuatan menghalang seseorang dari menuntut ilmu adalah perbuatan yang tercela.
*Perbuatan membiarkan keluarga dalam kejahilan membawa penderaan yang sangat dahsyat di dalam neraka.
*Jalan mudah untuk ke syurga ialah jalan menuntut ilmu agama.

_____________________________________________________


[1]Pentafsiran oleh al-Hafiz ^Abdu`Llah al-Harari dan al-Shaykh Muhammad Nawawi al-Bantani berdasarkan tafsiran Sayyidina ^Ali ibn Abi Talib yang telah diriwayatkan oleh al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak jil. 2, hlm. 494. Al-Hafiz al-Harari berkata dalam kitabnya al-Sharhu`l-Qawim bahawa tafsiran ini datang daripada Sayyidina ^Ali ibn Abi Talib dengan isnad qawiyy.
[2] Suatu kadar ilmu agama yang diketahui oleh semua meliputi orang awam dan para ulama.

SUATU PESANAN BUAT DIRI SENDIRI DAN PEMBACA:

BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA JUA ANDA BERADA DAN DALAM APA JUA KEADAAN ANDA. IKHLASLAH KETIKA MELAKSANAKAN AMAL SOLEH DAN MENINGGALKAN DOSA. JANGAN LUPA BERKATA: "SAYA TIDAK TAHU" SEKIRANYA ANDA TIDAK TAHU...